30/06/2026
PARIT SULONG, 29 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak supaya tidak menghalang pergerakan dan kempen BN sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya berdepan secara adil dalam medan demokrasi.
Menurut beliau, tindakan seperti menyekat kempen atau kandungan di media sosial tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
“Jangan tekan-tekan, jangan sekat-sekat. Nak masuk ‘kandang’ pun tidak boleh. Jumpalah dalam gelanggang dengan ‘gentleman’.
“Apa Facebook kita kena sekat, lagu kita di TikTok pun kena sekat. ‘Gentleman’lah lawan hingga menang,” katanya.
Beliau berkata UMNO dan BN kekal komited menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran, namun berharap semua pihak menghormati proses demokrasi tanpa usaha menyekat gerak kerja politik mana-mana parti.
Beliau menegaskan UMNO dan BN bukanlah parti yang lahir daripada demonstrasi jalanan, sebaliknya ditubuhkan secara rasmi serta mempunyai sejarah perjuangan yang panjang.
“UMNO dan BN bukan parti jalanan, bukan parti demonstrasi serta bukan parti anak-beranak. UMNO dan BN adalah parti masa depan, parti untuk seluruh rakyat Malaysia demi kepentingan rakyat,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan BN tidak mengamalkan politik dendam atau budaya saling menghina sepanjang tempoh kempen, sebaliknya mahu pilihan raya berlangsung secara matang dan berhemah.
Justeru, beliau menyeru semua calon serta penyokong menghormati proses demokrasi dan bersaing secara profesional sepanjang kempen PRN Johor.