28/10/2026
SKUAD ANTIDADAH TAWAU TERIMA WATIKAH PELANTIKAN RASMI DI PROGRAM KEPIMPINAN SKUAD ANTIDADAH SABAH ZON PANTAI TIMUR
TAWAU, 24 OKTOBER 2026 – Seramai 14 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Skuad Antidadah Tawau telah menerima watikah pelantikan secara rasmi dalam Program Kepimpinan Skuad Antidadah Sabah Zon Pantai Timur yang berlangsung di Bro & Sis Mini Hall, Tawau.
Program ini melibatkan penyertaan zon Pantai Timur yang merangkumi Tawau, Kalabakan, Semporna dan Lahad Datu, sebagai platform untuk memperkukuh kepimpinan, menyelaras gerak kerja serta meningkatkan komitmen ahli dalam melaksanakan agenda pencegahan dadah di peringkat komuniti.
Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Haji Mazlan Joe Manan, Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sabah.
Penerimaan watikah ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pelantikan, malah merupakan satu amanah dan tanggungjawab untuk terus berkhidmat, menyebarkan kesedaran serta menggerakkan masyarakat agar bersama-sama membanteras ancaman dadah.
Skuad Antidadah Tawau komited untuk mempergiat usaha pendidikan, advokasi dan mobilisasi masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan belia, bagi membina komuniti yang lebih prihatin, berpengetahuan dan bebas daripada ancaman dadah.
Pengerusi Skuad Antidadah Tawau tuan Rudhi Rhg berkata dalam ucapannya:
“Kita semua terbentuk disebabkan kepercayaan daripada kepimpinan atasan kita, jawatan kita sebagai perantara untuk kita membawa mesej kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan Dadah…”
Tahniah kepada 14 orang AJK Skuad Antidadah Tawau yang menerima watikah pelantikan rasmi. Semoga amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, dedikasi dan semangat berpasukan.
Rugi Kalau Terjebak!
Skuad Antidadah Tawau, Bersama Masyarakat, Memperkasa Pencegahan.