30/10/2026
📚 BENGKEL KOMPETENSI ANDRAGOGI TENAGA PENGAJAR SAUDARA KITA TAHUN 2026
Alhamdulillah, Bengkel Kompetensi Andragogi Tenaga Pengajar Saudara Kita Negeri Pulau Pinang telah berlangsung pada 29 hingga 30 Oktober 2026 bertempat di Vouk Suites Hotel Penang.
Bengkel ini merupakan usaha berterusan Bahagian Dakwah, JHEAIPP dalam memperkasa kompetensi tenaga pengajar Saudara Kita, khususnya dalam aspek teknik pengajaran dan pembelajaran golongan dewasa (andragogi).
Antara pengisian utama bengkel ialah Slot 1: Teknik Andragogi dalam Pengajaran Saudara Kita yang telah disampaikan oleh Dr. Norhafilah binti Abdullah dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang.
Selain perkongsian ilmu, bengkel turut merangkumi semakan dan pemarkahan kertas peperiksaan serta analisis pencapaian dan tahap penguasaan pelajar. Program ini turut disusuli dengan Mesyuarat Penyelarasan Kelas Pengajian Islam Saudara Kita Negeri Pulau Pinang bagi membincangkan hala tuju dan penambahbaikan pengurusan pengajian Saudara Kita.
Antara perkara yang diberi perhatian dan dipersetujui dalam mesyuarat adalah:
🔹 Penambahbaikan silibus pengajian yang lebih bersesuaian dengan keperluan literasi dan tahap penguasaan Saudara Kita bagi memastikan proses pembelajaran lebih berkesan, inklusif dan berperingkat.
🔹 Transformasi pelajar Saudara Kita kepada Daie Mualaf, dengan membina potensi, memperkukuh kefahaman Islam serta melahirkan Saudara Kita yang berupaya menyampaikan dakwah dan menjadi contoh yang baik dalam masyarakat.
🔹 Memastikan Saudara Kita berdaftar sebagai pelajar pengajian Islam bagi membolehkan perkembangan pembelajaran mereka dipantau secara sistematik serta memastikan bimbingan berterusan dapat diberikan.
🔹 Penyelarasan syarat kelayakan bantuan dengan pendaftaran sebagai pelajar pengajian Islam di Pulau Pinang, sebagai usaha menggalakkan penyertaan dalam kelas pengajian serta memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih terancang dan bersasar.
Kesemua usaha ini digerakkan dengan satu matlamat bersama, iaitu memastikan Saudara Kita bukan sahaja mendapat bimbingan asas dalam memahami dan mengamalkan Islam, malah terus berkembang sebagai individu yang berilmu, berdaya saing, berdikari dan berpotensi menjadi pendakwah dalam masyarakat.
Semoga kesepakatan dan komitmen semua pihak menjadi pemangkin kepada pengukuhan sistem pengajian Saudara Kita di Pulau Pinang, insya-Allah.
Membina Kompetensi, Memperkasa Pengajaran, Menyantuni Saudara Kita. 🤍