05/10/2026
PELANTIKAN SEMULA TIMBALAN NAIB CANSELOR (HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI) UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA
Jabatan Pendidikan Tinggi mengucapkan tahniah kepada YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Sabri Mohamad Sharif atas pelantikan semula sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2026.
YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Sabri berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan Harta Intelek dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2015. Kepakaran beliau turut meliputi pengurusan dasar dan strategi serta kepimpinan inovasi dan keusahawanan.
Beliau telah menerajui portfolio hal ehwal pelajar UTeM sejak tahun 2021, dengan pengalaman dalam pemerkasaan kebajikan dan pembangunan sahsiah pelajar, pengukuhan kebolehpasaran graduan serta peluasan jaringan alumni dan kerjasama industri.
Di peringkat kebangsaan, beliau turut memegang amanah sebagai Pengerusi Majlis Alumni Universiti Awam (MALUMNI) yang berperanan memperkukuh jaringan dan sumbangan alumni universiti awam kepada pembangunan universiti, masyarakat dan negara.
Semoga kesinambungan kepimpinan beliau dapat memperkukuh kesejahteraan dan pembangunan holistik pelajar UTeM, memperluas penglibatan alumni serta melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti dan bersedia memenuhi keperluan negara.
Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM