15/09/2026
PENYATUAN UMMAH: IKHLAS BERKAWAN ATAU SEKADAR MAHU BERKUASA?
“Penyatuan ummah” kembali menjadi modal politik PAS dan UMNO. Tetapi belum pun sempat penyatuan itu terbentuk, pimpinan kedua-dua parti sudah mula saling menyindir tentang keikhlasan. Tok Mat mencabar PAS membuktikan keikhlasan di negeri SG4 dengan Terengganu disebut secara khusus, manakala Sanusi p**a membalas bahawa UMNO tidak perlu menguji keikhlasan PAS. Kalau masing-masing benar-benar yakin dengan keikhlasan sahabat baharu mereka, kenapa soal “siapa lebih ikhlas” sudah mula menjadi pertikaian?
Lebih menarik, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri menegaskan dalam Muktamar PAS bahawa kerusi DUN dan Parlimen yang telah dimenangi PAS perlu dipertahankan. Kalau semuanya mahu dipertahankan, maka UMNO hendak bertanding di mana? Jangan bercakap soal penyatuan dan perkongsian kuasa kalau akhirnya kerusi sendiri tidak boleh disentuh, tetapi kerusi orang lain p**a diminta UMNO pergi rebut.
Terengganu adalah ujian paling jelas. PN menguasai kesemua 32 kerusi DUN dan UMNO tidak mempunyai satu pun. Di Kedah p**a, Sanusi pernah mempersoalkan UMNO mahu bertanding di mana apabila PN sudah menguasai 33 daripada 36 kerusi, lalu menyebut tiga kerusi yang dimenangi PH untuk dicuba UMNO. Mudah benar formulanya.Kerusi kami, kami pertahankan, kerusi lawan, UMNO pergilah lawan.
Sebab itu rakyat patut melihat apa yang akan berlaku apabila rundingan kerusi sebenar bermula. Kalau PAS benar-benar ikhlas mahu UMNO menjadi rakan politik, berapa kerusi di Terengganu, Kedah atau Kelantan yang PAS sanggup berikan ruang kepada UMNO? Begitu juga UMNO, apakah mereka bersedia memberikan ruang kepada PAS di negeri-negeri yang menjadi kekuatan mereka? Di sinilah retorik akan bertemu realiti.
Jangan akhirnya “penyatuan ummah” hanya kedengaran indah apabila mikrofon berada di tangan, tetapi apabila sampai bab kerusi, semua mula mengeluarkan kalkulator. Keikhlasan bukan diukur melalui berapa kali perkataan “ummah” disebut dalam ucapan. Keikhlasan akan terlihat apabila tiba masanya menentukan siapa sanggup berundur, siapa sanggup berkongsi dan siapa sanggup memberikan ruang.
Jadi kita tunggu dan lihat. Kalau akhirnya masing-masing mahu mempertahankan semua kerusi sendiri tetapi masih mahu menjual cerita kononnya sedang membina penyatuan, rakyat berhak bertanya, adakah ini benar-benar penyatuan ummah, atau sekadar penyatuan kepentingan apabila kuasa semakin dekat untuk direbut?
MOHAMAD NAFIIS BIN AHMAD
Setiausaha Pemuda AMANAH Negeri Terengganu
15 September 2026