07/01/2026
PERBARISAN PEMBUKAAN LATIHAN BAGI TAHUN 2026
LATIHAN TEMPATAN PEGAWAI KADET
PASUKAN LATIHAN PEGAWAI SIMPANAN
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
(PALAPES UIAM)
GOMBAK, 4 Jan 26 : Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah melaksanakan Perbarisan Pembukaan Latihan Tempatan Pegawai Kadet PALAPES UIAM tahun 2026 bertempat di Padang Kawad UIAM. Perbarisan ini telah disempurnakan oleh Lt Kol Wan Rizaila bin Wan Mamat Saufi selaku Timbalan Komandan PALAPES UIAM. Turut hadir dalam perbarisan ini adalah Mej Muhammad Khairol bin Bintajol selaku Ketua Jurulatih PALAPES UIAM.
Pelaksanaan majlis ini merupakan simbolik langkah awal kepada perjalanan latihan PALAPES UIAM sepanjang tahun 2026 yang menekankan aspek disiplin, kepimpinan dan pembentukan jati diri Pegawai Kadet. Seramai 12 Pegawai Muda dan 226 Pegawai Kadet telah terlibat dalam perbarisan tersebut.
Majlis dimulakan dengan Pemakaian Lencana Jurulatih seterusnya diserikan lagi dengan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet yang melibatkan pangkat Pegawai Rendah Kanan, Pegawai Rendah Muda, Kadet Sarjan, Kadet Koperal dan Kadet Lans Koperal sebagai pengiktirafan terhadap kemajuan serta komitmen Pegawai Kadet sepanjang latihan yang dijalankan.
Dalam ucapan Timbalan Komandan, beliau telah menyampaikan hasrat, dorongan dan nasihat kepada semua Pegawai Kadet PALAPES UIAM agar mereka dapat menyempurnakan latihan pada tahun 2026 dengan komitmen yang tinggi, ketahanan mental dan fizikal serta semangat kerjasama yang utuh antara semua peringkat. Selain itu, beliau mengharapkan agar semua Pegawai Kadet terus beristiqamah dab berdisplin dalam menjalani latihan sehingga Pentauliahan kelak.
-Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia-