28/08/2026
KENYATAAN MEDIA
YB DR. FAHMI NGAH
EXCO AGAMA ISLAM DAN PEMBUDAYAAN INOVASI
KERAJAAN NEGERI SELANGOR
PENGUNJUNG MASJID DAN SURAU DISARAN MEMAKAI PELITUP MUKA SEMASA JEREBU
SHAH ALAM, 26 OGOS 2026 – Berikutan keadaan jerebu dan penurunan kualiti udara di beberapa kawasan di Selangor, saya menyeru umat Islam, khususnya para jemaah masjid dan surau di kawasan yang terjejas, agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan diri.
Antara langkah yang boleh diambil ialah memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah, di dalam masjid atau surau dan banyakkan meminum air suam, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan kualiti udara yang kurang baik.
Saya juga menyeru pihak pengurusan masjid dan surau agar memberikan perhatian terhadap keadaan jemaah, terutama golongan kanak-kanak, warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan.
Mana-mana pengunjung yang mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak atau kurang sihat akibat jerebu, dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti di luar rumah, mengutamakan kesihatan diri dan mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya agar tidak membahayakan para pengunjung masjid atau surau yang lain.
Dalam masa yang sama, ibadah berjemaah di masjid dan surau hendaklah terus digalakkan, dengan mengambil langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian mengikut keadaan setempat dan nasihat pihak berkuasa.
Marilah kita terus mengimarahkan masjid dan surau dengan penuh tertib, sambil mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti ketika jerebu ini.
YB DR. FAHMI NGAH
EXCO AGAMA ISLAM DAN PEMBUDAYAAN INOVASI
KERAJAAN NEGERI SELANGOR