19/10/2026
KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
KECAMAN KERAS TERHADAP LARANGAN BERHIJAB DI SEKOLAH-SEKOLAH AZERBAIJAN: DUNIA HIPOKRIT MENGENAI HAK ASASI WANITA DAN PENDIDIKAN
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya dasar serta tindakan berterusan kerajaan Azerbaijan yang menyekat dan melarang pemakaian hijab dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah-sekolah. Tindakan memaksa anak-anak muda ini memilih antara hak untuk mendapatkan pendidikan dan ketaatan kepada agama adalah satu bentuk kezaliman, penindasan mental, serta pencabulan hak kebebasan beragama yang sangat nyata.
2. Menafikan hak berhijab di institusi pendidikan seolah-olah satu cubaan terancang untuk menjauhkan generasi muda daripada identiti dan kefahaman Islam yang sebenar. Sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, adalah sangat ironi dan mendukacitakan apabila dasar sekularisme radikal sebegini diangkat sehingga mengorbankan syariat yang wajib dipelihara.
3. Dalam mendepani penindasan ini, DUPP mempertikaikan dengan lantang, di manakah perginya suara masyarakat antarabangsa, pejuang kebebasan bersuara, dan pendokong hak asasi wanita? Sikap dunia hari ini sangat hipokrit. Apabila timbul desakan wanita untuk menanggalkan tudung atau berpakaian mencolok mata atas tiket "kebebasan", seluruh dunia dan media Barat bising menjerit memberi sokongan. Namun, apabila pelajar-pelajar Muslimah ditekan, diusir dari kelas, dan dinafikan hak asasi mereka untuk memakai hijab demi menuntut ilmu, seluruh dunia tiba-tiba menjadi bisu dan memekakkan telinga. Sikap 'double standard' ini amat memalukan dan membuktikan retorik hak asasi manusia tajaan Barat hanyalah kepalsuan semata-mata.
4. Sehubungan dengan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan pendirian berikut:
Pertama: Menyeru seluruh umat Islam dan masyarakat antarabangsa yang cintakan keadilan untuk bangkit membuat bantahan secara terbuka ke atas pencabulan hak pendidikan dan kebebasan beragama yang berlaku di institusi persekolahan Azerbaijan.
Kedua: Mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kerajaan negara-negara Islam, serta para ulama di seluruh dunia agar campur tangan dan tidak sekadar berdiam diri. OIC mesti menggunakan saluran diplomatik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa Azerbaijan agar segera memansuhkan dasar pendidikan yang bersifat Islamofobik ini.
Ketiga: Menyatakan solidariti penuh dan menyeru seluruh rakyat Islam di Azerbaijan, khususnya para ibu bapa dan pelajar, untuk terus kuat, beristiqamah, dan menunjukkan kebersamaan yang padu. Pertahankanlah hak akidah dan syariat anak-anak kita kerana kebenaran pasti akan terbela.
5. DUPP menegaskan bahawa institusi pendidikan seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk membina akhlak dan intelek, bukannya medan untuk mendiskriminasi mana-mana individu atas asas agama.
YB USTAZ DATO' MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
18 Oktober 2026 Miladi bersamaan 7 Jamadilawwal 1448 Hijri