08/10/2026
“SAYA TAK JUMPA TONG SAMPAH!”
Anda mungkin rasa anda tidak bersalah jika membuang sampah di tempat awam, lebih-lebih lagi apabila tidak menjumpai tong sampah di sekeliling anda.
Jika menggunakan logik yang salah, apabila tidak menjumpai tong sampah, sampah tersebut boleh dibuang sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi apabila tiada siapa yang melihat.
Tetapi, tidak jumpa tong sampah bukan alasan untuk membuang sampah merata-rata.
Jika tiada tong sampah berhampiran atau tong sampah telah penuh, simpan sampah anda terlebih dahulu dan buang apabila menemui tong sampah yang sesuai atau apabila pulang ke rumah.
Anda bertanggungjawab terhadap sampah anda sendiri.
Lebih baik lagi, jika sampah yang dihasilkan merupakan barangan yang boleh dikitar semula, asingkan dan kumpulkan dengan betul. Didik anak-anak sejak kecil untuk mengenali barangan yang boleh dikitar semula dan mengamalkan pengasingan sisa di punca.
Amalan kecil yang dibentuk sejak kecil mampu menjadi kebiasaan yang baik untuk masa hadapan.
Mulai tahun 2026, penguatkuasaan terhadap pesalah yang membuang sampah merata-rata telah diperkasakan melalui pindaan Akta 672 di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Jika didapati bersalah kerana membuang sampah merata-rata, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 dan dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam.
Jangan tunggu tong sampah di depan mata untuk memilih tindakan yang betul.
Ingat, tangan yang mengotorkan, tangan yang sama akan membersihkan.