12/08/2026
Bengkel Pengukuhan Rangka Isi Rumah dan Pemetaan Digital Ke Arah Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2030 Bersama DOSM Sarawak
📆 29 - 30 Jun 2026
📍DOSM Sarawak
Bengkel Pengukuhan Rangka Isi Rumah dan Pemetaan Digital ke Arah MyCensus 2030 merupakan antara inisiatif persediaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke arah pelaksanaan Banci 2030 yang mementingkan arus pemodenan perkhidmatan awam dengan mempeluas penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi geospatial secara strategik bagi memperkukuh agenda pendigitalan negara. Selaras dengan saranan United Nations Statistics Division (UNSD) melalui Principles and Recommendations for Population and Housing Censuses Revision 4 (P&R4), pendekatan ini menekankan penggunaan Population Register serta pengintegrasian data pentadbiran sebagai sumber utama dalam penghasilan statistik rasmi yang lebih berkualiti, cekap dan berimpak.
Seiring dengan aspirasi tersebut, BPPD sedang mentransformasikan proses pengemaskinian rangka isi rumah dan pemetaan dengan mengadaptasi pendekatan yang lebih moden dan bersepadu. Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kepada kerja lapangan melalui penggunaan data pentadbiran, maklumat geospatial serta teknologi digital bagi memperkukuh kecekapan dan ketepatan pelaksanaan.
Bengkel ini memberi penekanan kepada sesi interaksi, perkongsian ilmu dan latihan teknikal antara Ibu Pejabat bersama Pegawai DOSM Sarawak turut melibatkan semua Pejabat Operasi di Sarawak secara atas talian sebagai persediaan ke arah pelaksanaan MyCensus 2030. Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada transformasi pelaksanaan MyCensus 2030 yang berteraskan pendekatan Digital-First dan integrasi data, serta pengukuhan kerangka rangka isi rumah dalam konteks pengemaskinian semasa "Where Are We Now" sebagai asas perancangan bagi memenuhi keperluan pelaksanaan pada masa hadapan. Di samping itu, bengkel ini turut memperkukuh kompetensi peserta melalui sesi hands-on penggunaan ArcGIS Pro dan Dashboard Pengemaskinian Kategori Blok Penghitungan (BP) bagi menentusahkan kategori BP Tepu, Pesat dan Sederhana dengan memanfaatkan pelbagai sumber data serta penggunaan aplikasi bagi menyokong proses semakan dan pengemaskinian BP. Bengkel ini turut membincangkan keperluan persempadanan, kajian tepu bina serta kepentingan data kependudukan yang berkualiti dalam menghasilkan anggaran penduduk semasa, sekali gus menyokong pengemaskinian rangka isi rumah dan pemetaan digital yang lebih sistematik, cekap dan selaras dengan aspirasi MyCensus 2030.
Dalam masa yang sama, sesi pengujian aplikasi turut dilaksanakan bagi menilai keberkesanan fungsi sistem, ketepatan data serta tahap kesediaan teknologi yang akan digunakan dalam pelaksanaan pengemaskinian pada masa hadapan. Pendekatan ini bertujuan memastikan proses modenisasi rangka isi rumah dan pemetaan dapat dilaksanakan secara lebih efisien, seragam dan berkualiti di DOSM Sarawak.
Komitmen berterusan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam mentransformasikan pengurusan rangka isi rumah dan pemetaan diterjemahkan melalui pemanfaatan teknologi, inovasi, maklumat geospatial serta sumber data alternatif. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong pelaksanaan MyCensus 2030 yang lebih cekap dan tepat, malah memperkukuh penghasilan statistik rasmi yang berkualiti, relevan dan responsif terhadap keperluan pembangunan negara.