23/10/2026
𝐉𝐔𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐀𝐆𝐑𝐎 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈 (𝐉𝐀𝐌) 𝐄𝐃𝐈𝐒𝐈 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐊𝐄𝐋𝐀𝐍𝐓𝐀𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔 @ 𝐈𝐁𝐔 𝐏𝐄𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓 𝐅𝐀𝐌𝐀
📅 23 Oktober 2026 (Jumaat)
⏰ 7.30 pagi – 3.00 petang
📍 Pekarangan Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru
Selayang
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meneruskan inisiatif memperluas akses pengguna kepada hasil agromakanan tempatan menerusi Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi Negeri Kelantan 2026 @ Ibu Pejabat FAMA yang berlangsung di Pekarangan Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang.
Program ini menjadi platform bagi mengetengahkan kepelbagaian hasil agromakanan dan produk keluaran Negeri Kelantan, di samping membuka ruang pasaran kepada usahawan tempatan serta memberi peluang kepada pengguna mendapatkan produk segar, berkualiti dan pada harga yang berpatutan.
Majlis turut diserikan dengan sesi simbolik perasmian yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), bersama YBrs.Puan Hazliza binti Hassan, Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara, Pejabat Belanjawan Negara. Turut hadir bersama barisan pengurusan kanan FAMA yang terdiri daripada YBrs. Encik Faisal Iswardi bin Ismail, Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Shahrizan bin Sudiman, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan); YBrs. Puan Suraya binti Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan); YBrs. Encik Sarman bin Sidno, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi); serta YBrs. Puan Asmizal binti Jaafar, Pengarah Kanan Galakan Pasaran dan Kepengunaan dan YBrs. Encik Muhamad Razis bin Samsu, Pengarah FAMA Negeri Kelantan.
Bertemakan “Pasar Klate: Budaya, Makanan & Tradisi”, program ini mengetengahkan kepelbagaian produk agromakanan segar dan produk istimewa Negeri Kelantan pada harga yang menarik, sekali gus memperkenalkan keunikan cita rasa, budaya dan tradisi Kelantan kepada warga Kuala Lumpur, Selayang dan kawasan sekitarnya.
Bagi memeriahkan lagi program, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk persembahan kebudayaan dikir barat oleh Kumpulan Arjuna Sukma dan persembahan wayang kulit yang dibawa khas dari negeri Cik Siti Wan Kembang.
Diharapkan penganjuran Jualan Agro MADANI Edisi Kelantan 2026 ini terus memberi manfaat kepada pengguna, memperkasa usahawan tempatan dan memperkukuh peranan FAMA dalam memacu pemasaran agromakanan negara.
Abang Ahmad Kerdee
Faisal Iswardi
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
FAMA Malaysia