07/11/2026
FIM SIRI KE-14 BAHAS KEPERLUAN REFORMASI PERTANIAN, TEKNOLOGI DAN INTEGRITI DALAM PENGURUSAN KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA
7 November 2026 | Kuala Lumpur
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan penganjuran Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) untuk siri ke-14 dengan kerjasama syarikat gergasi perladangan negara, SD Guthrie Berhad yang mengangkat tema “Daya Tahan Negara dalam Keterjaminan Makanan bagi Mendepani Ketidaktentuan Global” dan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut hadir bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta barisan kepimpinan kementerian, ahli akademik dan wakil industri.
Forum tersebut menampilkan tiga (3) ahli panel iaitu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan PNB, Dr. Sarena Che Omar; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kump**an SD Guthrie Berhad, Encik Mohd Haris Mohd Arshad yang membincangkan daya tahan sektor pertanian negara daripada perspektif dasar kerajaan, penyelidikan dan industri.
Dalam menggariskan hala tuju keterjaminan makanan negara, YAB Perdana Menteri menegaskan keperluan melakukan reformasi struktur pertanian dengan memberi perhatian kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi moden serta usaha merapatkan jurang keupayaan antara syarikat perladangan besar dengan pekebun kecil supaya manfaat pembangunan sektor itu dapat dinikmati secara lebih meluas.
Mengulas kedudukan pengeluaran makanan negara, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata kadar sara diri (SSR) beras negara kini berada pada sekitar 55 peratus berbanding 71 peratus sebelum ini, sekali gus memerlukan peningkatan hasil melalui pemodenan pertanian, penggunaan teknologi, penyelidikan universiti dan pengusahaan semula tanah pertanian terbiar bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus.
Sementara itu, Dr. Sarena Che Omar berpandangan sektor pertanian perlu dilihat sebagai industri yang mempunyai potensi ekonomi dan daya saing tinggi dengan memberi tumpuan kepada tanaman bernilai tinggi, kepelbagaian sumber makanan serta pembangunan produk tempatan yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa, selain menggalakkan setiap isi rumah mempunyai bekalan makanan asas yang mencukupi sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan.
Mohd Haris Mohd Arshad p**a menjelaskan industri minyak sawit mempunyai kelebihan dari segi produktiviti dan sumbangan ekonomi apabila eksport minyak sawit serta produk berkaitannya menjana lebih RM112 bilion berbanding kira-kira RM90 bilion nilai import makanan negara, namun peningkatan produktiviti pekebun kecil perlu diberi perhatian memandangkan hasil mereka masih jauh lebih rendah berbanding ladang syarikat besar.
Dalam sesi soal jawab, perbincangan turut menyentuh ancaman keselamatan siber terhadap rantaian bekalan makanan, keperluan stok penimbal, kebergantungan import, kos makanan ternakan, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi input tertentu serta potensi tanaman sorgum yang lebih tahan terhadap perubahan iklim, selain kepentingan memperluas kawasan pengeluaran makanan di Sabah dan Sarawak.
Mengakhiri forum, YAB Perdana Menteri menegaskan reformasi sektor pertanian dan keterjaminan makanan perlu dilaksanakan berlandaskan integriti serta tadbir urus yang baik bagi membendung ketirisan dan rasuah, selain mengingatkan bahawa rasionalisasi subsidi perlu mengambil kira tanggungjawab kerajaan untuk menjamin hak setiap rakyat mendapatkan makanan sebagai keperluan asas kehidupan.
Beliau turut menegaskan kemajuan negara perlu bergerak seiring antara penguasaan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan mekanisasi dengan nilai, akhlak serta kemanusiaan, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang bukan sahaja menuntut negara mencapai kemajuan tinggi tetapi turut berakar pada nilai murni, selain memaklumkan pandangan dan teguran yang dikemukakan dalam forum berkenaan akan dirumuskan untuk dibawa ke Jemaah Menteri bagi pertimbangan tindakan lanjut.
Zambry Abd. Kadir
Adam Adli
Aminuddin Hassim
SD Guthrie Berhad