11/11/2026
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
11 NOVEMBER 2026 | 1 JAMADILAKHIR 1448 H
KAMPUNG MELAYU SUBANG TENGGELAM LAGI: KERAJAAN NEGERI PALING 'MAJU' GAGAL URUS BENCANA.
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meluahkan rasa amat marah dan kecewa yang tidak terhingga terhadap sikap kerajaan negeri dan persekutuan yang jelas culas dan sambil lewa dalam menangani isu banjir. Tragedi bah yang kembali melanda Kampung Melayu Subang pada pagi ini dan untuk rekod kali ke 4 dalam bulan ini sahaja menjadi bukti nyata dan tamparan hebat betapa lemahnya keupayaan urus tadbir kerajaan pada hari ini.
2. Umum mengetahui, Pakatan Harapan (PH) telah menerajui Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008. Hampir dua dekad memegang kuasa mutlak, persoalan besar yang wajib dijawab ialah mengapa isu pengurusan bencana asas dan infrastruktur perparitan ini masih gagal diselesaikan dan terus membarah? Di manakah letaknya kebanggaan slogan 'Negeri Maju' dan status kononnya sebagai negeri paling kaya di Malaysia, sedangkan realiti pengurusan bencana dan penilaian risiko negeri berada pada tahap yang sangat mendukacitakan, persis tata urus sebuah negeri mundur? Rakyat Selangor sekadar dibuai dengan lambakan angka KDNK yang megah di atas kertas, namun saban tahun terpaksa meredah air bah menyelamatkan nyawa dan harta benda.
3. Lebih mengesalkan, kegagalan urus tadbir ini mencetuskan trauma yang berpanjangan. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mempersoalkan, apakah tindakan tuntas yang sedang dilakukan oleh Menteri Besar bagi mententeramkan emosi dan keresahan penduduk terjejas? Rakyat pada hari ini terpaksa tidur dalam keadaan penuh ketakutan, trauma, dan tertekan memikirkan ancaman banjir yang boleh merempuh masuk secara tiba-tiba. Dalam masa yang sama, fikiran mereka buntu memikirkan bagaimana mahu keluar bekerja dan mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga pada keesokan harinya akibat musibah ini.
4. Oleh yang demikian, Menteri Besar digesa agar segera mencari penyelesaian yang tuntas dan berkesan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak terus berulang. Rakyat sudah cukup terbeban apabila terpaksa menanggung kerosakan harta benda serta kerugian mencecah puluhan ribu ringgit akibat kejadian yang berulang kerana keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat tidak boleh terus dikompromikan.
5. Krisis bencana perbandaran ini turut diburukkan lagi dengan keputusan semberono dan campur tangan politik yang tidak rasional di peringkat Persekutuan. Kami sekali lagi mendesak Kerajaan Madani untuk bermuhasabah susulan tindakan membatalkan Projek Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM7 bilion pada Disember 2022 yang lalu. Perlu diimbas kembali, inisiatif mitigasi mega tersebut telah pun dirancang dengan begitu komprehensif oleh mantan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Malangnya, kerangka penyelesaian jangka panjang tersebut digagalkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya kerana sentimen prejudis dan nafsu politik melulu, tanpa mempedulikan nasib rakyat marhaen yang bakal menanggung padah.
6. Kerajaan digesa berhentilah menjadikan nyawa dan harta benda rakyat sebagai cagaran dalam percaturan politik. Sekiranya Menteri Besar dan barisan kepimpinan negeri sudah tidak mampu lagi menggalas amanah, atau sudah tidak mahu lagi mempedulikan urusan pentadbiran dan kebajikan harian rakyat, maka letaklah jawatan secara terhormat. Berikanlah laluan kepada kepimpinan lain yang lebih peduli, memiliki timbang rasa, dan benar-benar memahami erti kesengsaraan rakyat untuk mentadbir negeri ini.
USTAZ DR. AUBIDULLAH FAHIM IBRAHIM
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor