06/11/2026
KDN MEMPERKASA KESEDARAN MASYARAKAT MELALUI PROGRAM JOM EXCHANGE AL-QURAN (JEQ) DI KAMPUNG BECHAH DURIAN, PASIR MAS
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri Kelantan terus memperkukuh pendekatan penguatkuasaan berteraskan pendidikan dan kesedaran masyarakat menerusi pelaksanaan Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ)
Program yang dilaksanakan di Masjid Mukim Bechah Durian, Kampung Bechah Durian, Bunut Susu, Pasir Mas pada 6 November 2026 ini merupakan antara inisiatif mendekatkan peranan dan tanggungjawab KDN kepada masyarakat, khususnya dalam memastikan penggunaan naskhah al-Quran yang mematuhi ketetapan perundangan serta mempunyai Perakuan Betul daripada KDN.
Menerusi pendekatan pameran, advokasi dan penerangan secara langsung, masyarakat diberikan kefahaman mengenai kepentingan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 [Akta 326] serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], di samping tanggungjawab bersama dalam memelihara kesucian dan kehormatan kitab suci al-Quran.
Pelaksanaan program ini turut memperlihatkan keberkesanan inisiatif JEQ sebagai saluran khidmat masyarakat yang memberikan peluang kepada orang ramai untuk menukarkan naskhah al-Quran yang rosak, uzur atau tidak mempunyai Perakuan KDN kepada naskhah yang bersesuaian.
Hasil pelaksanaan program, sebanyak 74 naskhah al-Quran berjaya ditukarkan kepada naskhah baharu. Dalam masa yang sama, sebanyak 96 naskhah al-Quran yang rosak serta 41 naskhah yang tidak mempunyai Perakuan KDN berjaya dikumpulkan untuk tindakan pengurusan selanjutnya.
Lebih daripada sekadar aktiviti pertukaran naskhah al-Quran, program ini mencerminkan komitmen KDN untuk membawa fungsi kementerian lebih dekat kepada masyarakat melalui pendekatan yang mesra, inklusif dan berimpak. Ia juga membuktikan bahawa keberkesanan penguatkuasaan bukan hanya diukur melalui tindakan pemeriksaan dan pematuhan undang-undang, tetapi turut melalui keupayaan mendidik, membimbing dan membina kesedaran masyarakat.
Melalui penglibatan institusi masjid dan komuniti setempat, KDN berhasrat menjadikan masyarakat sebagai rakan strategik dalam memastikan setiap naskhah al-Quran yang digunakan berada dalam keadaan baik, terpelihara serta memenuhi keperluan perundangan yang berkuat kuasa.
Sesungguhnya, memelihara kesucian al-Quran bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi merupakan amanah bersama seluruh umat Islam.