24/10/2026
24 OKTOBER 2026 | KOTA KINABALU
SESI TOWNHALL KEUSAHAWANAN BERSAMA MINDET DAN KUSKOP
"Daripada Akses Pembiayaan kepada Penskalaan Perniagaan"
Pertumbuhan ekosistem keusahawanan tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah perniagaan yang diwujudkan, tetapi juga pada keupayaan usahawan mengembangkan operasi, menembusi pasaran yang lebih luas, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang ekonomi yang berterusan.
Perspektif ini antara perkara yang mewarnai Sesi Townhall Keusahawanan Bersama MINDET dan KUSKOP yang berlangsung pagi ini, melibatkan saya bersama Timbalan Ketua Menteri III Sabah, YB Datuk Ewon Benedick, serta para usahawan tempatan dan tetamu yang hadir. Suasana program turut diserikan dengan acara cabutan bertuah yang dibuka kepada para pengunjung, menambahkan kemeriahan dalam sesi pertemuan bersama komuniti keusahawanan ini.
Pelbagai aspek pembangunan keusahawanan menjadi tumpuan, termasuk akses kepada pembiayaan, peningkatan kapasiti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pendigitalan perniagaan, peluasan akses pasaran serta pemerkasaan gerakan koperasi dan perusahaan sosial. Kesemuanya merupakan komponen penting dalam membina perniagaan yang bukan sahaja mampu bertahan, malah mempunyai keupayaan untuk berkembang dan bersaing.
Sehingga September 2026, KUSKOP telah menyalurkan RM950.78 juta yang memanfaatkan 44,059 usahawan dan koperasi di Sabah. Pencapaian ini mencerminkan skala sokongan yang telah digerakkan, namun matlamat akhirnya adalah untuk memastikan kemudahan yang tersedia dapat diterjemahkan kepada peningkatan kapasiti perniagaan, pertumbuhan pendapatan dan penciptaan peluang pekerjaan.
Dalam konteks ini, pembiayaan perlu bergerak seiring dengan bimbingan, penguasaan teknologi, kecekapan pengurusan dan keupayaan mengakses pasaran. Pendekatan bersepadu inilah yang penting bagi membantu lebih ramai usahawan Sabahan beralih daripada operasi berskala kecil kepada perniagaan yang lebih tersusun, konsisten, berdaya tahan dan berpotensi untuk berkembang.
Saya melihat sesi yang berlangsung tadi itu juga secara tidak langsung menjadi satu kesempatan yang harus dimanfaat dengan sebaiknya untuk menyelaraskan perspektif antara pembuat dasar, agensi pelaksana dan pemain industri. Pemahaman terhadap realiti perniagaan di lapangan perlu terus menjadi sebahagian daripada pertimbangan dalam membentuk sokongan keusahawanan yang relevan, bersasar dan memberi impak.
Kerjasama antara KUSKOP dengan Kerajaan Negeri Sabah melalui MINDET juga penting dalam memastikan agenda pembangunan keusahawanan dapat digerakkan secara saling melengkapi, dengan mengambil kira potensi serta keperluan khusus usahawan di negeri ini.