01/10/2026
PADIBERAS NASIONAL BERHAD PERKASA INTEGRITI ORGANISASI MELALUI IKRAR BEBAS RASUAH
SHAH ALAM, 1 Oktober 2026 (Khamis) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor terus komited memperkukuh pembudayaan integriti dan amalan tatakelola baik dalam sektor korporat menerusi penganjuran Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Padiberas Nasional Berhad yang berlangsung di Hilton Shah Alam Glenmarie Hotel, Shah Alam.
Majlis anjuran Padiberas Nasional Berhad ini merupakan satu inisiatif strategik dalam memperkasa budaya kerja berintegriti, di samping menzahirkan komitmen organisasi dalam membanteras rasuah serta salah guna kuasa. Program ini telah dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi Padiberas Nasional Berhad, pengurusan kanan Tradewinds Group (M) Sdn. Bhd., serta warga kerja syarikat.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Dato’ Mohammad Azlan bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Padiberas Nasional Berhad, diikuti ucapan oleh Penolong Pesuruhjaya Rosmadi bin Kasim dari SPRM Negeri Selangor. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penerapan budaya integriti merupakan asas penting dalam membentuk organisasi yang berdaya tahan, selain memastikan pelaksanaan tatakelola yang telus, berakauntabiliti dan bebas daripada sebarang bentuk rasuah serta salah guna kuasa.
Kemuncak majlis menyaksikan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Mohammad Azlan bin Abdullah selaku Ketua Pegawai Eksekutif Padiberas Nasional Berhad, diikuti dengan sesi menandatangani dokumen IBR sebagai simbol komitmen seluruh warga kerja dalam menolak sebarang perlakuan rasuah dan salah laku.
Sesi perkongsian ilmu turut diadakan melalui slot ceramah yang disampaikan oleh PKPs Mohd Redzuan bin Mohamad dan PKPs Hidayat bin Aziz dari SPRM Negeri Selangor bertajuk “Membudayakan Integriti, Menolak Rasuah: Langkah Tegas Padiberas Nasional Berhad”. Sesi tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan pematuhan, pengukuhan tatakelola serta pembudayaan nilai integriti sebagai elemen utama dalam membentuk tingkah laku beretika dan mencegah risiko rasuah dalam organisasi.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan penyerahan cenderahati oleh SPRM Negeri Selangor kepada YBhg. Dato’ Mohammad Azlan bin Abdullah sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan kerjasama Padiberas Nasional Berhad dalam menjayakan inisiatif IBR ini.
Turut hadir ialah YBhg. Tan Sri Abdul Hamid Bador, Penasihat Keselamatan Tradewinds Group (M) Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Abdul Jamil bin Johari, Ketua Pegawai Tadbir Urus dan Siasatan Tradewinds Group (M) Sdn. Bhd. serta pegawai-pegawai SPRM Negeri Selangor.
Disediakan Oleh,
Cawangan Pendidikan Masyarakat
SPRM Negeri Selangor