02/11/2026
FPP UPM Memacu Transformasi Pendidikan STEM: Memperkasa Pedagogi Masa Hadapan Jurulatih Utama Biologi
Johor Bahru, 28 Oktober 2026 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan *Program Latihan Peningkatan Kompetensi Jurulatih Utama bagi Pembangunan Kompetensi Guru Biologi Zon Selatan 2026 (Bio Com 2026 – Siri 2)* bertempat di Hotel New York, Johor Bahru, Johor. Program ini merupakan inisiatif Bahagian Profesionalisme Guru (BPG), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan FPP UPM sebagai pembekal latihan.
Pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh profesionalisme dan kompetensi pedagogi guru mata pelajaran Sains Tulen, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), khususnya dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta memperkasakan penerapan pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam pendidikan. Program ini turut memberi penekanan kepada pembangunan Jurulatih Utama Negeri (JUN) yang berkeupayaan membimbing, menyokong dan melaksanakan latihan pembangunan profesionalisme secara berkesan kepada guru-guru Biologi di sekolah.
Program yang melibatkan 50 orang guru Biologi sekolah menengah terpilih dari Zon Selatan ini dirangka secara komprehensif melalui lapan modul latihan yang menekankan pengukuhan pengetahuan kandungan, penguasaan pedagogi dan amalan pengajaran inovatif. Antara pengisian utama termasuklah Beyond Marks: Penilaian Sains untuk PdP Bermakna, KBAT dalam Pendidikan Biologi, Pendidikan Nilai, Pengajaran Berasaskan Inkuiri, Pembelajaran Berasaskan Masalah, Pemetaan Kurikulum Biologi, Gamifikasi dalam Persekitaran Kelestarian Alam serta V-SCI: Pembelajaran Sains Berasaskan Video. Kepelbagaian pendekatan ini memberi pendedahan kepada peserta tentang strategi pengajaran yang lebih kontekstual, berpusatkan murid dan relevan dengan keperluan pendidikan semasa.
Program ini diselaraskan oleh Dr. Nurzatulshima Kamarudin dengan penglibatan barisan penceramah yang terdiri daripada PM Dr. Muhd. Khaizer Omar, Ts. Dr. Mohd. Hazwan Mohd. Puad dan Dr. Mohd. Mokhtar Muhamad. Turut membantu pelaksanaan latihan ialah Pn. Nurul Norzakiah Mohd. Nasir dan Pn. Zeiti Zulhani Zakaria sebagai fasilitator. Kepakaran dan pengalaman tenaga akademik serta fasilitator yang terlibat telah menyokong pelaksanaan modul melalui perkongsian ilmu, aktiviti latihan, perbincangan profesional dan refleksi pedagogi.
Melalui penganjuran Bio Com 2026 – Siri 2, FPP UPM terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang menyumbang kepada pembangunan profesionalisme keguruan melalui kepakaran akademik, penyelidikan dan inovasi pedagogi. Majlis penutupan disempurnakan oleh Tn. Hj. Abdul Karim Masiran, Ketua Penolong Pengarah Kanan Teknik dan Vokasional, Sektor Pembelajaran JPN Johor. Dalam ucapannya beliau berharap kerjasama strategik antara UPM, KPM dan JPN Johor ini dapat melahirkan Jurulatih Utama yang kompeten, berkeyakinan dan berupaya menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pengajaran Biologi serta pembangunan pendidikan STEM yang lebih berkualiti dan mampan di Malaysia.