04/10/2026
KENYATAAN MEDIA
KEMATIAN TRAGIS IRENE SOFIYA: KEADILAN MESTI DITEGAKKAN, KESELAMATAN SEKOLAH WAJIB DIPERKUKUH
JOHOR BAHRU | 4 Oktober 2026
Saya amat terkejut dan dukacita atas kematian tragis Allahyarhamah Irene Sofiya, pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah di Yong Peng semalam.
Sukar untuk membayangkan kesedihan yang sedang ditanggung oleh keluarga dengan tregedi yang menimpa. Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang menyayat hati ini.
Sekolah sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat bagi anak-anak selepas rumah mereka sendiri, oleh itu kejadian ini tidak boleh dipandang sebagai sebuah kes terpencil semata-mata.
Ia menuntut penelitian serius terhadap aspek kawalan keselamatan, pemantauan kehadiran murid dan pengawasan ketika kelas tambahan.
Saya menyambut baik arahan supaya siasatan dijalankan dengan segera, menyeluruh dan telus serta langkah Kementerian Pendidikan untuk meneliti setiap aspek pengurusan dan keselamatan sekolah berkenaan.
Pada masa sama, semua pihak perlu memberikan ruang kepada Polis Diraja Malaysia untuk melengkapkan siasatan tanpa spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan.
Kes ini mesti diadili dengan sebaik-baiknya berlandaskan bukti dan undang-undang supaya keadilan dapat ditegakkan untuk Allahyarhamah serta keluarganya tanpa menafikan hak mana-mana pihak yang terlibat dalam proses perundangan.
Sekiranya siasatan menemukan sebarang kecuaian, kelemahan prosedur atau kegagalan melaksanakan tanggungjawab, tindakan pembetulan dan pertanggungjawaban mesti dilaksanakan dengan tegas, kita tidak boleh menunggu satu lagi tragedi berlaku sebelum kelemahan yang ada ditangani.
Pemergian Irene Sofiya mesti menjadi titik perubahan dalam usaha memperkukuh keselamatan di sekolah.
Setiap ibu bapa berhak menghantar anak mereka ke sekolah dengan keyakinan bahawa keselamatan dan kebajikan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan.
Semoga Allah SWT mengampuni Allahyarhamah Irene Sofiya, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.
Al-Fatihah.
DATUK HAJI ZULKIFLI BUJANG
Pengerusi
Majlis Perhubungan Parti Wawasan Negara Negeri Johor