11/09/2026
KURSUS LATIHAN INTENSIF: ASAS APLIKASI KECERDASAN BUATAN (GENERATIVE ARTIFICIAL INTELLIGENCE) UNTUK PELAJAR SIJIL PERTANIAN DAN PELATIH SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA INSTITUT PERTANIAN SERDANG (IPS) TAHUN 2026
Institut Pertanian Serdang melalui Unit Akademik, Seksyen Pengurusan Program telah mengadakan kursus tersebut pada 1, 2, 8 dan 9 September 2026 (Selasa dan Rabu), bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang bertempat di Makmal Komputer Institut Pertanian Serdang (IPS). Kursus ini melibatkan seramai 115 orang peserta, terdiri daripada pelajar Sijil Pertanian dan Pelatih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Kursus ini telah disampaikan oleh Encik Syaheedullah bin Yahya (Sir Syah), Jurulatih AI daripada ROR Academy AI, Kuala Lumpur.
Objektif kursus ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai konsep dan aplikasi praktikal Generative AI dalam aktiviti akademik serta bidang perniagaan tani (agro-business), membimbing peserta dalam penggunaan alatan AI secara beretika dan bertanggungjawab bagi meningkatkan produktiviti, kualiti penulisan serta kecekapan dalam pengurusan maklumat dan seterusnya melatih peserta menguasai teknik kejuruteraan arahan (Prompt Engineering) yang berkesan bagi mendapatkan hasil analisis data dan maklumat yang lebih berkualiti, tepat dan relevan.
Kursus ini merangkumi lapan (8) modul utama, iaitu:
1. Pengenalan kepada AI
2. Kemahiran Prompt AI
3. AI untuk Penulisan & Dokumentasi
4. AI untuk Reka Bentuk & Infografik
5. AI untuk Penjanaan Imej
6. AI untuk Penjanaan Audio & Muzik
7. AI untuk Perniagaan Agro
8. AI untuk Video & Peta Minda
Secara keseluruhannya, kursus ini memberikan pendedahan yang menyeluruh kepada peserta mengenai penggunaan teknologi Generative AI dalam bidang akademik dan perniagaan tani. Penguasaan kemahiran ini diharapkan dapat membantu peserta memanfaatkan teknologi AI secara lebih kreatif, produktif dan beretika dalam pembelajaran serta tugasan yang berkaitan dengan bidang pertanian dan keusahawanan agro.
Pelaksanaan kursus ini merupakan satu langkah yang positif dalam mempersiapkan pelajar dan pelatih Institut Pertanian Serdang menghadapi perkembangan teknologi digital dan keperluan industri semasa. Diharapkan kemahiran Generative AI yang diperoleh dapat dimanfaatkan secara berterusan dan bertanggungjawab bagi meningkatkan kompetensi peserta serta menyokong usaha melahirkan tenaga kerja dalam bidang pertanian yang berkemahiran, inovatif dan celik teknologi.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan IPS dan pihak penceramah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang kursus ini diadakan.