14/09/2026
PENGIKTIRAFAN PBT CEMERLANG SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI KESIHATAN PERSEKITARAN SEDUNIA KPKT TAHUN 2026
TAHNIAH! diucapkan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) kerana telah menerima Pengiktirafan PBT Cemerlang bagi Audit Teknikal PBT Tahun 2026.
MPKS merupakan antara sembilan (9) PBT di seluruh Malaysia yang telah mencapai prestasi cemerlang dalam Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) dengan memperoleh 5 Bintang, sekali gus membuktikan tahap kecemerlangan MPKS dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan persekitaran.
Pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sempena Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berlangsung di Bertam Resort, Pulau Pinang pada 12 dan 13 September 2026, bersempena Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia KPKT Tahun 2026.
Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) merupakan satu penilaian yang dilaksanakan bagi menilai tahap pengurusan dan pelaksanaan perkhidmatan kesihatan persekitaran di PBT.
Antara aspek utama yang diaudit merangkumi Pentadbiran dan Pengurusan Kesihatan Persekitaran, Pematuhan Prosedur Kewangan, Pengurusan Aset Alih, Program Kawalan Penyakit Vektor dan Perosak, Pengurusan Bahan Kimia, Program Kawalan Pusat Sembelihan dan Pasar, Kawalan Haiwan Terbiar serta Program Kawalan dan Keselamatan Makanan.
Pencapaian 5 Bintang ini merupakan satu pengiktirafan yang amat membanggakan buat MPKS dan mencerminkan komitmen berterusan pihak Majlis dalam memastikan pengurusan kesihatan persekitaran dilaksanakan secara sistematik, cekap dan berkesan, selaras dengan standard serta keperluan yang ditetapkan.
Turut hadir dalam konvensyen tersebut ialah Cr Abang Ismawi bin Abang Ali, Pengerusi MPKS, Hajah Zuraida binti Idris, Setiausaha Perbandaran, Ahli-ahli Majlis serta Pegawai-pegawai MPKS.
Pengerusi MPKS, Cr Abang Ismawi bin Abang Ali, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan dan seluruh warga kerja MPKS atas komitmen, kerjasama, usaha dan dedikasi yang telah dicurahkan dalam memastikan segala tugasan dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Pengerusi juga memaklumkan kejayaan memperoleh Penarafan 5 Bintang PBAT ini merupakan hasil kerja berpasukan serta kesungguhan seluruh warga MPKS dalam memastikan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan persekitaran sentiasa berada pada tahap terbaik.
Beliau turut berharap agar pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga MPKS untuk terus memperkukuh budaya kerja cemerlang, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan demi kesejahteraan, keselesaan dan keselamatan masyarakat.
Tahniah dan syabas kepada seluruh warga Majlis Perbandaran Kota Samarahan atas kejayaan memperoleh Penarafan 5 Bintang PBAT.