12/09/2026
๐๐ซ๐๐ ๐๐๐ข ๐๐๐ฅ๐ข๐ค๐จ๐ฉ๐ญ๐๐ซ ๐๐จ๐ค๐ญ๐จ๐ซ ๐๐๐๐ซ๐: ๐๐๐ ๐๐๐ฃ๐ข๐ ๐๐๐ซ๐ญ๐ข๐ง๐๐๐ค ๐๐๐ ๐๐ฌ, ๐๐๐ฅ๐ฎ๐ฌ ๐๐๐ง ๐๐๐ง๐ฒ๐๐ฅ๐ฎ๐ซ๐ฎ๐ก
Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service, FDS) berhampiran Long Lellang STOLport, Marudi, Sarawak.
Tragedi ini bukan sekadar satu kemalangan penerbangan. Ia adalah kehilangan besar kepada keluarga mangsa, komuniti kesihatan negara dan khususnya rakyat di kawasan pedalaman yang sekian lama bergantung kepada perkhidmatan doktor udara bagi mendapatkan rawatan asas serta kecemasan.
Menurut pengesahan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter jenis BO-105 itu sedang menjalankan misi Perkhidmatan Doktor Udara dan membawa lima individu termasuk juruterbang ketika terhempas berhampiran Long Lellang STOLport.
CAAM menerima makluman kejadian daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang, manakala siasatan kemalangan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Kita menghargai pengorbanan para petugas kesihatan yang menjalankan tugas di kawasan sukar yang diakses, jauh dari kemudahan hospital dan terpisah oleh bentuk muka bumi yang mencabar. Mereka tidak seharusnya diperlakukan sebagai tenaga kerja biasa yang sekadar "menaiki helikopter untuk menjalankan tugas", sebaliknya sebagai petugas barisan hadapan yang menanggung risiko pekerjaan luar biasa demi memastikan rakyat di pedalaman tidak tercicir daripada sistem kesihatan negara.
KKM tidak boleh sekadar menunggu hasil siasatan teknikal AAIB sebelum mengambil langkah pembetulan. Siasatan AAIB penting bagi menentukan punca nahas dan faktor penyumbang, tetapi tanggungjawab KKM terhadap kebajikan, keselamatan pekerjaan serta kesiapsiagaan petugas kesihatannya perlu dilaksanakan serta-merta.
Sehubungan itu, saya menuntut KKM mengambil tindakan berikut:
1. Mewujudkan siasatan dalaman bebas dan laporan awam KKM.
KKM perlu menubuhkan jawatankuasa bebas melibatkan pakar keselamatan penerbangan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, wakil petugas kesihatan dan pakar perubatan kecemasan. Jawatankuasa ini perlu menilai keseluruhan tadbir urus FDS dan Medevac, bukan hanya insiden nahas ini. Laporan awal perlu diumumkan kepada umum dalam tempoh segera, tanpa menjejaskan siasatan AAIB.
2. Melaksanakan audit keselamatan dan semakan menyeluruh aset serta kontrak perkhidmatan udara kesihatan.
KKM mesti melaksanakan audit keselamatan segera dan menyeluruh terhadap semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) serta Medevac, termasuk pesawat dan helikopter yang digunakan dan standard keselamatan pengendali. Audit tersebut juga perlu menilai kesesuaian aset dan kontrak perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa, termasuk kecukupan peruntukan penyelenggaraan, ketersediaan alat ganti dan kompetensi pengendali. Mana-mana aset atau operasi yang tidak memenuhi tahap keselamatan tertinggi hendaklah digantung serta-merta sehingga diperakui selamat oleh pihak berkuasa penerbangan yang kompeten.
3. Memperkasakan latihan keselamatan, perlindungan insurans dan kebajikan risiko petugas kesihatan udara.
KKM wajib memastikan semua doktor, penolong pegawai perubatan, jururawat dan petugas lain yang ditugaskan dalam FDS atau Medevac menerima latihan keselamatan penerbangan yang khusus, wajib dan berkala sebelum dibenarkan menyertai misi udara. Dalam masa yang sama, KKM bersama Jabatan Perkhidmatan Awam mesti menyediakan perlindungan insurans kemalangan, hilang upaya kekal, perlindungan nyawa dan pampasan waris yang jelas serta mencukupi bagi semua petugas terlibat. Segala borang pelepasan tanggungan yang boleh memindahkan risiko secara tidak adil kepada petugas dan keluarga mereka mesti disemak semula dengan segera.
4. Menyemak semula elaun dan pengiktirafan risiko tugas udara.
Laporan bahawa Elaun Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara hanya RM30 bagi penerbangan pergi balik, dan kadar itu dikatakan telah wujud sejak 1978, mencerminkan kegagalan mengiktiraf realiti risiko dan pengorbanan petugas. Isunya bukan semata-mata menaikkan RM30 kepada RM40 atau RM50. KKM dan JPA mesti merangka satu skim baharu yang munasabah, berasaskan risiko, tempoh tugasan, tahap bahaya serta tanggungjawab penjagaan pesakit dalam
penerbangan.
5. Menyediakan bantuan serta pampasan segera dan bermaruah kepada keluarga mangsa.
KKM perlu menjadi pihak yang proaktif menguruskan bantuan kewangan segera, sokongan psikososial, urusan kebajikan, pendidikan anak-anak dan penyelarasan tuntutan pampasan kepada waris. Keluarga mangsa tidak boleh dibiarkan berhadapan dengan urusan birokrasi ketika sedang menanggung kesedihan yang amat berat.
Perkhidmatan Doktor Udara merupakan talian hayat bagi komuniti di pedalaman Sarawak dan Sabah, selain kawasan Orang Asli di Perak dan Kelantan. la tidak boleh dihentikan tanpa pelan penggantian yang menjamin akses rawatan rakyat. Namun, keperluan perkhidmatan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengekalkan sistem yang lemah dari sudut latihan, perlindungan pekerjaan, tatakelola kontrak atau pengurusan risiko.
Kematian lima insan dalam misi kemanusiaan ini mesti menjadi titik perubahan. KKM perlu membuktikan bahawa keselamatan petugas bukan sekadar ungkapan dalam kenyataan media, tetapi suatu tanggungjawab yang diterjemahkan melalui latihan yang wajib, aset yang diyakini selamat, kontrak yang telus, insurans yang memadai, pampasan yang adil dan sistem pengurusan risiko yang benar-benar melindungi manusia.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh semua mangsa, mengurniakan kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan, dan memberi petunjuk agar tragedi sedemikian tidak berulang lagi.
Dr. Ahmad Yunus Hairi
Ketua Portfolio Kesihatan Ahli Parlimen
Perikatan Nasional
Ihsan facebook PAS Selangor