05/10/2026
MEMACU AI YANG SELAMAT, PERKUKUH KEPERCAYAAN DIGITAL KE ARAH NEGARA AI 2030
KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Timbalan Menteri Digital, YB Datuk Wilson Ugak Kumbong hari ini merasmikan CyberDSA 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Memasuki edisi keempat, CyberDSA 2026 anjuran Aerosea Exhibitions Sdn. Bhd. ini menghimpunkan wakil kerajaan, agensi pertahanan dan keselamatan, pengawal selia, peneraju industri, penyedia teknologi serta penyelidik bagi memperkukuh keselamatan, daya tahan dan kepercayaan dalam ekosistem digital.
Bertemakan ‘Memacu AI yang Selamat, Memperkukuh Kepercayaan Digital dan Memelihara Kewibawaan Kedaulatan Data’, CyberDSA 2026 mengetengahkan keperluan agar perkembangan AI bergerak seiring dengan keselamatan siber, tadbir urus dan perlindungan data.
Ketika penerapan AI semakin meluas, keselamatan siber tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai aspek perlindungan. Sebaliknya, ia menjadi asas kepada keberkesanan, kesinambungan dan daya tahan transformasi digital negara.
Seiring aspirasi Negara AI 2030, Malaysia perlu membina keupayaan untuk membangunkan, menggunakan dan mentadbir teknologi secara selamat, bertanggungjawab dan dipercayai, sekali gus memastikan kemajuan digital negara terus dipacu dengan keyakinan, keselamatan dan daya tahan.
CyberDSA 2026 berlangsung selama tiga hari, dari 5 hingga 7 Oktober 2026 di MITEC, Kuala Lumpur.
Hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Shaharuddin Abu Sohot; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik & Pengurusan) Kementerian Digital Encik Shakib Ahmad Shakir Jamaludin; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital Encik Ma. Sivanesan; Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Laksamana Muda Dato’ Fadhil Abdul Rahman;Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dato' Sri Noor Hisam Nordin serta Pengerusi Aerosea Exhibitions Sdn. Bhd. Tan Sri Asmat Kamaludin.