05/10/2026
LAWATAN KERJA YB MENTERI KESIHATAN KE HOSPITAL SULTAN ABDUL HALIM
5 Oktober 2026 | Hospital Sultan Abdul Halim
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah berbesar hati mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada hari ini. Lawatan kerja hari ini termasuk dengan meninjau tapak Projek Pembinaan Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) serta pengoperasian wad multidisiplin di Hospital Sungai Petani. Inisiatif pembukaan wad multidisiplin di Hospital Sungai Petani merupakan antara usaha memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatan dan membantu mengurangkan kesesakan, di samping menyediakan persekitaran rawatan yang lebih selesa dan kondusif kepada pesakit Hospital Sultan Abdul Halim.
Seterusnya, lawatan kerja diteruskan ke Hospital Sultan Abdul Halim. Ketibaan YB Menteri Kesihatan telah disambut oleh YBrs. Dr. Mithali binti Abdullah @ Jacquline Sapen, Pengarah HSAH, bersama pengurusan kanan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Hospital Sultan Abdul Halim. Dalam kunjungan tersebut, YB Menteri Kesihatan turut berbesar hati untuk merasmikan pembukaan Early Pregnancy Assessment Unit (EPAU). Beliau turut meluangkan masa meninjau Jabatan Kecemasan dan Trauma HSAH bagi melihat sendiri tahap kesiapsiagaan serta penyampaian perkhidmatan kepada pesakit dan masyarakat, khususnya dalam menghadapi kepadatan pesakit yang memerlukan perhatian dan pengurusan berterusan.
Antara perkara yang diberi perhatian secara terus ialah kerja-kerja naik taraf fasiliti bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pesakit, terutama di kawasan Jabatan Kecemasan & Trauma serta fasiliti wad sedia ada. Dalam perancangan jangka panjang, cadangan pembangunan bangunan tambahan (Wanita & Kanak-Kanak) yang melibatkan penyediaan 408 katil melalui 15 wad, selain 34 bilik isolasi yang turut dilengkapi 7 dewan bedah. Bangunan tambahan ini turut dirancang dengan kemudahan tempat letak kereta bertingkat bagi kemudahan orang awam yang mendapatkan perkhidmatan hospital ini.
Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah terus menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan berkesan. Kerjasama berterusan ini menjadi antara usaha penting dalam memperkukuh sistem penyampaian kesihatan, sekali gus memastikan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan yang cekap, selesa dan berkualiti, selaras dengan keperluan serta kesejahteraan rakyat.
Pihak Pengurusan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad atas kesudian meluangkan masa mengadakan lawatan kerja serta meninjau sendiri perkembangan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan di HSAH.
Turut hadir bersama YBrs. Dr. Ismuni bin Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), KKM; YBrs. Dr. Nor'aishah binti Abu Bakar, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah; YBhg. Dato' Dr. Norsiah binti Ali, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM; YBhg. Datin Paduka Roslinah binti Md Jani, Setiausaha Bahagian Kanan Pembangunan, KKM; YBrs. Dr. Izzuna Mudla binti Mohamed Ghazali, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM; serta pegawai-pegawai kanan KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.