03/12/2024
MESYUARAT MAJLIS EKONOMI KITARAN BAGI SISA PEPEJAL (NATIONAL CIRCULAR ECONOMY COUNCIL – NCEC) BILANGAN 2 TAHUN 2024
Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (National Circular Economy Council – NCEC) Bilangan 2 Tahun 2024 telah diadakan pada 29 Oktober 2024 bertempat di Le Meridien Putrajaya dan dipengerusikan oleh YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ahli Mesyuarat yang hadir terdiri daripada wakil Kementerian dan agensi iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan & Kerajaan Tempatan Sarawak serta wakil daripada kesemua Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Wakil persatuan dan swasta daripada Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA), Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA), Waste Management Association of Malaysia (WMAM), Malaysia Retailers Association (MRA), Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM), Malaysian Iron and Steel Industry Federation (MISIF), Malaysia Retailers Association (MRA), Malaysia Plastics Recyclers Association (MPRA), Malaysia Shopping Mall Association (PPKM), Pertubuhan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) turut menghadiri mesyuarat ini.
Ahli Mesyuarat bersetuju dengan dua (2) kertas pertimbangan yang dibentangkan berkaitan perluasan penggunaan sanga (slag) keluli sebagai inisiatif mengurangkan janaan sisa industri besi dan keluli di Malaysia dan Kadar Kitar Semula Kebangsaan Tahun 2024.
Mesyuarat juga mengambil maklum berkenaan inisiatif pengurusan sisa makanan berasaskan Serangga Askar Hitam (Black Soldier Fly – BSF), Program ‘Waste to Wealth’ yang dilaksanakan oleh NanoMalaysia Berhad, kawalan dan penguatkuasaan ketat terhadap eksport sekerap ferus (ferrous scrap) dan pematuhan lesen kilang keluli bagi mengelakkan ketirisan sumber tempatan dan hasil pendapatan negara dan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di Malaysia (2025 – 2035) (diangkat secara edaran).
Pembentangan kertas melibatkan wakil daripada MISIF, KPKT, Entomal Biotech Sdn Bhd dan NanoMalaysia Berhad. Keputusan dasar dan perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat NCEC ini seterusnya akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Kerajaan bersama wakil industri, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik pada hari ini bersetuju dan komited dalam usaha untuk mempercepat peralihan daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran selari dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di Malaysia (2025 – 2035).
03/12/2024
MESYUARAT MAJLIS NEGARA BAGI KERAJAAN TEMPATAN (MNKT) KE-84
14 NOVEMBER 2024 - Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-84 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusoff telah diadakan di Bangunan Parlimen dan turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming. Mesyuarat MNKT Ke-84 merupakan Mesyuarat MNKT yang dianjurkan buat kali ketiga bagi tahun 2024. Sebanyak tiga (3) kertas pertimbangan dan empat (4) kertas makluman telah dibentang dalam Mesyuarat MNKT Ke-84.
Bagi menyokong hasrat Kerajaan untuk menyediakan satu persekitaran pembangunan yang mampan, MNKT Ke-84 telah bersetuju dengan Garis Panduan Perancangan Taman Kenderaan Rekreasi. Garis panduan ini dapat memudahkan semua pihak yang berkaitan untuk melaksanakan pembangunan tapak dan taman kenderaan rekreasi dengan lebih terancang dan terkawal serta mematuhi peruntukan perundangan semasa yang berkuat kuasa. Selain itu, garis panduan ini juga turut menyokong dasar kementerian-kementerian lain seperti Dasar Pelancongan Negara sebagai lokasi pelancongan yang kompetitif dan mampan serta Dasar Automotif Nasional yang antara lain memastikan pembangunan industri automotif secara mampan.
MNKT Ke-84 turut bersetuju dengan Garis Panduan Perancangan Pusat Data bagi menyokong pembangunan infrastruktur digital negara. Garis panduan ini merupakan salah satu ikhtiar dan inisiatif KPKT dalam aspek panduan perancangan dan kawalan perundangan yang bertujuan untuk menyeragamkan dan memudah cara proses permohonan dan kelulusan perancangan bagi pembangunan pusat data. Garis panduan ini juga turut menyokong ease of doing business sama ada di pihak pengusaha atau pihak berkuasa kerana ia melengkapi keseluruhan ekosistem industri pembangunan pusat data.
Bagi meneruskan pengukuhan hala tuju Malaysia ke arah negara yang mampan, MNKT Ke-84 telah bersetuju dengan Dasar Landskap Negara 2.0 sebagai dokumen dasar utama Kerajaan yang akan dijadikan sebagai panduan perancangan, pembangunan dan pengurusan landskap negara mulai tahun 2025 sehingga tahun 2035. Selain itu, DLN 2.0 juga dijadikan rujukan dan panduan perancangan landskap oleh semua pihak berkepentingan terutamanya Pihak Berkuasa Negeri dan PBT supaya turut sama menyokong dan membantu pelaksanaan bagi setiap Strategi dan Pelan Tindakan yang terlibat.
Selain itu, Mesyuarat MNKT Ke-84 turut mengambil maklum mengenai Reformasi Urusan Permit Pembinaan Bagi Melonjakkan Produktiviti. Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) diperkenalkan bagi mempercepat urusan permit pembinaan bagi melonjakkan produktiviti dan daya saing negara berdasarkan penandaarasan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) di Kulai (Kulai Fast Lane) dan Kulim (E10). Oleh itu, semua PBT dan agensi teknikal berkaitan dimohon untuk meneruskan pelaksanaan menyebar luas hasil uji kaji peraturan Kulai Fast Lane dan Kulim E10 melalui pendekatan Industrial Green Lane di samping menjenamakan inisiatif ini bagi memudahkan promosi insentif kecekapan.
Mesyuarat MNKT Ke-84 juga mengambil maklum mengenai Pelaksanaan Program Jaminan Keselamatan Makanan di Kilang Makanan berhubung keperluan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) di semua kilang makanan di Malaysia. Program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini adalah bertujuan untuk mematuhi keperluan perundangan, memastikan kawalan keselamatan dan kualiti makanan, seterusnya memberi jaminan makanan selamat kepada pengguna.
Seterusnya, Mesyuarat MNKT Ke-84 mengambil maklum mengenai Panduan Pemilihan Spesies dan Kaedah Penanaman Pokok Teduhan Pinggiran Jalan Untuk Pihak Berkuasa Tempatan. Panduan tersebut diterjemahkan menerusi buku 200 Malaysia’s Native Trees for Street Planting yang merupakan nota teknikal perancangan, cadangan reka bentuk dan penanaman pokok teduhan pinggiran jalan. Buku ini telah dilancarkan pada 26 Mei 2024 oleh YB Menteri KPKT dalam Majlis Perasmian Penutupan Forum Perbandaran Hijau (Green Urban Forum) 2024 bersempena sambutan Hari Landskap Negara 2024.
Mesyuarat MNKT Ke-84 turut mengambil maklum mengenai Panduan Inisiatif Persekitaran Mesra Kanak-kanak (PEREKA). PEREKA merupakan ikhtiar KPKT bagi menyediakan satu instrumen rujukan dan kesedaran awam kepada pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin tempatan dan komuniti setempat dalam membangunkan persekitaran sama ada di peringkat kejiranan mahupun perbandaran yang mesra kanak-kanak. Persekitaran yang berkualiti mampu membantu perkembangan kanak-kanak yang sihat, ceria dan bijak seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang berdaya tahan di masa hadapan. Instrumen ini juga adalah selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Child-CRC) yang memberi tumpuan kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation).
03/12/2024
HARI CUCI MALAYSIA 2024
28 SEPTEMBER 2024 – Hari Cuci Malaysia buat pertama kalinya diadakan secara serentak seluruh negara bersempena dengan World Clean Up Day pada 20 September setiap tahun yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Program Pembersihan Mega secara bersepadu seluruh negara ini telah dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) bertempat di perkarangan Pasar Seni, Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh YB Dr. Zaliha Binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); YB Datuk Hajah Aiman Athirah Binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; YBhg. Dato' Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur; YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Bin Taib, Ketua Setiausaha KPKT; pengurusan tertinggi KPKT dan wakil-wakil daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Kementerian dan Agensi Kerajaan.
Program gotong-royong mega ini telah diadakan melebihi 649 lokasi di pelbagai peringkat termasuk Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian-Kementerian, sekolah, taman-taman awam, kawasan kejiranan, tempat-tempat gunasama seperti pasar awam, dewan serbaguna dan lain-lain lagi. Antara aktiviti yang dijalankan adalah termasuk pembersihan sampah haram, plogging, pembersihan jalan, pembersihan longkang dan pengurusan sisa ke arah ekonomi kitaran.
Melalui program ini, KPKT menerima tiga (3) sijil The Malaysia Book of Records (MBOR) setelah berjaya mencipta tiga (3) rekod baharu MBOR semasa penganjuran Hari Cuci Malaysia 2024. 3 rekod baharu MBOR tersebut ialah:
i) Largest Simultaneous Participation in A ‘Gotong Royong’ (Penyertaan paling ramai dan serentak seluruh negara). KPKT berjaya meraih 58,007 orang peserta melebihi sasaran awal 50,000 orang peserta. Pencapaian ini telah berjaya mengatasi rekod MBOR iaitu 35,685 peserta gotong-royong anjuran UiTM pada 29 September 2023.
ii) Heaviest Solid Waste Collected in A Day (Kutipan sisa pepejal terberat). KPKT berjaya meraih kutipan sisa pepejal sebanyak 4,645.50 tan iaitu melebihi sasaran awal 30 tan. Rekod ini berjaya mengatasi rekod 23 tan sisa semasa program World Cleanup Day pada 15 September 2018 anjuran Junior Chamber International Malaysia (JCI) dan;
iii) Longest Non-Stop ‘Gotong Royong’ Cleanup Programme (Tempoh masa gotong-royong paling lama iaitu 12 jam (8 pagi hingga 8 malam) yang berlangsung di sekitar Kawasan Kuala Lumpur. Ini merupakan rekod baharu MBOR.
21/11/2024
MESYUARAT MAJLIS NEGARA BAGI KERAJAAN TEMPATAN (MNKT) KE-83
10 SEPTEMBER 2024 - Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-83 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusoff telah diadakan di Bangunan Jabatan Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming. MNKT ditubuhkan menurut Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan dan bersidang sekurang-kurangnya sekali setahun atau seberapa kerap yang perlu. Sebanyak tiga (3) kertas pertimbangan dan dua (2) kertas makluman telah dibentang dalam Mesyuarat MNKT Ke-83.
Bagi menambah baik aspek pengawalseliaan menerusi punca kuasa yang jelas untuk mengurus dan berkongsi data perancangan terkini, MNKT Ke-83 telah bersetuju dengan cadangan untuk meminda Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Cadangan pindaan Akta 172 ini merupakan salah satu inisiatif ease of doing business yang akan menambah baik proses, prosedur dan tempoh masa kelulusan cadangan pemajuan, di samping menangani isu birokrasi dan kelewatan kelulusan pelan pemajuan.
Selari dengan hasrat yang sama, MNKT Ke-83 turut bersetuju dengan cadangan Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar. Ini berikutan Malaysia berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan persekitaran bandar yang kondusif ke arah pembangunan yang mampan berikutan keusangan tapak dan bangunan sedia ada wujud di kawasan bandar. Perkara ini terjadi disebabkan oleh tahap penyelenggaraan yang lemah, ketidakseimbangan infrastruktur dengan nisbah populasi serta kelemahan pengurusan bandar.
Selain memperkukuh perancangan bandar menerusi pemerkasaan perundangan, MNKT Ke-83 turut bersetuju dengan cadangan Garis Panduan Perancangan (GPP) Kilang Tanaman (Plant Factory). GPP ini dicadang sebagai instrumen yang memudah cara dan menyokong ekosistem industri tanaman makanan, khususnya melalui kaedah Kilang Tanaman. GPP ini meliputi panduan kepada pengusaha atau pelabur untuk menyediakan cadangan pembangunan dari aspek perancangan tapak dan persekitaran untuk pemajuan kilang tanaman. GPP ini juga memudahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal pembangunan supaya lebih seragam, terancang dan menyeluruh, dalam masa yang sama mempercepatkan proses kelulusan bagi menyokong ekosistem industri tanaman negara.
Selain itu, mesyuarat MNKT Ke-83 turut mengambil maklum mengenai status penerimapakaian dan isu pelaksanaan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPP EVCB) bagi mendapatkan kerjasama Kerajaan Negeri dan PBT untuk memastikan objektif dan sasaran 10,000 unit pengecas EV dapat direalisasikan menjelang tahun 2025. Sehingga kini, bilangan EVCB untuk kegunaan awam yang telah beroperasi di seluruh Malaysia masih jauh rendah berbanding dengan sasaran. Oleh itu, kerjasama antara Kementerian/ Agensi di peringkat Persekutuan dengan Pihak Berkuasa Negeri dan PBT perlu diselaraskan sewajarnya bagi menangani isu-isu pelaksanaan.
Mesyuarat MNKT Ke-83 juga mengambil maklum mengenai dapatan Kajian Penilaian Inisiatif Antirasuah Perkhidmatan Awam/ Public Service Anti-Corruption Initiatives Assessment (PSACIA) Tahun 2023 Ke Atas PBT yang dibentang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pihak SPRM telah membuat kajian berkaitan keberkesanan Unit Integriti yang melibatkan 151 PBT seluruh negara dan mendapati sebahagian PBT tidak mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Versi 1.0 (2022) Ceraian SP1.2.1: Penubuhan Unit Integriti Di Semua Sektor Awam. SPRM memohon kerjasama semua PBT di Malaysia untuk menerima pakai PPSM tersebut serta memastikan pelaporan terus Unit Integriti kepada Ketua Jabatan. SPRM juga menyarankan kolaborasi antara KPKT dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) untuk melaksanakan kursus secara customized training kepada Unit Integriti PBT.
21/11/2024
MAJLIS PELANCARAN KEMPEN KATA TIDAK PADA BEG PLASTIK SEKALI GUNA
Pada 26 September 2024, YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) telah melancarkan Kempen Kata Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna di 1 Utama Shopping Centre.
Kempen ini merupakan salah satu usaha strategik KPKT bersama-sama pihak industri daripada sektor peruncitan untuk menangani kesan negatif penggunaan plastik sekali guna khususnya beg plastik jinjit sekali guna terhadap alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Ianya juga bertepatan dengan visi Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di Malaysia serta menyokong usaha KPKT mencapai sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Seramai 20 peruncit, pasaraya, gedung beli-belah dan persatuan yang merangkumi 7,601 premis seluruh negara telah memberikan komitmen untuk menolak penggunaan beg plastik jinjit sekali guna dalam premis perniagaan masing-masing secara berfasa.
Bersempena dengan majlis pelancaran ini, YB KM telah menyampaikan Sijil Aku Janji Kata Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna kepada wakil-wakil sektor peruncitan yang hadir.
YB KM turut meluangkan masa melawat fasiliti kitar semula di 1 Utama Shopping Centre iaitu 1 Recycling Centre 1 Utama yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan barang kitar semula dan Food Waste Recycling Room yang berperanan sebagai bilik pemprosesan sisa makanan daripada 160 kedai Food & Beverage (F&B) di 1 Utama Shopping Centre.
21/11/2024
LIBAT URUS YB MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN BERSAMA PEMEGANG TARUH EKONOMI KITARAN (SEKTOR PERUNCITAN)
Sesi libat urus YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bersama Pemegang Taruh Ekonomi Kitaran (Sektor Peruncitan) telah diadakan pada 20 Ogos 2024 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Seramai 16 pemegang taruh dari sektor peruncitan termasuk wakil persatuan peruncit telah menghadiri sesi libat urus ini seperti Malaysian Retailers Association (MRA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), TF Value Mart Sdn Bhd, Big Supermart Sdn Bhd, Mydin Mohamed Holdings Berhad, AEON Co. (M) Berhad, Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Lulu Retail Group Sdn Bhd, 99 Speed Mart Sdn Bhd, 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Econsave Cash & Carry Sdn Bhd dan My Hero Hypermarket Sdn Bhd.
Menerusi sesi libat urus ini, YB Menteri memohon kerjasama sektor peruncit untuk melaksanakan inisiatif ekonomi kitaran selaras dengan visi Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di Malaysia iaitu pengurusan sisa pepejal di Malaysia adalah berasaskan model ekonomi kitaran menjelang tahun 2050.
Antara inisiatif yang dicadangkan kepada sektor peruncitan adalah menghentikan penggunaan beg plastik sekali guna, mengurangkan pembaziran makanan yang tidak dijual, mempergiatkan penggunaan resit elektronik, menggalakkan perniagaan bercirikan produk hijau, menjalankan tanggungjawab sosial korporat, menyediakan tong kitar semula, ‘drop off point’ kitar semula di pusat membeli belah dan Reverse Vending Machine serta membangunkan program pendidikan, komunikasi dan kesedaran awam (CEPA).
21/11/2024
PERSIDANGAN EKONOMI KITARAN 2024: MEMBINA MASA DEPAN YANG MAMPAN DAN PELANCARAN BLUEPRINT EKONOMI KITARAN BAGI SISA PEPEJAL DI MALAYSIA (2025 – 2035)
Persidangan Ekonomi Kitaran 2024: Membina Masa Depan Yang Mampan telah diadakan pada 6 Ogos 2024 bertempat di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur. Persidangan ini telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM).
Seramai 346 peserta terdiri daripada wakil Agensi Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, pihak industri dan persatuan, pertubuhan bukan kerajaan serta ahli akademik telah menghadiri persidangan yang julung kali diadakan ini.
Menerusi persidangan ini, 10 ahli panel telah membentangkan kertas yang memfokuskan kepada tajuk seperti penglibatan pemegang taruh untuk menyemarakkan pelaksanaan ekonomi kitaran, mendaya upaya pelaksanaan ekonomi kitaran melalui insentif, teknologi dan inovasi dan perkongsian pihak industri dalam melaksanakan aktiviti ekonomi kitaran. Dalam masa yang sama, seramai 16 pempamer turut terlibat bagi mempamerkan serta mempromosikan inisiatif ekonomi kitaran yang telah dijalankan.
Bersempena dengan persidangan ini, YB KM telah melancarkan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di Malaysia (2025 – 2035) yang menggariskan lima (5) tonggak strategik, 20 inisiatif, pelan tindakan yang komprehensif dan garis masa bagi membantu peralihan kepada ekonomi kitaran dalam sektor sisa pepejal. Blueprint ini juga akan menjadi dokumen rujukan halatuju pembangunan ekonomi kitaran pengurusan sisa pepejal bagi semua pemegang taruh bagi tempoh 10 tahun di Malaysia.
20/11/2024
MESYUARAT MAJLIS NEGARA BAGI KERAJAAN TEMPATAN (MNKT) KE-82
27 MAC 2024 - Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-82 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusoff telah diadakan di Bangunan Parlimen dan turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming.
Penganjuran mesyuarat ini adalah selaras dengan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan penubuhan MNKT sebagai badan perundingan tertinggi di antara Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan-kerajaan Negeri dalam pelaksanaan sesuatu dasar dan undang-undang berkaitan Kerajaan Tempatan. Selain itu, MNKT ini juga berperanan sebagai platform penyelarasan dalam mengawal selia fungsi dan kepentingan berkaitan kemajuan Kerajaan Tempatan. Sebanyak tiga (3) kertas pertimbangan dan satu (1) kertas makluman telah dibentang dalam Mesyuarat MNKT Ke-82.
Bagi menambah baik usaha keselamatan rekreasi dan kesejahteraan hidup rakyat, MNKT Ke-82 telah bersetuju dengan Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan. Garis panduan ini bertujuan untuk dijadikan panduan kepada pengguna, pengusaha dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN)/ Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merancang dan memastikan tapak-tapak perkhemahan yang digunakan adalah selamat, mampan serta mematuhi perundangan yang berkuat kuasa. Garis panduan ini memfokuskan kepada tiga (3) aspek utama iaitu perancangan tapak, mekanisme pemajuan dan kawal selia serta pengurusan operasi tapak perkhemahan. Melalui garis panduan ini, rakyat dapat menjalankan aktiviti perkhemahan dengan selamat di tempat-tempat yang telah dilesenkan.
MNKT-82 turut bersetuju dengan Garis Panduan Pengurusan dan Penarafan Bintang Tandas Awam di Malaysia. Garis panduan ini menggantikan Garis Panduan Star Rating Kebersihan Tandas Kegunaan Awam di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan yang telah diguna pakai selama ini telah ditambah baik dengan penambahan mekanisme pemantauan dan pemeriksaan secara kendiri.
Bagi menyokong perkembangan ekonomi semasa, MNKT-82 turut bersetuju dengan Garis Panduan Kawal Selia Perniagaan Dari Rumah yang akan berperanan sebagai asas dan panduan oleh PBT di seluruh negara dalam melaksanakan pematuhan dan penguatkuasaan aktiviti perniagaan dari rumah. Garis panduan ini tercetus ekoran daripada penambahan usahawan mikro dalam jumlah yang ketara akibat penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan punca pendapatan sebilangan besar rakyat. Aspek-aspek utama yang dirangkumkan dalam garis panduan tersebut adalah ciri-ciri perniagaan dari rumah, pelan lokasi dan keluasan kebenaran berniaga, syarat dan tatacara permohonan lesen perniagaan serta perincian aktiviti perniagaan yang dibenarkan. Perancangan ini adalah sejajar dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang inklusif menjelang tahun 2030 yang merancakkan perniagaan mikro dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, mesyuarat mengambil maklum mengenai Status Pewartaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) (Pindaan 2021) oleh PBN dan PBT. UKBS 1984 adalah perundangan subsidiari di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang bertujuan bagi menyeragamkan undang-undang berkaitan pemajuan bangunan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. UKBS 1984 ini telah dipinda dari 1991 sehingga yang terkini adalah pada tahun 2021 di mana pindaan ini adalah bertujuan bagi memenuhi keperluan semasa selaras dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan. Pindaan terkini pada tahun 2021 telah melibatkan sebanyak 114 pindaan yang melibatkan kategori-kategori utama pemajuan. Susulan itu, adalah perlu bagi kesemua negeri di Semenanjung Malaysia mewartakan pindaan semasa supaya perkhidmatan yang diberikan di peringkat PBT adalah seragam.
20/11/2024
MESYUARAT MAJLIS EKONOMI KITARAN BAGI SISA PEPEJAL (NATIONAL CIRCULAR ECONOMY COUNCIL – NCEC) BILANGAN 1 TAHUN 2024
Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (National Circular Economy Council – NCEC) Bilangan 1 Tahun 2024 telah diadakan pada 30 April 2024 bertempat di Le Meridien Kuala Lumpur.
Mesyuarat NCEC ini telah dipengerusikan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ahli Mesyuarat NCEC yang hadir terdiri daripada wakil Kementerian dan agensi iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan & Kerajaan Tempatan Sarawak serta wakil daripada kesemua Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Selain itu, wakil persatuan dan swasta daripada Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA), Waste Management Association of Malaysia (WMAM), Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA), Malaysia Retailers Association (MRA), Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM), Malaysian Iron and Steel Industry Federation (MISIF), Malaysia Glass Association (MGA), Malaysian Textile Manufacturers Association (MTMA) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) turut menghadiri mesyuarat ini.
Ahli Mesyuarat bersetuju dengan empat (4) kertas pertimbangan yang dibentangkan berkaitan pengukuhan tadbir urus Majlis, transformasi perundangan, peranan Pihak Berkuasa Tempatan dalam melonjakkan kadar kitar semula dan kaedah Material Flow Analysis dalam pengiraan kadar kitar semula kebangsaan.
Mesyuarat juga mengambil maklum berkenaan pengintegrasian pekerja tidak formal dan perusahaan kecil dan sederhana (Small and Medium Enterprise - SME) serta peranan dan tanggungjawab semua pihak terutama pihak industri melalui pelaksanaan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (Extended Producer Responsibility – EPR).
Pembentangan kertas melibatkan wakil daripada KPKT, Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA), FIG Metal Industries Sdn Bhd dan Malaysian Recycling Alliance (MAREA). Keputusan dasar dan perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat NCEC ini seterusnya akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Kerajaan bersama wakil industri, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik pada hari ini bersetuju dan komited untuk bersama memacu agenda transformasi kepada ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal berlandaskan semangat kebersamaan dan keterangkuman bagi melonjakkan kemajuan sektor berasaskan sisa serta memastikan Malaysia bersih dan mampan.
03/04/2024
MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU MAJLIS EKONOMI KITARAN BAGI SISA PEPEJAL (NATIONAL CIRCULAR ECONOMY – NCEC)
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (National Circular Economy Council – NCEC) telah diadakan pada 3 April 2024 bertempat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ahli mesyuarat Jawatankuasa Pemandu NCEC terdiri daripada wakil Kementerian dan agensi iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Selain itu, wakil daripada kesemua Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan wakil akademik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut serta sebagai ahli mesyuarat ini.
Mesyuarat Pemandu ini telah membincangkan 5 kertas pertimbangan dan 1 kertas makluman yang berkaitan pengukuhan tadbir urus Majlis, perundangan, kitar semula dan integrasi sektor informal di Malaysia. Pembentangan kertas melibatkan wakil daripada KPKT, Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA), FIG Metal Industries Sdn Bhd dan Malaysian Recycling Alliance (MAREA).