23/10/2026
Buku ini selamat mendarat pada hari ulang tahun kelahiran TGHH baru ni.Tidak terlalu tebal,kalau membaca yang konsisten, insyaAllah naskhah ini mampu dihabiskan dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Isi yang padat,huraiannya jelas dan laras bahasa mudah difahami,malah sarat dengan mesej yang menyentuh jiwa serta menginsafkan. Sangat sesuai dijadikan bahan bacaan umum, khususnya buat mereka yang ingin memahami Islam bukan sekadar sebagai agama ritual, tetapi sebagai ad-Din yang merangkumi seluruh dimensi kehidupan.
Antara subtopik yang menarik perhatian ialah “Takrifan Islam”.
TGHH menghuraikan bagaimana Rasulullah SAW menjelaskan pengertian Islam melalui beberapa jawapan berdasarkan keadaan individu yang bertanya dan suasana ketika itu. Walaupun terdapat perbezaan pada sudut penekanan dan pendekatan, setiap takrifan tersebut tidak sedikit pun bercanggah antara satu sama lain. Sebaliknya,semuanya saling melengkapi, memperkukuh dan memperlihatkan keluasan makna Islam itu sendiri.
Di sinilah letaknya keindahan dan kesempurnaan Islam. Kepelbagaian takrifan tersebut bukanlah petanda bahawa Islam terpecah kepada segmen-segmen yang terpisah, tetapi membuktikan bahawa setiap dimensinya saling berpaut, saling menguatkan dan akhirnya membentuk satu kesatuan agama yang syumul.
Lebih jauh daripada itu, kefahaman terhadap konsep dakwah yang sebenar akan membentuk jiwa dan roh jihad yang hakiki. Dakwah bukan sekadar menyampaikan kata-kata, manakala jihad bukan hanya terbatas pada perjuangan fizikal. Kedua-duanya menuntut kefahaman, kesungguhan dan pengorbanan dalam usaha merealisasikan Islam sebagai ad-Din yang memandu kehidupan manusia.
Amar makruf nahi mungkar bukanlah sekadar slogan yang indah di bibir, tetapi amanah yang wajib dilaksanakan sebagaimana tuntutan al-Quran. Tanggungjawab ini menuntut keberanian untuk menegakkan kebenaran, kebijaksanaan dalam menyampaikan teguran dan kesabaran dalam menghadapi mehnah serta tribulasi perjuangan. Jalan dakwah tidak pernah dijanjikan mudah, namun kesukaran itulah yang menguji keikhlasan dan keteguhan jiwa para pendukungnya.
Terima kasih TGHH atas penulisan yang begitu bermakna ini.Semoga gagasan dan kerangka pemikiran yang diketengahkan melalui naskhah ini bukan sekadar menambah ilmu, tetapi turut menyuburkan kefahaman, membangkitkan kesedaran dan menggerakkan umat untuk menghayati serta memperjuangkan Islam dalam segenap ruang kehidupan.
Moga-moga buku ini menjadi pemangkin kepada lahirnya umat yang bukan sahaja memahami Islam dengan ilmu, tetapi turut menghayatinya dengan jiwa dan menterjemahkannya melalui amal.