05/10/2026
KUNJUNG HORMAT PUSPEN KAMPUNG SELAMAT KE JABATAN PSIKIATRIK HOSPITAL SEBERANG JAYA
PUSPEN Kampung Selamat telah mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Psikiatrik, Hospital Seberang Jaya yang diketuai oleh Tuan Pengarah PUSPEN Kampung Selamat bersama pegawai-pegawai bagi memperkukuh hubungan kerjasama strategik serta meningkatkan jalinan profesional antara kedua-dua institusi dalam bidang rawatan, pemulihan dan penjagaan kesihatan mental.
Kunjungan ini turut disusuli dengan sesi taklimat serta lawatan ke sekitar unit dan wad psikiatri yang dikendalikan oleh Dr. Gaaitheri a/p Karupiah, Ketua Jabatan Psikiatrik, Hospital Seberang Jaya. Sesi ini memberikan pendedahan dan perkongsian maklumat berkaitan perkhidmatan psikiatri, pengurusan pesakit serta pendekatan rawatan yang dilaksanakan dalam persekitaran hospital.
Inisiatif ini merupakan platform bermakna untuk memperluas pengetahuan, berkongsi pengalaman dan meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan integrasi aspek kesihatan mental dalam proses rawatan serta pemulihan klien. Kerjasama rentas agensi amat penting bagi memastikan pendekatan pemulihan yang lebih holistik, komprehensif dan berkesinambungan, selaras dengan keperluan klien untuk kembali berfungsi secara positif dalam masyarakat.
Semoga jalinan kerjasama yang terjalin ini terus diperkukuh demi mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan serta merealisasikan matlamat melahirkan individu yang sihat dari segi fizikal, mental, emosi dan sosial.