31/05/2026
DIRGAHAYU TUANKU
Menjunjung kasih dan merafak sembah setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 1 Jun 2026 bersamaan 15 Zulhijjah 1447H.
Semoga Allah SWT melanjutkan usia dan mengurniakan Kebawah Duli Tuanku kesejahteraan, kekuatan dan keberkatan yang berpanjangan demi kemakmuran negara dan jua kesejahteraan rakyat.
Ikhlas Daripada:
Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari
Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil, Jabatan Perkhidmatan Awam
Dan Seluruh Ahli PCK JPA
31/05/2026
Selamat Menyambut Hari Wesak 2026 kepada semua penganut Buddha.
Semoga nilai kasih sayang, belas ihsan, toleransi dan keharmonian yang dihayati sempena Hari Wesak terus memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan masyarakat dan negara.
26/05/2026
Selamat Hari Raya Aidil Adha 2026,
Semoga Aidiladha yang mulia ini membawa keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan buat kita semua.
Semoga setiap pengorbanan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan diterima Allah SWT dan menjadi asbab kepada rahmat serta kejayaan di dunia dan akhirat.
Ikhlas Daripada:
Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari
Pengerusi PUSPANITA
Cawangan Kecil
Jabatan Perkhidmatan Awam
Dan seluruh ahli PCK JPA
20/05/2026
8 Mei 2026 - PUSPANITA Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam (PCK JPA) melalui Biro Sukan dan Rekreasi telah berjaya menganjurkan Program Jom Zumba Bersama PCK JPA bertempat di Perkarangan Lobi Blok C3, Kompleks C, Jabatan Perkhidmatan Awam. Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai 86 peserta, sekali gus membuktikan semangat kebersamaan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga PCK JPA terus subur dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Program yang bermula dari jam 5.15 sehingga 6.30 petang dirasakan begitu singkat kerana pengisian aktivitinya yang begitu menarik dan menyeronokkan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada YBhg. Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil JPA atas nasihat, sokongan, dorongan dan kesudian bersama-sama memeriahkan program ini.
Ucapan penghargaan turut dirakamkan kepada YBhg. Datin Noriah binti Yunus, Timbalan Pengerusi 1 PCK JPA, Puan Noor Hajamaimun binti Nor Azlan, Setiausaha PCK JPA, Puan Norhaslinda binti Ismail @ Harun, Bendahari PCK JPA, Barisan AJK Induk PCK JPA, Puan Hasmarulaini binti Omar, Pengerusi Biro Seranta, YBrs. Dr. Diyana binti Hassim, Pengerusi Biro Promosi & Publisiti, Puan Hajah Haslinda binti Jamaluddin, Pengerusi Biro Pembangunan Keluarga, barisan Setiausaha Biro PCK JPA dan ahli PCK JPA yang telah menyertai program ini dengan penuh semangat dan ceria.
Tidak dilupakan penghargaan khas kepada instruktor zumba yang penuh bertenaga dan sporting, ZIN Khalid Halim, yang mempunyai 14 tahun pengalaman dalam bidang jurulatih kecergasan yang berjaya menceriakan suasana serta membangkitkan semangat para peserta sepanjang sesi berlangsung. Tidak dilupakan penghargaan kepada Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Putrajaya atas kerjasama kesiapsiagaan pasukan keselamatan sepanjang program berlangsung.
17/05/2026
Setinggi-tinggi tahniah dizahirkan kepada YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
di atas Pengurniaan
Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P)
yang membawa gelaran Dato' Seri
sempena Ulang Tahun Keputeraan yang ke-83 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Raja Negeri Perlis.
11/05/2026
8 Mei 2026 - Mesyuarat Jawatankuasa PUSPANITA Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam Bil. 2 Tahun 2026 telah diadakan dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 9 Blok C1, JPA. Program mesyuarat dimulai dengan Sesi Fotografi Khas bersama YBhg. Tan Sri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam di Lobi Utama, Blok C1, Jabatan Perkhidmatan Awam. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBhg. Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil JPA dan turut hadir ke mesyuarat tersebut ialah Timbalan Pengerusi I, PCK JPA iaitu YBhg. Datin Noriah binti Yunus, Pengerusi-pengerusi Biro, Ahli Jawatankuasa Induk, Setiausaha Biro dan juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro.
Mesyuarat antara lainnya telah membincangkan aktiviti dan program yang telah dijalankan sepanjang bulan Februari hingga Mei 2026 serta pembentangan cadangan program-program bagi bulan Jun hingga September 2026. Turut dibentangkan semasa mesyuarat adalah laporan kewangan dan keahlian yang berakhir sehingga 30 April 2026. Mesyuarat tersebut turut meraikan Hari Kelahiran Ahli Jawatankuasa Induk melalui Sambutan Hari Lahir AJK PCK JPA yang lahir pada bulan Februari hingga Mei 2026. Mesyuarat yang menghimpunkan semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi PCK JPA tersebut telah ditangguhkan pada jam 12.45 tengah hari. Mesyuarat tersebut telah mencapai objektif yang ditetapkan dan mesyuarat seterusnya akan diadakan pada September 2026.
10/05/2026
14 April 2026 - PUSPANITA Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam (PCK JPA) telah menganjurkan Program Lawatan ke Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia bertempat di Petaling Jaya, Selangor.
Program lawatan ini diketuai oleh YBhg. Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari dan seramai 39 orang ahli PCK JPA. Program turut disertai oleh YBhg. Datin Noriah binti Yunus (Timbalan Pengerusi 1), YBhg. Datin Nor O’baidah binti Abidin (Timbalan Pengerusi 2) dan YBrs. Puan Haslinda binti Jamaluddin (Pengerusi Biro Pembangunan Keluarga).
Program tersebut telah memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada ahli-ahli PUSPANITA mengenai teknologi teras yang digunakan oleh MET Malaysia seperti sistem radar cuaca, satelit dan model numerikal yang digunakan untuk menyediakan maklumat ramalan dan amaran cuaca serta gempa bumi bagi kegunaan sejagat. Selain menjalin hubungan strategik dan kerjasama antara PCK JPA dan MET Malaysia, ia juga meningkatkan kesedaran dan literasi digital di kalangan peserta terhadap aplikasi ICT dalam pengurusan bencana dan pemantauan iklim. Program dimulakan dengan ucapan oleh YBrs. Puan Siti Zuana binti Mohamed Tahir, Pengerusi PUSPANITA MET Malaysia dan seterusnya ucapan YBhg. Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari, Pengerusi PCK JPA. Program diteruskan dengan tayangan Video Korporat MET Malaysia dan diikuti sesi taklimat serta pembentangan oleh Pusat Operasi Cuaca Dan Gempa Bumi Nasional (POCGN) yang disampaikan oleh Puan Nazian binti Zainal Abidin dan Puan Jah Salmihani binti Mansor. Banyak informasi dan pengalaman menarik yang telah dikongsikan.
Setelah itu, para peserta telah melawat ke Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN) dan didedahkan dengan persekitaran kerja serta pengoperasian pusat tersebut. Ahli PCK JPA juga aktif dalam sesi soal-jawab berkaitan topik yang dikongsikan. Setinggi penghargaan dan terima kasih dizahirkan kepada YBhg. Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari kerana sentiasa membimbing dan memberikan pandangan serta nasihat bagi memastikan kejayaan program ini.