23/10/2026
JSJK PERKUKUH KERJASAMA SIASATAN DI PERSADA ANTARABANGSA
INCHON, REPUBLIK KOREA | 21 – 23 OKTOBER 2026: Delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai oleh YDH CP Dato' Rusdi bin Mohd Isa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah menghadiri 1st Annual Forum of the International Investigative Cooperation Alliance (IICA) yang berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober 2026 di Incheon, Republik Korea.
Forum berkenaan menghimpunkan wakil dari 25 buah negara serta enam organisasi antarabangsa, iaitu INTERPOL, ASEANAPOL, AFRIPOL, AMERIPOL, International Organization for Migration (IOM) dan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC). Penganjuran forum ini menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama siasatan jenayah rentas sempadan, memperluas perkongsian maklumat dan risikan, serta meningkatkan koordinasi antara agensi penguatkuasaan undang-undang di peringkat antarabangsa.
Sepanjang forum berlangsung, tiga mesyuarat bilateral turut diadakan antara PDRM dengan Korea National Police Agency (KNPA), Jerman dan Jepun. Mesyuarat tersebut memberi ruang kepada perbincangan mengenai kerjasama siasatan, perkongsian maklumat serta amalan terbaik dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan, khususnya jenayah komersil dan jenayah siber.
Penyertaan PDRM melalui JSJK dalam forum ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.
Usaha ini penting bagi meningkatkan keberkesanan siasatan, mempercepat pertukaran maklumat dan memperkukuh tindakan bersama dalam menangani jenayah penipuan serta jenayah siber yang semakin kompleks dan merentasi sempadan negara.