PAS SHAH ALAM

Directions

PAS SHAH ALAM Page Rasmi PAS Shah Alam

Official Page of PAS Shah Alam

TIGA TAHUN BERLALU, PALESTIN TERUS MEMANGGIL NURANI KITA. Malam ini saya bersama Ustaz Dr. Aubidullah Fahim, Saudara Fai...
07/10/2026

TIGA TAHUN BERLALU, PALESTIN TERUS MEMANGGIL NURANI KITA.

Malam ini saya bersama Ustaz Dr. Aubidullah Fahim, Saudara Faizzuddin dan aktivis Saudara Nadir Al-Nuri dalam siaran langsung “Memperingati 3 Tahun Taufan Al-Aqsa”.

Kita mengenang penderitaan rakyat Palestin, memahami perjuangan mereka dan menyegarkan tanggungjawab kita terhadap bumi al-Aqsa.

🗓 Malam ini, Rabu, 7 Oktober 2026
🕤 9.30 malam
📱 TikTok Pemuda PAS Selangor

Ayuh bersama. Sebarkan dan ajak sahabat mengikuti perbincangan ini.

Jangan biarkan penderitaan mereka menjadi kebiasaan, hingga kepedulian kita perlahan-lahan menghilang.

06/10/2026

Getting worse!! Ni bakar hutan ke bakar negara??

𝗦𝗨𝗗𝗔𝗛 𝗗𝗜𝗞𝗘𝗕𝗨𝗠𝗜𝗞𝗔𝗡, 𝗠𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗕𝗢𝗟𝗘𝗛 𝗗𝗜𝗦𝗢𝗟𝗔𝗧𝗞𝗔𝗡?Ziarah Tuan Guru Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke pusara Allahyarhamah Tu...
06/10/2026

𝗦𝗨𝗗𝗔𝗛 𝗗𝗜𝗞𝗘𝗕𝗨𝗠𝗜𝗞𝗔𝗡, 𝗠𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗕𝗢𝗟𝗘𝗛 𝗗𝗜𝗦𝗢𝗟𝗔𝗧𝗞𝗔𝗡?

Ziarah Tuan Guru Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke pusara Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah membuka satu ruang pencerahan yang baik untuk kita memahami amalan solat jenazah di perkuburan.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk menunaikan solat jenazah sebelum urusan pengebumian selesai, hukum untuk melaksanakannya di pusara adalah harus.

Amalan ini mempunyai sandaran yang jelas daripada sunnah Rasulullah SAW. Terdapat riwayat sahih yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Baginda SAW pernah mendatangi kubur seorang hamba Allah yang sering membersihkan masjid, lalu Baginda mendirikan solat jenazah di makamnya.

Sebagai kefahaman istilah, solat jenazah di kubur adalah berbeza dengan solat ghaib. Solat ghaib hanya dilaksanakan apabila kedudukan jenazah berada di tempat yang jauh atau berlainan negara, dan ia tertakluk kepada syarat-syarat fiqh yang khusus.

Semoga Allah SWT mengampuni Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah, menerima segala amal solehnya, serta mengurniakan ketabahan buat Tun Dr. Mahathir dan seluruh ahli keluarga.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا

Hari ini, sudahkah kita titipkan doa buat mereka yang telah mendahului kita?

Al-Fatihah.

BILA “MAKHLUK PEROSAK” MASUK MELALUI ALAM MAYAKita sedang berdepan satu masalah yang semakin membimbangkan. Banyak kes j...
06/10/2026

BILA “MAKHLUK PEROSAK” MASUK MELALUI ALAM MAYA

Kita sedang berdepan satu masalah yang semakin membimbangkan. Banyak kes jenayah hari ini melibatkan remaja dan pelajar sekolah.

Kesalahan pelajar bukan lagi sekadar ponteng kelas, melompat pagar atau masalah disiplin biasa. Kita sudah menyaksikan kes buli, keganasan dan jenayah yang jauh lebih berat, termasuk kehilangan nyawa.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada jiwa anak-anak kita?

Puncanya tentu pelbagai. Namun, antara faktor yang tidak boleh dipandang ringan ialah pengaruh luar yang masuk melalui alam maya.

Filem dan video yang memaparkan jenayah, pembunuhan, peperangan, keganasan serta permainan digital yang sarat dengan unsur ganas, jika ditonton tanpa kawalan, boleh mempengaruhi cara remaja melihat kekerasan, kematian dan kehidupan manusia.

Sekolah berusaha mendidik dan mengawal disiplin. Ibu bapa p**a menjaga anak-anak dengan penuh kasih sayang. Namun, selepas mereka keluar daripada pagar sekolah dan rumah, ada satu lagi “dunia” yang sentiasa terbuka di hadapan mereka — dunia tanpa sempadan di hujung jari.

Tok Guru Nik Aziz pernah mengemukakan satu analogi yang sangat mudah difahami.

Jika kita sudah menjaga kebun dengan merumput, membaja dan meracun, tanaman tetap terdedah kepada ancaman jika kebun itu dikelilingi hutan belantara yang penuh dengan makhluk perosak.

Begitulah keadaan anak-anak kita hari ini.

Sekolah dan keluarga berusaha menjadi kebun yang baik, tetapi “makhluk perosak” boleh masuk melalui alam maya.

Ia tidak datang dalam bentuk tubuh yang kasar. Ia datang melalui skrin, video, permainan dan kandungan yang mudah ditonton, berulang-ulang dan tanpa sempadan.

Yang lebih membimbangkan, pengaruh itu boleh perlahan-lahan mematikan rasa belas kasihan, menumpulkan sensitiviti terhadap penderitaan, menyuburkan kemarahan dan dendam serta menormalisasikan keganasan.

Semuanya mungkin bermula dengan mata.

Apa yang dilihat masuk ke dalam fikiran, turun ke hati, mempengaruhi jiwa, kemudian mengalir kepada perbuatan.

Sebab itu, menjaga anak hari ini tidak cukup hanya dengan menjaga mereka daripada bahaya di luar rumah.

Kita juga mesti menjaga apa yang masuk ke dalam mata, fikiran dan hati mereka.

Kerana ada bahaya yang tidak mengetuk pintu rumah, tetapi masuk melalui skrin di tangan mereka.

Dari FB: YB Dato' Ustaz Ahmad Yahaya

3 TAHUN SELEPAS TAUFAN AL-AQSA. APA YANG MASIH PERLU KITA INGAT? 🇵🇸7 Okt 2026 ini, Nadir Al-Nuri, aktivis Palestin yang ...
06/10/2026

3 TAHUN SELEPAS TAUFAN AL-AQSA. APA YANG MASIH PERLU KITA INGAT? 🇵🇸

7 Okt 2026 ini, Nadir Al-Nuri, aktivis Palestin yang telah lama terlibat dalam usaha advokasi dan isu kemanusiaan Palestin, akan bersama dalam sesi khas memperingati 3 Tahun Taufan Al-Aqsa.

Bukan sekadar mengimbau apa yang berlaku, tetapi mendengar sendiri perspektif dan pengalaman aktivisme Palestin daripada mereka yang mengikuti isu ini sejak sekian lama.

🎙️ Kepimpinan Pemuda PAS Selangor Bersama Saudara Nadir Al-Nuri
🇵🇸 3 Tahun Memperingati Taufan Al Aqsa
📅 7 Oktober 2026 | Rabu
⏰ 9.30 malam
📱 LIVE di TikTok Pemuda PAS Selangor

Apa yang berlaku sejak 7 Oktober 2023?
Apa yang telah berubah?
Dan apa yang perlu kita terus ingat?

📌 Simpan tarikh. Saksikan sesi LIVE.

Minda Presiden PASPERBEZAAN ANTARA IFTIRAQ (PERPECAHAN) DENGAN IKHTILAF (PERBEZAAN PENDAPAT) MAZHABIftiraq (perpecahan) ...
06/10/2026

Minda Presiden PAS

PERBEZAAN ANTARA IFTIRAQ (PERPECAHAN) DENGAN IKHTILAF (PERBEZAAN PENDAPAT) MAZHAB

Iftiraq (perpecahan) ialah apabila nyata diketahui dua pandangan yang berbeza antara benar dengan salah, tiba-tiba ada yang mempertahankan yang salah kerana kedegilan sehingga dalam perkara rukun dan dasar al-din (Islam dan iman), begitu juga dalam perkara ketentuan nas yang nyata daripada al-Quran dan hadis atau ijmak (sepakat para ulama’ muktabar mujtahid). Perpecahan ialah sifat keji yang diharamkan kerana merosakkan perpaduan umat yang diwajibkan, bahkan ia menjadi perangai Ahli Kitab yang dilaknat dan dimurkai Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ ٤

“Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.” [Surah al-Bayyinah: 4]

Umat Islam wajib mengambil iktibar, walaupun daripada kesesatan kaum yang lain supaya tidak menjadi seperti mereka.

Adapun ikhtilaf p**a ialah perbezaan pendapat dalam perkara cabang yang bukan rukun agama, disebabkan berbeza pendapat dalam dasar yang umum, perkataan yang mempunyai perbezaan pentafsiran, atau berbeza keadaan dan tempat. Semua pihak saling menghormati antara satu dengan yang lain, terus bersaudara tanpa putus hubungan persaudaraan, dan terus belajar serta mengajar antara satu sama lain walaupun berbeza pendapat. Ikhtilaf disebut oleh firman Allah SWT:

وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِينَ ١١٨

“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.” [Surah Hud: 118]

Sabda Rasulullah SAW:

‌إِذَا ‌حَكَمَ ‌الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ.

“Apabila seseorang hakim (yang berilmu dan bertafaqquh) berijtihad dalam perkara berbeza (kefahaman dan pentafsiran), lalu pendapatnya betul, maka baginya dua pahala, dan jika ijtihadnya salah, maka baginya satu pahala.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-I‘tisam bi al-Kitab wa al-Sunnah, no. 7352 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aqdiyah, no. 1716, daripada ‘Amr bin al-‘As]

Banyak pelajaran dan perkembangan ilmu dalam perkara ikhtilaf. Para ulama’ mencatat semua pendapat yang berbeza itu. Kadang-kadang sesuatu pendapat itu dipakai apabila berlaku perubahan situasi dan realiti atau dijumpai pentafsirannya, kadang-kadang kedua-dua pendapat dipakai kerana keadaan yang berbeza. Ada juga yang dijumpai mana pendapat yang sebenarnya betul, maka dibatalkan pendapat yang salah.

Perkara khilaf juga boleh menyebabkan perpecahan yang diharamkan apabila ada yang fanatik (taasub) kepada pendapatnya seperti menjadikan pendapat satu-satu mazhab sebagai agama, kemudian menghukum yang bukan mazhabnya adalah salah, sesat, atau keluar daripada Islam, ataupun terus berpegang pada pendapat yang salah setelah diketahui kenyataannya.

Hal ini sebagaimana ayat yang dinasakhkan (dibatalkan hukumnya) oleh wahyu lain yang turun selepasnya seperti firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقۡرَبُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمۡ سُكَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعۡلَمُواْ مَا تَقُولُونَ … ٤٣

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan…!” [Surah al-Nisa’: 43]

Pada awal Islam, minum arak adalah dibolehkan sebelum sembahyang atau selepasnya, namun ayat ini dinasakhkan hukumnya apabila diwahyukan selepasnya firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ٩٠

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan panah termasuk perbuatan syaitan! Maka, jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” [Surah al-Ma’idah: 90]

Perkara ini termasuk dalam ulum al-Quran untuk bertafaqquh dalam urusan agama. Begitu juga dalam ilmu hadis.

Perkara khilaf juga boleh menyebabkan perpecahan yang diharamkan apabila ada kalangan yang fanatik (taasub) kepada pendapatnya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥

“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.” [Surah Ali ‘Imran: 105]

Pada masa Rasulullah SAW masih hidup bersama para sahabatnya, masalah perbezaan pendapat umat Islam terpelihara daripada perpecahan dan masalah khilaf dapat diselesaikan kerana dibetulkan oleh al-Quran yang diwahyukan dan Hikmah Rasulullah SAW yang dikawal oleh wahyu. Perkara ini termasuk dalam ilmu sebab nuzul al-Quran (asbab al-nuzul) dan sebab berlakunya hadis (asbab al-wurud). Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya) serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]

Al-Quran dan Hikmah Rasulullah SAW (Sunnah) ialah keputusan mutlak, sementara ulu al-amr ialah para ulama’ dan pemimpin yang umat berada di bawah kawalannya.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, berlaku kekhilafan dalam pelantikan khalifah (ketua negara). Para sahabat sangat mematuhi al-Quran dan Sunnah dalam masalah yang berbeza pendapat, namun mereka bersatu kepada al-Quran dan Sunnah. Mereka berkhilaf dalam perkara yang diizinkan berijtihad, namun mereka saling menghormati antara satu sama lain.

Pada zaman Khalifah ‘Uthman RA, ramai saudara Islam yang baru memeluk Islam sehingga umat Islam berpecah dalam jenayah pembunuhan Khalifah ‘Uthman RA kepada mazhab Sunni, Ahli al-Bait (Syiah), dan Khawarij.

Ahli al-Bait dan jumhur (majoriti Sunni) menerima ‘Ali KW sebagai khalifah yang sah dan dibilang sebagai Khulafa’ al-Rashidin, manakala mereka yang menentangnya ialah bughah berpandukan firman Allah SWT:

وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٩ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠

“Dan kalau ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang, maka hendaklah kamu damaikan antara kedua-duanya! Akan tetapi, kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, maka hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali kepada perintah Allah. Kalau dia telah surut, maka damaikanlah antara kedua-duanya menurut keadilan dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil. (9) Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, oleh sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu, dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat. (10)” [Surah al-Hujurat: 9–10]

Umat Islam bersama Khalifah ‘Ali KW, termasuk mereka yang melampau dan menderhaka yang dianggap bughah dengan alasan membela Khalifah ‘Uthman yang dibunuh turut mengakui ‘Ali KW ialah khalifah yang sah, melainkan golongan Khawarij bilamana ramai yang terlibat dengan pembunuhan Khalifah ‘Uthman RA. Mereka menolak ‘Ali KW, bahkan sebahagian mereka menolak Khulafa’ al-Rashidin sehingga ada yang mengkafirkan para sahabat RA kerana terlalu jahil dalam hukum Islam atau tidak bertafaqquh, walaupun kuat beribadat dan membaca al-Quran.

Amir al-Mu’minin ‘Ali KW menghantar ‘Abdullah bin ‘Abbas RA untuk memujuk dan berdebat dengan kump**an Khawarij, malah ‘Ali KW sendiri menemui mereka. Maka, sebahagian daripada mereka kembali ke pangkal jalan, namun sebahagian lagi terus berdegil.

سُئِلَ عَلِيٌّ عَنْ أَهْلِ النَّهْرَوَانِ: أَمُشْرِكُونَ هُمْ؟

Imam ‘Ali KW ditanya berkenaan penduduk Nahrawan (pengikut Khawarij), “Adakah mereka Musyrik (menjadi kafir)?”

فَقَالَ: مِنَ الشِّرْكِ فَرُّوا.

‘Ali menjawab, “Tidak, mereka melarikan diri daripada kesyirikan (mereka masih bersyahadah).”

قِيلَ: أَفَمُنَافِقُونَ؟

Beliau ditanya lagi, “Adakah mereka munafiq?”

قَالَ: إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا.

‘Ali menjawab, “Tidak, golongan munafiq tidak mengingati Allah kecuali sedikit (mereka kuat bersolat dan berzikir).”

فَقِيلَ: فَمَا هُمْ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ؟

Beliau ditanya lagi, “Maka, siapakah mereka, wahai Amir al-Mu’minin?”

قَالَ: ‌إِخْوَانُنَا ‌بَغَوْا ‌عَلَيْنَا فَقَاتَلْنَاهُمْ بِبَغْيِهِمْ عَلَيْنَا.

‘Ali menjawab, “Mereka ialah saudara seagama kita yang melampau terhadap kita (melawan kita). Kalau mereka berundur, biarkan. Kalau mereka mengangkat senjata untuk menyerang, perangi mereka.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 7, hlm. 289]

Demikianlah jawapan yang berhati-hati terhadap golongan yang dianggap jahil agama serta tidak bertafaqquh dalam perkara al-din (Islam) yang wajib diselamatkan daripada tenggelam dalam kejahilan. Perkara ini merupakan masalah dalaman umat Islam yang mesti diselesaikan secara ilmu bagi menyelamatkan mereka yang lemas dalam kejahilan.

Apa yang wajib dijadikan pengajaran juga ialah sikap para imam semua mazhab yang masih bersaudara seagama yang bertolong-menolong dalam perkara yang mampu berijtihad, di samping mewariskan kitab-kitab yang dikarang dan diriwayatkan ijtihad mereka dalam kitab-kitab tafsir, hadis, dan fiqh yang luas perbincangannya.

Para ulama’ perbandingan mazhab menetapkan lapan mazhab besar yang ramai pengikut serta dianggap bertafaqquh, mengikut kajian Majma‘ Buhuth al-Islamiyyah Universiti Al-Azhar dan Majma‘ Taqrib bayn al-Mazahib yang ditubuhkan oleh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad ‘Abduh dan Mahmud Shaltut (kedua-duanya ialah mantan Syeikh Al-Azhar), serta Hasan al-Banna RH, kini diurus oleh Kerajaan Republik Islam Iran dan disahkan oleh muktamar para ulama’ di Makkah dan Amman bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Lapan mazhab itu ialah daripada Sunni: Mazhab Hanafi, Maliki, Shafi‘i, Hanbali, dan Zahiri; daripada Syiah p**a Mazhab Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah dan Zaidiyyah; serta mazhab Ibadi yang dituduh sebagai Khawarij sederhana, namun mereka menafikannya. Mereka dilabelkan Khawarij kerana tidak mentaati beberapa orang khalifah Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah yang zalim.

Di samping itu, terdapat mazhab para ulama’ sahabat dan tabiin serta beberapa orang ulama’ mazhab yang bertaraf mujtahid dalam semua mazhab tersebut, bilamana pandangan mereka dicatat dalam kitab-kitab perbandingan mazhab. Walau tidak ramai pengikut, tetap dihormati kemampuan ilmu mereka.

Kesemua mereka ialah pewaris ilmu para anbiya’ yang menjaga amanah ilmu dengan peribadi yang tinggi dan berjuang menegakkan Islam pada zaman masing-masing. Mereka ialah kalangan yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ، وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesiapa yang memudahkan jalan kepada menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkannya jalan ke Syurga. Sesungguhnya para malaikat merendahkan sayapnya kepada penuntut ilmu kerana reda dengan kegiatan mereka. Seseorang yang berilmu itu dimohonkan ampunan untuknya oleh makhluk di langit dan bumi, termasuk ikan di air. Kelebihan seseorang yang berilmu melebihi ahli ibadat laksana bulan purnama dalam kalangan bintang cakerawala. Sesungguhnya para ulama’ itu pewaris pusaka para anbiya’. Mereka tidak meninggalkan pusaka wang emas dan perak (harta yang mahal nilai harganya), tetapi mereka meninggalkan pusaka ilmu. Sesiapa yang berhak menerimanya, nescaya dia paling bernasib baik (paling banyak harta pusakanya).” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, no. 3641, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, no. 2682 dan lain-lain, daripada Abu al-Darda’. Lafaz bagi Abu Dawud]

Para ulama’ ialah mereka yang menerima ilmu para anbiya’, meneruskan amalan, dan berjuang berdakwah serta menegakkan kedaulatan kuasa Islam yang memerintah urusan negara.

Para ulama’ mazhab muktabar yang disebut di atas melaksanakan perjuangan para anbiya’. Ada yang menjadi pemimpin negara dan ada yang menjadi mangsa kezaliman kerana perjuangan Islam yang bersifat al-din yang sempurna bersama amar ma‘ruf dan nahi mungkar.

Para ulama’ daripada semua mazhab di atas dicatat ilmu mereka dalam semua kitab agama, walaupun ijtihad mereka tidak dipakai.

Mereka bersaudara dalam berkhilaf. Imam Abu Hanifah daripada Sunni menjadi murid kepada Imam Ja‘far daripada Syiah sehingga beliau mati di dalam penjara kerana mempertahankannya. Selain itu, Imam al-Shafi‘i menjadi murid kepada Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal menjadi murid kepada Imam Shafi‘i, dan begitulah seterusnya.

Di samping itu, Imam al-San‘ani RH daripada Syiah Zaidiyyah mengarang kitab Subul al-Salam, syarah kepada kitab hadis Bulugh al-Maram yang dikarang oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani RH daripada Sunni Shafi‘i, dan begitulah lain-lain kitab. Ada yang aqidahnya bermazhab Salaf, tetapi fiqhnya berbeza, dan ada p**a yang bermazhab Khalaf dari segi aqidah, tetapi berbeza mazhab fiqhnya dan tariqat tasawufnya. Mereka semua bertafaqquh dalam ilmu al-din yang disebut oleh firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Tidak sepatutnya bagi Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya kaum itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]

Menjadi masalah pada akhir zaman apabila ramainya ulama’ yang tidak bertafaqquh, bahkan tidak menguasai bahasa Arab (bahasa al-Quran) di Alam Melayu, hanya belajar agama dalam bahasa Melayu sahaja.

‘Abdullah bin Mas‘ud RA berkata:

إِذَا ‌كَثُرَتْ ‌قُرَّاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ فُقَهَاؤُكُمْ.

“Pada akhir zaman, ramai huffaz dan qurra’ al-Quran, tetapi sedikit ulama’ yang bertafaqquh serta memahami al-Quran.” [Riwayat al-Darimi, Musnad al-Darimi, al-Muqaddimah, no. 191, al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Fitan wa al-Malahim, no. 8570, dan lain-lain]

Ulama’ yang tidak bertafaqquh mudah dilantik dan diberikan tauliah mengajar, berceramah, berforum, dan berkhutbah bagi memecahbelahkan umat Islam dengan masalah khilafiah supaya dibincangkan dalam kalangan yang tidak layak, hanya kuat beragama dari segi peribadinya sahaja.

Sabda Rasulullah SAW:

سَيَخْرُجُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ ‌أَحْدَاثُ ‌الْأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الْأَحْلَامِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ، يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

“Muncul pada akhir zaman golongan laksana kanak-kanak yang baru bergigi, berimpian bodoh, petah bercakap, boleh membaca al-Quran sekadar di kerongkong (tidak masuk dalam hati mereka), mudah keluar daripada agama lebih cepat daripada panah mengenai sasarannya. Kalau berjumpa mereka, maka lawanlah mereka habis-habisan, nescaya mendapat pahala besar di sisi Allah pada Hari Kiamat (kerana menyelamatkan manusia daripada kesesatan).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Istitabah al-Murtaddin wa al-Mu‘anidin wa Qitalihim, no. 6930 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, no. 1066, daripada ‘Ali bin ‘Abi Talib]

Ada yang melampau ekstrem dan ada yang liberal hanyut.

Lebih menjadi bencana ialah para ulama’ yang mengkhianati pusaka para anbiya’ yang disebut dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (p**a) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati.” [Surah al-Baqarah: 159]

Mereka yang menyembunyikan ilmu mereka, firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ ١٧٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخۡتَلَفُواْ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَفِي شِقَاقِۢ بَعِيدٖ ١٧٦

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perut mereka melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat serta tidak menyucikan mereka dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksaan dengan ampunan. Maka, alangkah beraninya mereka menentang Api Neraka! (175) Yang demikian itu kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran; dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu benar-benar dalam penyimpangan yang jauh (daripada kebenaran). (176)” [Surah al-Baqarah: 174–176]

Mereka yang mencari kesenangan hidup menyalahgunakan agama, firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧ مَن يَهۡدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلۡمُهۡتَدِيۖ وَمَن يُضۡلِلۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ١٧٨

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177) Sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang merugi. (178)” [Surah al-A‘raf: 175–178]

Paling berbahaya, mereka memainkan peranan sebagai khadam dalam menentang gerakan rakyat yang menentang penjajahan, bahkan mereka berperanan meneruskan peranan penjajah dengan meneruskan pengaruhnya bersama para pemimpin negara yang menjadi khadam penjajah selepas kemerdekaan. Politik, ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan dirancang dengan berkiblat kepada kuasa penjajah, walaupun ibadat haji dan solat mereka ke arah Makkah.

Sehinggakan mempertahankan Selat Hormuz dan Bab al-Mandab kerana keamanan ekonomi antarabangsa, khususnya Israel dan negara pendukungnya lebih penting daripada menentang Yahudi yang menakluki Bait al-Maqdis sehingga mengecewakan saudara di Palestin, malah kump**an yang membantu Palestin diceroboh habis-habisan dengan segala senjata.

Para ulama’ pengampu kerajaan yang salah mewajibkan ketaatan kepada ulu al-amr yang sesat. Mereka meletakkan keutamaan ekonomi, harta, dan takhta sehingga meninggalkan jihad mempertahankan Islam yang tidak ada khilaf semua mazhab kerana ketetapan nas al-Quran:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤

“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]

Mereka menyalahtafsirkan maksud ulu al-amr kepada semua kerajaan, termasuk penjajah dan alat penjajah dengan berwala’ kepada musuh-musuh Islam.

Wajib dibezakan antara perpaduan yang diwajibkan dan yang diharamkan dengan perbezaan pendapat yang diharuskan dalam ajaran Islam.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 24 Rabi‘ al-Akhir 1448 / 6 Oktober 2026

[Bil: 65 / 2026]

YAMAN BUKAN SEKADAR KONFLIK MAZHABOleh: Mohamed Sukri OmarKonflik Yaman sering dibaca melalui kerangka yang terlalu muda...
06/10/2026

YAMAN BUKAN SEKADAR KONFLIK MAZHAB

Oleh: Mohamed Sukri Omar

Konflik Yaman sering dibaca melalui kerangka yang terlalu mudah. Houthi mempunyai akar dalam tradisi Zaidiyyah, manakala Saudi p**a beridentitikan Sunni. Atas premis tersebut, peperangan yang berlaku mudah ditafsirkan sebagai satu lagi episod pertembungan Sunni dan Syiah. Pembacaan sedemikian bukan sahaja tidak mencukupi, bahkan berpotensi mengaburkan sejarah sebenar hubungan Saudi-Yaman yang jauh lebih kompleks.

Sejarah menunjukkan bahawa hubungan Saudi dengan Yaman tidak pernah bergerak atas garis mazhab yang lurus. Pada suatu zaman, Riyadh menyokong Imamah Zaidiyyah. Pada zaman yang lain, Saudi membina hubungan dengan pemerintahan republik. Dalam keadaan tertentu, Riyadh menyokong kerajaan pusat Yaman, manakala dalam keadaan yang lain, kepentingan politik dan keselamatannya mendorong hubungan dengan aktor yang berbeza.

Hakikat ini memperlihatkan bahawa kepentingan negara, keselamatan sempadan, keseimbangan kuasa, kedudukan geografi dan perubahan struktur serantau sering menjadi faktor yang lebih menentukan daripada identiti mazhab semata-mata. Justeru, untuk memahami Yaman, kita perlu keluar daripada kerangka analisis sektarian dan melihat sejarah hubungan Saudi-Yaman dalam ruang masa yang lebih panjang.

HUBUNGAN SAUDI-YAMAN MENDAHULUI KONFLIK HARI INI

Campur tangan Saudi dalam politik Yaman tidak bermula pada 2015. Akar hubungan strategik kedua-duanya jauh lebih lama dan berkait rapat dengan persoalan wilayah, sempadan, keselamatan serta keseimbangan kuasa di Semenanjung Arab.

Pada 1934, Kerajaan Saudi dan Kerajaan Mutawakkiliyyah Yaman menandatangani Perjanjian Taif selepas peperangan antara kedua-duanya. Perjanjian tersebut mempunyai implikasi besar terhadap persoalan sempadan dan hubungan politik kedua-dua negara. Pertikaian sempadan terus menjadi salah satu unsur penting dalam hubungan Saudi-Yaman selama beberapa dekad berikutnya sehingga Perjanjian Jeddah pada 2000 menyediakan penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap sempadan darat dan maritim kedua-dua negara.

Namun, antara episod sejarah paling penting untuk memahami keterbatasan analisis Sunni-Syiah ialah Perang Saudara Yaman Utara yang bermula pada 1962.

1962 SAUDI MENYOKONG IMAMAH ZAIDIYYAH

Pada September 1962, revolusi tercetus di Yaman Utara selepas kematian Imam Ahmad bin Yahya Hamid al-Din dan kenaikan anaknya, Imam Muhammad al-Badr. Golongan republik menggulingkan pemerintahan Imamah dan mengisytiharkan Republik Arab Yaman. Peristiwa tersebut mencetuskan perang saudara antara kelompok Royalis yang mempertahankan pemerintahan Imam al-Badr dengan kelompok Republikan yang mahu mengekalkan sistem republik baharu.

Dalam konflik tersebut, Saudi Arabia memberikan sokongan kepada pihak Royalis yang setia kepada Imam Muhammad al-Badr, seorang pemerintah daripada tradisi Zaidiyyah. Pada masa yang sama, Mesir di bawah Presiden Gamal Abdel Nasser menyokong kelompok Republikan dan menghantar puluhan ribu tenteranya ke Yaman. Perang yang berlanjutan sehingga 1970 itu akhirnya menjadi salah satu medan persaingan serantau terpenting di dunia Arab pada zamannya.

Fakta bahawa Saudi pernah menyokong Imamah Zaidiyyah mempunyai makna yang besar dalam memahami sejarah geopolitik Yaman. Sekiranya hubungan Saudi-Yaman dibaca semata-mata melalui dikotomi Sunni-Syiah, sukar untuk menjelaskan mengapa sebuah kerajaan Sunni memberikan sokongan kepada pemerintahan Zaidiyyah.

Jawapannya terletak pada geopolitik. Pada ketika itu, cabaran utama yang dilihat Riyadh bukan semata-mata persoalan mazhab, tetapi kebangkitan nasionalisme Arab revolusioner pimpinan Nasser, pengaruh ketenteraan Mesir serta penyebaran gagasan republikanisme yang berpotensi mengubah struktur politik monarki di Semenanjung Arab. Dalam konteks tersebut, Riyadh mempunyai titik kepentingan strategik bersama dengan Imamah Zaidiyyah.

Episod ini memberikan satu pelajaran penting: mazhab sahaja tidak mampu menerangkan geopolitik.

MESIR DAN PERSAINGAN KUASA SERANTAU

Campur tangan Mesir memperlihatkan bagaimana Yaman sejak dekad 1960-an telah menjadi medan pertemuan antara konflik domestik dengan persaingan kuasa serantau. Nasser melihat revolusi Yaman sebagai sebahagian daripada gelombang nasionalisme Arab dan perubahan politik yang sedang melanda dunia Arab. Mesir kemudiannya menghantar angkatan tentera yang besar bagi mempertahankan republik baharu, sementara Saudi menyokong pihak Royalis.

Dengan demikian, Yaman pada dekad 1960-an sudah memperlihatkan pola yang akan berulang dalam sejarahnya: konflik tempatan berkembang menjadi medan persaingan kuasa luar. Orang Yaman bertempur sesama sendiri, tetapi di belakang pihak-pihak yang berperang berdiri penaung serantau dengan kepentingan masing-masing.

Corak inilah yang penting untuk difahami apabila kita membicarakan konsep perang proksi. Konflik domestik tidak semestinya dicipta oleh kuasa luar, tetapi kelemahan dan perpecahan domestik boleh membuka ruang kepada kuasa luar untuk menyokong aktor tertentu sehingga peperangan tempatan menjadi sebahagian daripada percaturan yang lebih besar.

DARI IMAMAH KEPADA REPUBLIK

Sistem republik akhirnya bertahan di Yaman Utara. Selepas melalui pergolakan panjang, Republik Arab Yaman berkembang sebagai sebuah republik, sementara Yaman Selatan memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1967 dan kemudiannya membentuk sebuah negara yang berhaluan Marxis.

Saudi kemudian menyesuaikan dasar luarnya dengan realiti baharu. Riyadh yang sebelumnya menyokong Imamah Zaidiyyah akhirnya membina hubungan dengan pemerintahan republik di Sana’a. Perubahan ini menggambarkan sifat asas geopolitik: negara tidak semestinya terikat kepada aktor yang sama untuk selama-lamanya. Apabila struktur kuasa berubah, hubungan dan strategi turut berubah.

ALI ABDULLAH SALEH DAN HUBUNGAN PRAGMATIK DENGAN RIYADH

Ali Abdullah Saleh menjadi Presiden Yaman Utara pada 1978 dan kemudian Presiden Republik Yaman selepas penyatuan Utara dan Selatan pada 1990. Hubungannya dengan Saudi merupakan contoh jelas sifat pragmatik politik serantau.

Saudi sejak sekian lama mempunyai jaringan hubungan yang luas dengan pemimpin kabilah, tokoh politik, agamawan dan elit Yaman. Bantuan kewangan dan hubungan dengan jaringan tempatan memberikan Riyadh pengaruh yang besar terhadap perkembangan politik negara jirannya itu. Namun hubungan Saudi dengan Saleh bukanlah hubungan yang sentiasa harmoni.

Selepas penyatuan Yaman pada 1990, hubungan kedua-duanya merosot dengan ketara apabila pendirian kerajaan Saleh dalam krisis Kuwait dilihat tidak sejajar dengan Saudi dan negara-negara Teluk yang menentang pencerobohan Saddam Hussein. Ketika perang saudara Yaman pada 1994, Riyadh p**a mempunyai hubungan dengan pihak Selatan yang cuba memisahkan diri daripada pemerintahan Saleh.

Selepas kemenangan pihak Utara, Saudi sekali lagi menyesuaikan hubungannya dengan Sana’a dan meneruskan pembinaan pengaruh melalui saluran kerajaan, politik serta jaringan kabilah. Episod ini memperlihatkan bahawa hubungan antara negara tidak bersifat statik. Persamaan agama, sejarah dan budaya tidak semestinya menghapuskan perbezaan kepentingan strategik.

PERJANJIAN JEDDAH 2000 DAN KESELAMATAN SEMPADAN

Satu titik penting dalam hubungan kedua-dua negara berlaku pada 12 Jun 2000 apabila kerajaan Saudi dan Yaman menandatangani Perjanjian Jeddah. Perjanjian tersebut memberikan penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap pertikaian sempadan yang telah berlarutan sejak beberapa dekad sebelumnya, dengan merujuk kembali kepada asas Perjanjian Taif 1934 dan menetapkan sempadan darat serta maritim secara lebih terperinci.

Perjanjian Jeddah memperlihatkan bahawa dimensi keselamatan wilayah sentiasa menjadi unsur utama dalam hubungan Saudi-Yaman. Sempadan bukan sekadar garisan politik di atas peta. Ia melibatkan kabilah yang hidup merentasi sempadan, perdagangan, migrasi, penyeludupan, ancaman kelompok bersenjata dan keselamatan wilayah Saudi sendiri.

Oleh sebab itu, kebimbangan Riyadh terhadap perkembangan politik Yaman perlu difahami dalam konteks sejarah keselamatan sempadan yang telah berlangsung selama beberapa generasi.

2009 PERTEMBUNGAN SAUDI -HOUTHI SEBELUM 2015

Pertembungan langsung antara Saudi dengan Houthi telah berlaku beberapa tahun sebelum campur tangan ketenteraan besar pada 2015. Dalam perang Sa’dah keenam pada 2009 hingga 2010 antara kerajaan Ali Abdullah Saleh dengan Houthi, konflik merebak ke kawasan sempadan Saudi.

Saudi melancarkan operasi ketenteraan selepas berlaku serangan rentas sempadan oleh Houthi. Pada ketika itu, kerajaan Saleh sendiri sedang memerangi Houthi di dalam Yaman, manakala Saudi turut terlibat apabila ancaman tersebut melimpah ke wilayahnya.

Ironinya, beberapa tahun kemudian Saleh membentuk pakatan taktikal dengan Houthi dalam pergolakan politik pasca-2011. Perubahan ini penting untuk memahami sifat politik Yaman. Saleh yang pernah memerangi Houthi dalam beberapa siri peperangan akhirnya bekerjasama dengan kelompok yang sama apabila kepentingan politik mereka bertemu.

Jika politik Yaman dibaca melalui mazhab semata-mata, perubahan pakatan seperti ini kelihatan bercanggah. Namun apabila dibaca melalui kepentingan kuasa, kelangsungan politik dan perubahan keseimbangan kekuatan, coraknya menjadi lebih jelas.

2011 KEBANGKITAN RAKYAT DAN PERANAN RAJA ABDULLAH

Tahun 2011 menjadi titik perubahan besar dalam sejarah moden Yaman. Gelombang kebangkitan Arab sampai ke negara tersebut dan demonstrasi besar menuntut Ali Abdullah Saleh berundur selepas lebih tiga dekad berkuasa. Krisis politik semakin meruncing sehingga negara menghampiri perang saudara yang lebih besar.

Dalam keadaan tersebut, Majlis Kerjasama Teluk memainkan peranan penting dalam merundingkan proses peralihan kuasa. Selepas beberapa kali Saleh menangguhkan persetujuannya, pada 23 November 2011 beliau akhirnya menandatangani Inisiatif Majlis Kerjasama Teluk dan Mekanisme Pelaksanaannya di Riyadh.

Majlis tersebut berlangsung di hadapan Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud. Inisiatif itu menyediakan kerangka bagi pemindahan kuasa daripada Saleh kepada timbalannya, Abd Rabbuh Mansur Hadi, pembentukan kerajaan perpaduan serta proses peralihan politik selama dua tahun. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kemudiannya memainkan peranan penting dalam menyokong proses transisi tersebut.

Inisiatif berkenaan turut menjadi kontroversi kerana membuka jalan kepada pemberian kekebalan kepada Saleh daripada pendakwaan berkaitan pemerintahannya. Sebahagian kelompok revolusi Yaman mengkritik perkara tersebut kerana melihatnya sebagai kompromi yang tidak menyelesaikan persoalan keadilan dan struktur kuasa lama.

Episod 2011 menunjukkan bahawa penglibatan Saudi di Yaman tidak hanya berbentuk ketenteraan. Riyadh turut memainkan peranan sebagai pengantara, penaung politik dan kuasa serantau yang mempunyai pengaruh langsung terhadap proses peralihan kepimpinan Yaman.

DARI SALEH KEPADA HADI

Selepas perjanjian tersebut, Hadi mengambil alih kepimpinan dan proses Dialog Nasional dilancarkan bagi membentuk susunan politik baharu. Namun transisi itu gagal menyelesaikan beberapa persoalan asas yang telah lama membelenggu Yaman. Persoalan Selatan kekal terbuka, Houthi terus berkembang, struktur tentera masih berpecah, jaringan Saleh masih berpengaruh dan institusi negara kekal lemah.

Pada September 2014, Houthi bersama unit-unit tentera yang mempunyai hubungan dengan bekas Presiden Saleh menguasai Sana’a. Di sinilah ironi sejarah Yaman sekali lagi terserlah. Saleh yang pernah memerangi Houthi dalam beberapa siri peperangan akhirnya bekerjasama secara taktikal dengan mereka untuk menghadapi musuh politik yang sama.

Perubahan pakatan tersebut sekali lagi membuktikan bahawa politik Yaman tidak dapat diterangkan dengan memadai melalui identiti mazhab. Ia perlu dibaca melalui persaingan kuasa, jaringan kepentingan dan perubahan pakatan politik.

2015 CAMPUR TANGAN TENTERA BERSKALA BESAR

Menjelang awal 2015, Houthi dan sekutunya memperluas penguasaan mereka. Hadi meninggalkan Sana’a, menuju Aden dan kemudian berada di Saudi. Pada Mac 2015, beliau meminta bantuan negara-negara Arab bagi menghadapi kemaraan Houthi dan sekutunya.

Pada 26 Mac 2015, koalisi pimpinan Saudi memulakan operasi ketenteraan. Peristiwa tersebut membuka fasa baharu yang jauh lebih besar dan lebih merosakkan dalam konflik Yaman.

Namun sekiranya sejarah konflik hanya dimulakan pada 2015, hampir satu abad dinamika hubungan Saudi-Yaman akan terlepas daripada analisis. Hubungan kedua-duanya telah melalui peperangan dan Perjanjian Taif pada 1934; sokongan Saudi kepada Imamah Zaidiyyah dalam perang saudara 1962; pembinaan pengaruh melalui kerajaan, elit dan kabilah Yaman; keretakan hubungan selepas krisis Teluk 1990; perbezaan kepentingan ketika perang saudara 1994; penyelesaian sempadan melalui Perjanjian Jeddah 2000; pertempuran Saudi-Houthi pada 2009; peranan Riyadh dalam peralihan kuasa Saleh-Hadi pada 2011; dan akhirnya campur tangan ketenteraan besar pada 2015.

Keseluruhan sejarah tersebut membawa kepada satu kesimp**an penting: hubungan Saudi-Yaman tidak pernah dapat diterangkan melalui mazhab semata-mata. Ia ialah sejarah sempadan, keselamatan, pengaruh, kabilah, politik domestik, keseimbangan kuasa dan kepentingan strategik.

UAE DAN PERBEZAAN KEPENTINGAN DALAM YAMAN

Campur tangan 2015 turut membawa Emiriah Arab Bersatu secara lebih mendalam ke medan Yaman. Pada peringkat awal, Saudi dan UAE berada dalam koalisi yang sama dan berkongsi matlamat mengekang kemaraan Houthi. Namun semakin lama peperangan berlangsung, semakin jelas bahawa kedua-duanya tidak mempunyai keutamaan strategik yang sepenuhnya sama.

Saudi memberikan perhatian besar kepada keselamatan sempadannya, ancaman serangan Houthi serta pembentukan sebuah struktur pemerintahan Yaman yang tidak mengancam Riyadh. UAE p**a membina hubungan yang kuat dengan aktor-aktor di Selatan, termasuk kelompok yang mempunyai aspirasi pemisahan, di samping memberikan perhatian terhadap pesisir, pelabuhan, p**au dan keselamatan laluan maritim.

Perbezaan ini memperlihatkan satu hukum asas geopolitik: dua negara boleh mempunyai musuh yang sama tetapi tidak semestinya mempunyai matlamat akhir yang sama. Saudi dan UAE berkongsi banyak persamaan agama, budaya dan keselamatan, tetapi kepentingan negara masing-masing tetap boleh berbeza.

Fakta ini sekali lagi menunjukkan mengapa kerangka Sunni-Syiah terlalu sempit untuk menerangkan Yaman.

NILAI BAB AL-MANDAB

Kepentingan Yaman tidak dapat dipisahkan daripada kedudukannya di Bab al-Mandab. Selat tersebut menghubungkan Teluk Aden dan Lautan Hindi dengan Laut Merah, seterusnya Terusan Suez dan Laut Mediterranean. Ia merupakan salah satu titik sempit strategik dalam perdagangan maritim dunia.

Gangguan terhadap keselamatan di sekitar Bab al-Mandab boleh menyebabkan kapal mengubah laluan, kos insurans meningkat, tempoh penghantaran menjadi lebih panjang dan rantaian bekalan antarabangsa terganggu. Dengan demikian, konflik yang berlaku dalam sebuah negara yang relatif miskin boleh menghasilkan implikasi ekonomi dan keselamatan pada skala global.

Di sinilah geografi berubah menjadi sumber kuasa. Kadangkala kedudukan sesebuah negara lebih strategik daripada kekayaan yang berada di dalam buminya.

HOUTHI, IRAN DAN KEDALAMAN STRATEGIK

Houthi mempunyai akar tempatan yang panjang dan tidak boleh dianggap semata-mata sebagai ciptaan kuasa luar. Gerakan tersebut lahir daripada konteks sejarah, agama, politik dan sosial di utara Yaman. Namun hubungannya dengan Tehran memberikan dimensi serantau yang penting kepada konflik.

Sokongan teknologi, persenjataan dan kepakaran telah meningkatkan kemampuan Houthi untuk memberikan tekanan bukan sahaja dalam wilayah Yaman, tetapi juga terhadap sasaran serta laluan strategik di luar negara tersebut. Bagi Tehran, hubungan dengan aktor seperti Houthi memberikan suatu bentuk kedalaman strategik yang membolehkan tekanan diwujudkan jauh daripada sempadannya sendiri.

Namun konsep proksi perlu digunakan dengan berhati-hati. Proksi tidak semestinya bermaksud boneka. Aktor tempatan mempunyai kepentingannya sendiri, sebagaimana penaung luar mempunyai kepentingannya. Dalam keadaan tertentu kepentingan tersebut bertemu, tetapi dalam keadaan lain ia boleh berbeza.

PERCATURAN KUASA

Hubungan Houthi dengan Tehran p**a perlu ditempatkan dalam struktur persaingan Iran-Amerika yang lebih luas. Hubungan Tehran-Washington selama beberapa dekad melibatkan sekatan ekonomi, program nuklear, kehadiran ketenteraan Amerika di Asia Barat, keselamatan Israel serta jaringan aktor serantau yang mempunyai hubungan dengan Iran.

Apabila Houthi mempunyai kemampuan memberikan tekanan terhadap Laut Merah dan Bab al-Mandab, Yaman secara tidak langsung memasuki struktur persaingan yang jauh melampaui sempadannya. Konflik Yaman akhirnya mempunyai beberapa lapisan yang bertindih: konflik domestik, persoalan Saudi-Houthi, kepentingan keselamatan Saudi, kepentingan UAE di Selatan dan laluan maritim, hubungan Houthi-Tehran, persaingan Iran-Amerika, keselamatan Israel serta kepentingan perdagangan antarabangsa.

Kesemua lapisan tersebut bertindih pada satu bumi bernama Yaman. Justeru, apa yang kelihatan sebagai konflik tempatan sebenarnya berada dalam struktur geopolitik yang jauh lebih besar.

PERANG PROKSI

Di sinilah konsep perang proksi menjadi sangat menyedihkan. Kuasa luar membina hubungan dengan aktor tempatan melalui dana, senjata, latihan, perlindungan politik dan jaringan diplomatik. Setiap aktor mempunyai penaung dan kepentingannya sendiri, tetapi peperangan berlaku di bumi umat Islam.

Rakyat Yaman menanggung harga yang paling berat. Mereka kehilangan nyawa, kediaman, keselamatan dan masa depan. Lebih menyedihkan apabila kekuatan negara-negara Islam sendiri digunakan untuk menyokong kelompok yang akhirnya berhadapan sesama Muslim.

Umat mempunyai kekuatan, tetapi kekuatan itu terpecah. Kekayaan umat tidak semestinya berubah menjadi kekuatan bersama. Senjata umat tidak semestinya menghasilkan keselamatan umat. Kewujudan banyak negara Islam p**a belum tentu menghasilkan kedaulatan peradaban umat.

Inilah tragedi yang perlu direnungkan. Persoalannya bukan hanya siapa menjadi proksi kepada siapa, tetapi mengapa dunia Islam begitu mudah menjadi medan perebutan kepentingan pihak lain dan kepentingan sesama kuasa Muslim sendiri.

KERAPUHAN DALAMAN

Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah memberikan kerangka penting untuk memahami persoalan ini melalui hubungan antara kekuatan sosial, ‘asabiyyah dan pembentukan kekuasaan. Negara tidak berdiri dengan kekuatan ketenteraan semata-mata. Ia memerlukan kesepakatan sosial, kewibawaan institusi dan kemampuan menyatukan masyarakat di bawah suatu susunan politik yang mempunyai legitimasi.

Apabila kekuatan dalaman terpecah, kedaulatan turut menjadi rapuh. Dalam bahasa geopolitik moden, kelemahan dalaman menghasilkan kerentanan luaran. Kuasa luar memperoleh ruang yang lebih luas apabila struktur domestik sesebuah negara telah retak.

KEBOLEHJAJAHAN

Malik Bennabi membawa muhasabah tersebut lebih jauh melalui gagasan al-qabiliyyah li al-isti‘mar, iaitu keadaan dalaman yang memungkinkan dominasi asing. Gagasan ini bukan bertujuan membebaskan penjajah atau kuasa luar daripada tanggungjawab, tetapi mengajak umat meneliti kelemahan dalaman yang memberikan ruang kepada dominasi tersebut.

Oleh itu, persoalannya bukan sekadar siapa yang mahu menguasai umat, tetapi apakah kelemahan umat sehingga pihak lain mempunyai ruang untuk menguasainya. Mengapa dunia Islam yang memiliki sumber tenaga, laluan maritim strategik, jumlah penduduk yang besar dan kekayaan yang luar biasa masih mempunyai tahap kebergantungan yang tinggi kepada kuasa lain dalam teknologi, keselamatan dan pertahanan? Mengapa konflik sesama Muslim memerlukan senjata, dana dan perlindungan pihak luar? Mengapa begitu banyak kelompok politik bergantung kepada penaung asing?

Pada tahap ini, perbincangan tidak lagi terbatas kepada Yaman. Ia menjadi persoalan peradaban umat.

PANDANGAN ALAM ISLAM DAN MAKNA KUASA

Islam tidak menafikan kepentingan kuasa, tetapi Islam mengikat kuasa kepada amanah dan keadilan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا ٱلْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِٱلْعَدْلِ

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil. (Surah al-Nisa’: 58)

Geopolitik konvensional mungkin bertanya tentang kepentingan negara. Pandangan alam Islam menambahkan pertanyaan yang lebih tinggi iaitu adakah kepentingan tersebut adil, siapakah yang membayar harganya, adakah darah manusia dikorbankan demi kepentingan kuasa, dan bagaimana kuasa tersebut akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT?

Atas dasar itu, seorang Muslim tidak seharusnya menjadi pengikut buta kepada mana-mana blok geopolitik. Kebenaran mesti mengatasi kepentingan kelompok, manakala keadilan mesti mengatasi sentimen. Kesetiaan tertinggi ialah kepada al-haq dan al-‘adl.

KEHILANGAN WIBAWA UMAT

Rasulullah SAW memberikan satu gambaran yang sangat mendalam tentang keadaan umat apabila kekuatan zahir tidak lagi disertai kekuatan dalaman. Baginda bersabda:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا

Akan tiba suatu masa bangsa-bangsa saling mengajak menghadapi kamu sebagaimana orang yang makan saling mengajak menuju hidangan mereka.

Apabila para sahabat bertanya sama ada keadaan tersebut berlaku kerana umat Islam sedikit, Baginda menjawab:

بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ

Bahkan kamu pada ketika itu ramai.

Baginda kemudian menjelaskan penyakit al-wahn sebagai:

حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Cinta dunia dan takut kepada kematian.

Hadis ini memberikan renungan peradaban yang sangat besar. Jumlah yang ramai tidak semestinya menghasilkan kekuatan. Kekayaan tidak semestinya menghasilkan kedaulatan. Pemilikan senjata tidak semestinya menghasilkan strategi, sebagaimana kewujudan negara tidak semestinya menghasilkan kemandirian.

DARIPADA AL-WAHN KEPADA AL-QUWWAH

Islam tidak memerintahkan umat sekadar meratapi kelemahan. Allah SWT berfirman:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ

Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka segala kekuatan yang kamu mampu. (Surah al-Anfal: 60)

Konsep al-quwwah perlu difahami dalam kerangka yang luas. Ilmu ialah kekuatan. Ekonomi ialah kekuatan. Teknologi, data, media, keselamatan makanan, institusi yang kukuh, diplomasi dan kesatuan masyarakat juga merupakan kekuatan. Demikian juga kemampuan menghasilkan teknologi sendiri serta membuat keputusan strategik tanpa kebergantungan berlebihan kepada kuasa luar.

Cabaran umat bukan semata-mata untuk memiliki kekuatan, tetapi menyusun seluruh sumber kekuatan tersebut menjadi keupayaan peradaban yang mampu melindungi kepentingan, maruah dan masa depan umat.

JANGAN MENJADI UMAT PROKSI

Yaman memberikan peringatan yang mahal tentang bahaya kebergantungan strategik. Umat Islam tidak boleh selama-lamanya melihat politik dunia hanya melalui persoalan blok mana yang mahu diikuti, penaung mana yang mahu dijadikan pelindung, senjata siapa yang mahu dibeli atau agenda siapa yang mahu dipertahankan.

Hubungan dan kerjasama antarabangsa merupakan keperluan sesebuah negara. Namun kerjasama berbeza daripada kebergantungan strategik. Apabila sesebuah negara kehilangan kebebasan yang mencukupi untuk menentukan keputusan berdasarkan kepentingan dan prinsipnya sendiri, ruang kedaulatannya semakin mengecil.

Lebih tragis apabila negara-negara Islam sendiri membiayai kelompok yang berhadapan dengan Muslim lain di bumi umat. Senjata dibeli dengan kekayaan umat, pejuangnya daripada umat, mangsanya daripada umat dan bumi yang hancur juga milik umat. Namun seluruh kekuatan tersebut tidak berkumpul menjadi kekuatan peradaban. Sebaliknya, ia berubah menjadi fragmentasi kekuatan umat.

YAMAN SEBAGAI CERMIN GEOPOLITIK

Apabila sejarah hubungan Saudi-Yaman sejak 1930-an dibaca secara keseluruhan, satu pola menjadi jelas. Saudi pernah berperang dengan kerajaan Yaman, kemudian menyokong Imamah Zaidiyyah, seterusnya membina hubungan dengan republik. Riyadh mempunyai hubungan pragmatik dengan Ali Abdullah Saleh, pernah berbeza kepentingan dengannya, kemudian memainkan peranan dalam proses peralihan kuasa daripada Saleh kepada Hadi. Dalam fasa berikutnya, Saudi memasuki peperangan secara langsung terhadap Houthi.

Kesemua episod tersebut berlaku dalam konteks sejarah dan kepentingan strategik yang berubah. Maka sesiapa yang cuba memahami Yaman hanya melalui satu perkataan, iaitu mazhab, akan kehilangan sebahagian besar daripada realiti sejarahnya.

Yaman perlu dibaca melalui sejarah, geografi, sempadan, keselamatan, ekonomi, kabilah, kepentingan negara, perang proksi dan struktur kuasa antarabangsa. Barulah kita dapat memahami bahawa apa yang berlaku bukan sekadar pertentangan identiti, tetapi perebutan kuasa dalam ruang geografi yang mempunyai nilai strategik luar biasa.

KETIKA DUNIA ISLAM MENJADI MEDAN

Secara kiasan, terdapat bangsa yang mempunyai kemampuan membentuk percaturan. Terdapat p**a bangsa yang mungkin tidak cukup kuat untuk menentukan keseluruhan sistem, tetapi mempunyai ilmu dan keupayaan untuk memahami percaturan serta mempertahankan kepentingannya. Namun terdapat juga bangsa yang akhirnya menjadi medan percaturan.

Apabila sebuah bangsa menjadi medan, pihak lain membiayai kelompoknya, membekalkan senjatanya, mempengaruhi naratifnya dan mempunyai pengaruh terhadap agenda rundingannya. Namun rakyat negara tersebut yang akhirnya membayar harga.

Allah SWT mengingatkan:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah al-Ra’d: 11)

Justeru, umat tidak boleh hanya bertanya siapa yang mahu menguasainya. Kita perlu bertanya mengapa umat boleh dikuasai. Kita tidak boleh hanya membicarakan agenda kuasa luar, tetapi perlu membina agenda strategik umat sendiri. Kita juga tidak boleh sekadar meratapi dunia Islam yang menjadi medan percaturan, tetapi mesti bertanya apakah kekuatan yang sedang dibina agar bumi umat tidak terus menjadi medan perebutan pihak lain.

Malik Bennabi meletakan bahawa dominasi luar tidak boleh dipisahkan daripada kelemahan dalaman. Wahyu p**a mengajar bahawa kuasa mesti dipandu oleh amanah dan keadilan.

Maka umat tidak memadai sekadar ramai, tetapi mesti berilmu. Tidak memadai sekadar kaya, tetapi mesti berkeupayaan. Tidak memadai memiliki senjata, tetapi mesti mempunyai strategi. Tidak memadai mempunyai negara, tetapi mesti memiliki kedaulatan dalam menentukan keputusan dan masa hadapannya sendiri.

Kerana tragedi terbesar bukan sekadar apabila umat kalah dalam sebuah peperangan. Tragedi yang lebih besar ialah apabila bumi umat menjadi medan, darah umat menjadi harga, kekayaan umat menjadi rebutan dan masa depan umat ditentukan oleh percaturan pihak lain.

Maka apabila kita membaca Yaman, jangan berhenti pada pertanyaan tentang siapa Sunni dan siapa Syiah. Pertanyaan yang lebih mendalam ialah siapa mempunyai kepentingan, siapa membiayai siapa, siapa menguasai geografi strategik, siapa membentuk keseimbangan kuasa dan siapa mempunyai kemampuan menentukan agenda.

Akhirnya, persoalan paling besar yang perlu kita renungkan ialah sama ada umat sedang membina kekuatannya sendiri atau masih menjadi instrumen dalam strategi pihak lain. Itulah persoalan geopolitik. Dan bagi umat Islam, itulah persoalan peradaban.

Address

No. 6C, Tingkat 3, Blok 1, Worldwide Business Centre, Jalan Tinju 13/50, Seksyen 13
Shah Alam
40100

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when PAS SHAH ALAM posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share