Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Gudang

Directions Contact the organization

Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Gudang Visi

Melahirkan Pemuda yang ditarbiyah, berkepimpinan dan bermasyarakat

09/11/2026
09/11/2026

Minda Presiden PAS

BERPERANG KERANA ISRAEL DAN SEKUTUNYA, BUKAN KERANA MASJID AL-AQSA

Kini, wilayah Asia Barat sedang terbakar akibat peperangan, yang dikatakan berpunca daripada perbezaan antara mazhab Sunni dengan mazhab Syiah, antara kebangsaan Arab dengan Parsi, sehingga dikaitkan dengan penentangan Islam dan Majusi yang sudah ketinggalan zaman. Sebenarnya, tujuannya adalah demi menjaga keamanan Israel dan sekutunya.

Hal ini disebabkan keselamatan harta dan takhta dianggap lebih penting daripada membebaskan Bait al-Maqdis. Maka, kedudukan Selat Hormuz dan Bab al-Mandab dipertahankan kerana kedudukannya yang penting dalam menjaga kepentingan-kepentingan tersebut, yang lebih diutamakan dan diletakkan lebih penting daripada Masjid al-Aqsa yang juga dinamakan Bait al-Maqdis .

Bait al-Maqdis merupakan bumi yang dimakmurkan oleh Nabi Ibrahim AS dan menjadi bumi para anbiya’ serta tanah suci bagi umat Islam, Yahudi dan Kristian. Namun, Allah menegaskan bahawa umat Islam paling berhak. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya:

مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٦٧ إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا ٱلنَّبِيُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٨

“Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukanlah (p**a) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang Musyrik. (67) Sesungguhnya, orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad), berserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad), dan Allah ialah Pelindung semua orang yang beriman. [68]” [Surah Ali ‘Imran: 67–68]

Betapa mulianya Masjid al-Aqsa dan bumi kelilingnya yang diberkati, yang wajib dipertahankan oleh semua umat Islam, bukan bangsa Arab sahaja. Walaupun berbeza mazhab dan berlainan bangsa, namun mereka telah disatukan oleh Islam yang sama rukunnya, iaitu menyembah Tuhan yang sama, Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya, al-Quran dan Sunnah Nabi yang sama, serta menghadap ke arah kiblat yang sama.

Sekalipun terdapat perbezaan dalam perkara furu‘ dan ada segelintir yang melakukan perkara bidaah dan kesesatan disebabkan oleh kejahilan, perkara tersebut wajib diselesaikan dan diislahkan oleh para ulama’ secara ilmu dalam masalah dalaman, bukan sehingga mencetuskan peperangan yang membakar sesama sendiri, sebagaimana yang pernah berlaku sehingga mencetuskan Perang Teluk yang besar beberapa kali.

Krisis yang berlaku kini adalah antara kerajaan-kerajaan yang lahir selepas pengkhianatan menjatuhkan khilafah oleh para pemimpin yang bekerjasama dengan penjajah musuh Islam. Para pemimpin yang terlibat kemudiannya dilantik menjadi pemimpin kerajaan bagi wilayah-wilayah yang dibahagi-bahagikan dalam kalangan kuasa penjajah. Kerajaan-kerajaan yang ditabalkan oleh penjajah p**a menjadikan mereka sebagai raja, amir dan pemimpin, bersama dengan wujudnya negara Yahudi Zionis yang dinamakan Israel.

Bahkan, turut diwujudkan pangkalan tentera semua negara penjajah di setiap negeri atas nama menjaga keamanan dan keselamatan. Sebenarnya, semua itu hanya untuk membantu Israel, menjaga sumber minyak dan tenaga yang berharga, serta menjaga takhta yang dianugerahkan kepada para pemimpin yang berjasa menjatuhkan kerajaan Islam, kuasa besar ‘Uthmaniyyah pada masa lalu.

Kedudukan Teluk Parsi bersama Selat Hormuz dan Yaman bersama Bab al-Mandab yang merupakan pintu masuk Laut Merah, telah menjadi kawasan rebutan semua kuasa besar dunia sejak zaman dahulu kala, dan berterusan sehingga kini.

Pernah pada zaman dahulu, Yaman diperintah oleh kaum Yahudi yang melakukan peristiwa Ukhdud yang diceritakan dalam al-Quran. Kemudian, Yaman diserang oleh Habsyah di bawah pimpinan panglima Abrahah yang pernah menyerang Makkah, sebelum kemudiannya diperintah oleh Parsi.

Pada zaman Rasulullah SAW, Yaman diperintah oleh Islam apabila Bazan bin Sasan RA (kemudiannya tergolong dalam kalangan sahabat) menjadi ketua wilayahnya bagi pihak Parsi. Kemudian, beliau terus menjadi ketua pemerintah yang dilantik oleh Rasulullah SAW dan berada di bawah kuasa Islam sehingga kini. Betapa pentingnya perkara ini sehingga dinyatakan oleh al-Quran:

لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ ٤

“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (1) (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas. (2) Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Kaabah). (3) Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” [Surah Quraisy: 1–4]

Yaman ialah pangkalan wilayah timur dunia yang menjadi sumber perdagangan, yang menghubungkan antara Makkah dengan Syam sebagai pangkalan perdagangan wilayah barat dunia.

Adapun kuasa besar Parsi dan jajahan takluknya diislamkan pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA dan tidak lagi beragama Majusi. Kuasanya hilang mendahului kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah apabila Shah Iran berjaya dipengaruhi oleh penjajah yang mengepung ‘Uthmaniyyah dengan menggunakan perbezaan mazhab Syiah dan bangsa Parsi bagi memecahbelahkan umat Islam. Sehinggakan, Iran menjadi sebahagian daripada negara blok Barat bersama Israel dalam menghadapi Islam, bersama Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Setelah berlaku kebangkitan semula Islam sehingga jatuhnya Shah Iran, berlaku islah dalam mazhab Syiah Imamiyyah dan lemahnya kump**an sekular di Turki, maka gerakan menghalang kebangkitan semula kuasa Islam yang berdaulat kembali dilaksanakan. Strategi menghalang dan melemahkannya dilakukan melalui tindakan menentang semua kump**an Islam serta mengepung Republik Islam Iran dengan tindakan politik, ekonomi, media, sehinggalah ketenteraan.

Bahkan, turut menggunakan pengaruh terhadap negara yang telah dirancang penubuhannya melalui gabungan politik, ekonomi, media dan ketenteraan. Hal ini ternyata benar dan dapat disaksikan melalui kerajaan-kerajaan yang bertindak terhadap semua gerakan Islam yang bersifat parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu, turut berlaku campur tangan dalam urusan pelajaran dan pendidikan, serta menyebarkan kefahaman negatif terhadap Islam seperti isu Islamofobia, keganasan atas nama Islam dan lain-lain .

Semua kemenangan parti Islam dalam pilihan raya walaupun secara demokrasi yang menjadi kebanggaan mereka, dibatalkan dengan tindakan undang-undang yang sengaja dicipta atau secara kekerasan, dengan menghalalkan kediktatoran yang mereka sendiri haramkan, namun dihalalkan apabila digunakan untuk menentang Islam.

Semua negara umat Islam tanpa mengira ideologi, mazhab dan bangsa, menjadi sasaran serangan secara ganas sehingga melampaui undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Serangan ganas terhadap Afghanistan, Iraq, Libya, Iran, Yaman, Somalia, Sudan dan negara-negara umat Islam yang lain p**a sedang menunggu giliran.

Mana-mana negara yang didapati mempunyai kelemahan untuk melawan kebangkitan Islam akan dicaturkan melalui rampasan kuasa atau perang proksi yang sengaja dicetuskan. Di samping itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut digunakan melalui semua unitnya. Antaranya, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dibatalkan kuasanya, begitu juga Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dibendung melalui kuasa veto.

Kedudukan Teluk Parsi dan Laut Merah yang menghubungkan tiga benua besar dunia menjadikannya kawasan paling panas dalam sejarah dunia sejak dahulu kala hingga kini. Keadaan menjadi agak tenang di bawah pemerintahan kerajaan Islam yang menjadi kuasa besar dunia kerana hanya Islam yang bersifat kemanusiaan sejagat, yang tidak menghalang manusia hidup bermasyarakat. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan serta menjadikan kamu daripada pelbagai bangsa dan suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Kebangkitan Islam yang berlaku di seluruh dunia dan kejayaan Revolusi Islam di Iran yang menjatuhkan Shah serta perubahan ke arah Islam di Turkiye, walaupun masih dibendung, diikuti p**a dengan kemenangan Hamas di Palestin yang mencetuskan Taufan al-Aqsa. Kemudian, kemaraan gerakan Islam di beberapa negara ini telah menggerakkan kuasa-kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat, Israel dan sekutunya, untuk bertindak bagi membendung kebangkitan dan penguasaan Islam.

Mereka bergerak seperti pasukan bala tentera Ahzab dengan mengumpulkan pelbagai kump**an yang menentang Islam serta golongan munafiq untuk menghadapi kebangkitan tersebut, khususnya di kawasan yang paling strategik dalam laluan perdagangan dan perjalanan antarabangsa. Antaranya ialah Selat Hormuz dan Bab al-Mandab, termasuk Laut China Selatan, Selat Melaka, Terusan Suez, sehingga Selat Gibraltar, Selat Bosporus dan Jalan Sutera. Tambahan p**a, kedudukan Bab al-Mandab dan Selat Hormuz sebagai laluan utama sumber tenaga terbesar dunia menjadikannya kawasan yang menjadi rebutan yang paling panas.

Serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, diikuti serangan bertubi-tubi ke atas Yaman oleh semua negara Teluk, serta serangan yang dilakukan oleh Israel, Amerika Syarikat dan Eropah, dan kini dengan menggunakan Arab Saudi, adalah kerana pentingnya kedudukan Bab al-Mandab, khususnya bagi keselamatan Israel dan sekutunya. Ia bukan semata-mata kerana mazhab Syiah al-Houthi yang terlalu kecil jumlahnya dan telah bercampur dengan masyarakat Sunni. Bahkan, sebenarnya majoriti besar penduduk Yaman adalah Sunni bermazhab Syafi‘i.

Namun, seluruh penduduk Yaman terkenal dengan semangat jihad yang kuat sejak zaman Rasulullah SAW, menjadikannya antara masyarakat yang paling keras menentang Israel dan sekutunya yang membelasah Gaza yang kecil selepas Taufan al-Aqsa. Peristiwa tersebut telah menggoncang dunia apabila Israel berjaya dikalahkan oleh Muqawamah Islamiah yang dimulakan oleh Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas).

Senjata lama digunakan kembali untuk memporak-perandakan umat Islam dengan perpecahan melalui perbezaan mazhab dan bangsa. Digunakan kembali senjata lama yang pernah berjaya menjatuhkan umat Islam sehingga kehilangan khilafah, suatu kewajipan penting yang disyariatkan oleh Allah dan menjadi peranan manusia di alam dunia. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]

Mereka menentang Islam dan umatnya secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan mazhab. Adapun umat Islam p**a berpecah kerana menghabiskan masa dan tenaga dalam pertelingkahan mazhab dan bangsa, serta mengejar harta dan takhta, bukan menunaikan kewajipan ibadah, khilafah dan amanah untuk menegakkan keadilan serta menentang kezaliman.

Oleh yang demikian, umat Islam wajib bersatu padu dan kembali kepada perintah asal Allah supaya bersatu serta mengharamkan perpecahan. Firman Allah SWT:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤ وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥

“Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. (103) Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (104) Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat. (105)” [Surah Ali ‘Imran: 103–105]

Kita berada dalam perjuangan yang wajib menyatukan umat Islam, iaitu menentang kezaliman Zionis dan membebaskan Bait al-Maqdis, yang tidak ada khilaf padanya dalam kalangan semua mazhab dan bangsa yang menganut Islam. Sahutlah seruan Allah SWT:

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Taghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]

Serta membuat persediaan yang diwajibkan menerusi perintah Allah SWT:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Tinggalkan perjuangan berperang bagi pihak Yahudi Zionis dan Amerika Syarikat demi mempertahankan Selat Hormuz dan Bab al-Mandab, serta demi menjaga takhta dan harta yang menjadi hadiah kerana menjatuhkan khilafah bersama musuh yang tidak pernah reda terhadap Islam. Firman Allah SWT:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ ١٢٠

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [Surah al-Baqarah: 120]

Penilaian dan ukuran menentukan kebenaran ialah menolak sesiapa yang bersama musuh Islam, iaitu Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya, serta berperang disebabkan kepentingan Selat Hormuz dan Bab al-Mandab bukan kerana perbezaan mazhab.

Umat Islam wajib bersama pihak yang dimusuhi oleh kump**an Ahzab bukan Islam kerana berjuang membebaskan Bait al-Maqdis dan menyelamatkan saudara seagama yang diganyang di Gaza. Bahkan, haram bersikap berkecuali atau menjadi pendamai yang melucutkan senjata rakyat Palestin yang berjuang, sedangkan pada masa yang sama membenarkan Israel dengan segala jenis senjata melakukan keganasan yang paling melampau.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 26 Jumada al-Ula 1448 H / 6 November 2026

[Bil: 72 / 2026]

Baca
09/11/2026

Baca

Minda Presiden PAS

ULAMA’ PENERIMA PUSAKA PARA ANBIYA’

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ، وَمَنْ فِي الْأَرْضِ، وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ، كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesiapa yang mengikuti jalan menuntut ilmu, nescaya Allah akan membawanya jalan menuju ke syurga. Sesungguhnya, para malaikat merendahkan sayapnya kerana reda terhadap penuntut ilmu. Sesungguhnya, seseorang yang alim itu dimohonkan keampunan (istighfar) baginya oleh penduduk langit, bumi dan makhluk di dalam air. Sesungguhnya, kelebihan seseorang yang alim mengatasi seorang ahli ibadat, laksana kelebihan bulan purnama di tengah bintang cakerawala. Sesungguhnya, para ulama’ pewaris kepada harta peninggalan para anbiya’. Sesungguhnya, para anbiya’ tidak meninggalkan harta pusaka daripada dinar dan dirham. Namun, mereka meninggalkan pusaka ilmu. Maka, sesiapa yang menerimanya, nescaya dia telah mendapat habuan yang lumayan.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, no. 3641, daripada Abu al-Darda’]

Para anbiya’ ialah pilihan Allah dalam kalangan manusia yang terbaik. Mereka wajib bersifat benar (siddiq), amanah, berani menyampaikan (tabligh), bijaksana (fatanah) dan mempunyai sifat ‘ismah (terpelihara daripada dosa dan kejahatan) kerana mereka menjadi ikutan dan teladan kepada seluruh manusia, bukan sahaja menyampaikan ilmu daripada Allah.

Para anbiya’ menerima ilmu wahyu daripada Allah dan dikurniakan kebijaksanaan yang luar biasa serta akhlak dan moral yang paling mulia dalam kalangan manusia. Kehidupan mereka disaksikan oleh kaum masing-masing sejak awal hingga akhir hayat mereka.

Para anbiya’ ditugaskan untuk menyampaikan ilmu daripada Allah supaya manusia melaksanakan tugas yang menjadi tujuan mereka diciptakan. Allah mencipta manusia dengan tiga tujuan:

Pertama: Beribadah, iaitu menjadi hamba yang patuh kepada Allah sebagaimana firman-Nya:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ٥٨

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi diri kepada-Ku. (56) Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku juga tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. (57) Sesungguhnya, Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh. [58]” [Surah al-Zariyat: 56–58]

Kedua: Berkhilafah, iaitu berpolitik dan mentadbir urusan dunia dengan al-din (Islam). Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]

Ketiga: Beramanah, iaitu menunaikan amanah dengan bersikap adil kepada semua. Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢

“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]

Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Maka, para anbiya’ bukan sahaja menerima ilmu, bahkan mereka turut melaksanakan tugas dakwah menyampaikan ilmu kepada semua manusia, bermula daripada rakyat biasa sehinggalah kalangan yang paling berkuasa. Hal ini menyebabkan mereka mengharungi perjuangan yang getir dan pengorbanan yang besar apabila dicabar oleh kalangan yang menolaknya kerana nafsu mengatasi akal yang menyebabkan para anbiya’ dizalimi sehingga difitnah, diseksa malah ada yang dibunuh oleh kaum mereka, khususnya oleh pihak yang berkuasa kerana dianggap musuh yang mencabar kedudukan mereka.

Firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Para anbiya’ pada zaman masing-masing menghadapi rakyat dan ketua negara di tempat masing-masing. Mereka terpaksa menghadapi golongan yang zalim yang mempengaruhi rakyat.

Nabi Nuh AS berdepan dengan al-mala’ (golongan pembesar) yang menentangnya. Manakala Nabi Ibrahim AS p**a menghadapi Raja Namrud dan pengikutnya. Sedangkan Nabi Musa AS menghadapi Raja Mesir yang bergelar Firaun, manakala Nabi Muhammad SAW menghadapi pemimpin Arab dan kuasa besar dunia. Perjuangan tersebut kemudiannya disambung oleh para ulama’ yang menerima pusaka ajaran dan perjuangan para anbiya’.

Ada kalangan para anbiya’ yang menjadi korban kezaliman bersama para ulama’, firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١

“Sesungguhnya, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih.” [Surah Ali ‘Imran: 21]

Walaupun para anbiya’ berjuang secara percuma, tidak bergaji dan tidak mengambil upah, namun mereka tetap melaksanakan amanah yang diperintahkan oleh Allah. Firman Allah SWT:

فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَمَا سَأَلۡتُكُم مِّنۡ أَجۡرٍۖ إِنۡ أَجۡرِيَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِۖ وَأُمِرۡتُ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ٧٢

“Jika kamu berpaling (daripada peringatanku), aku tidak meminta upah sedikit pun daripadamu. Sesungguhnya, upahku tidak lain hanyalah daripada Allah belaka, dan aku disuruh supaya aku termasuk dalam golongan orang-orang yang berserah diri (kepada-Nya).” [Surah Yunus: 72]

Ada nabi yang memimpin negara, antaranya Nabi Daud AS yang menjadi khalifah, Nabi Sulaiman AS menjadi raja dan Nabi Muhammad SAW menjadi ketua negara. Namun, para anbiya’ tidak pernah menyerah kalah sehingga golongan yang zalim dijatuhkan pada zaman mereka atau oleh para pengikut selepas mereka.

Allah mewajibkan adanya golongan pelajar yang menuntut ilmu dan bertafaqquh (memahami) dalam perkara al-din (Islam), kemudian menyampaikannya kepada orang ramai. Firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu keluar semuanya berjuang (ke medan perang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama (tafaqquh fi al-din), dan supaya mereka dapat mengajar (memberikan peringatan) kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).” [Surah al-Tawbah: 122]

Para ulama’ yang menjadi pewaris dan menerima pusaka ilmu daripada para anbiya’ wajib mengikuti teladan mereka dengan berakhlak mulia, bersifat benar, amanah dan bijaksana, serta menjaga diri daripada sifat-sifat yang buruk. Bahkan, mereka turut berdakwah dan berpolitik, bukan sekadar mengajar tanpa perjuangan.

Sejarah Islam dicatat dengan tinta emas melalui kelahiran para pemimpin dan ulama’ yang bergelar khalifah dan raja, yang berjaya memerintah negara-negara kuasa besar selama beberapa abad lamanya dalam wilayah yang luas, merangkumi tiga benua, iaitu Asia, utara Afrika dan selatan Eropah. Mereka mencipta tamadun Islam dalam ilmu agama dan dunia yang dicatat dalam penulisan buku-buku yang terpelihara sehingga kini, dan banyak daripadanya masih dimanfaatkan oleh dunia pada hari ini.

Hal ini terbukti apabila urusan dunia dipisahkan daripada agama, seperti yang dilakukan oleh Barat yang memplagiat tamadun Islam tanpa al-din, akhirnya membawa bencana kepada dunia kini.

Semua imam daripada pelbagai mazhab adalah pewaris para anbiya’ yang berjasa, begitu juga para Khulafa’ al-Rasyidin, Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan raja-raja yang adil. Sebahagian daripada mereka menjadi mangsa sehingga dibunuh, seperti Khalifah ‘Umar, Khalifah ‘Uthman dan Khalifah ‘Ali RA, manakala Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz p**a meninggal dunia kerana diracun, bukan kerana kezaliman, tetapi kerana keadilannya.

Para imam daripada semua mazhab yang muktabar seperti Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali, Zahiri, Imamiyyah, Zaidiyyah, Ibadi dan lain-lain yang bersaudara sama-sama berkorban dan difitnah kerana berani memberikan nasihat kepada kerajaan yang zalim, sehingga mereka dituduh sebagai penderhaka, Khawarij dan sebagainya. Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang dipenjarakan dan dibunuh. Semua mereka meninggalkan kitab-kitab yang muktabar yang terus dikaji dan menjadi rujukan sehingga kini.

Namun, para ulama’ tidak semuanya terpelihara sebagaimana para anbiya’ AS. Ada yang khianat dengan mencari kesenangan dunia, menyembunyikan ilmu dan melupakan akhirat. Lebih menyedihkan, ada juga yang menjadi pengampu dan memuja sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin walaupun zalim, sehingga mengkhianati ilmu pusaka para anbiya’. Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ، يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

“Setiap nabi yang diutuskan oleh Allah kepada umat sebelumku, dalam kalangan umatnya terdapat sahabat-sahabat yang setia dan patuh kepada ajarannya serta mengikut perintahnya. Kemudian, selepas mereka, muncul kalangan yang menyeleweng, yang berkata tentang perkara yang tidak mereka amalkan dan mengamalkan perkara yang tidak diperintahkan (kemungkaran). Sesiapa yang berjihad menghadapinya dengan tangannya, maka dia beriman. Sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, maka dia beriman, dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya dengan membenci kemungkaran tersebut, maka dia beriman. Namun, tidak ada lagi iman selepas itu walaupun sekecil biji yang paling halus.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 50, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]

Selain itu, ada kalangan mereka yang berilmu itu tidak amanah, sehingga mereka menyembunyikan ilmunya apabila berdepan dengan pihak yang berkuasa. Mereka dilaknat oleh Allah dan semua makhluk-Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknat (p**a) oleh semua (makhluk) yang melaknat.” [Surah al-Baqarah: 159]

Di samping itu, ada juga kalangan yang mencari makan daripada pihak yang berkuasa. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka dan bagi mereka seksa yang amat pedih.” [Surah al-Baqarah: 174]

Bahkan, ada yang diperalatkan laksana anjing suruhan, firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَالَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175-177]

Golongan inilah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali RH sebagai ulama’ jahat (ulama’ su’), manakala sebahagian lain menyebut dengan ulama’ sultan, iaitu golongan yang mengampu dan memuji sesiapa sahaja yang berkuasa memerintah negara. Termasuk dalam kalangan mereka ialah pihak yang menyokong penjajah bukan Islam pada zaman penjajahan dahulu, sehingga menamakan penjajah sebagai ulil amri yang wajib ditaati dan haram ditentang, serta menuduh mereka yang menentangnya sebagai bughah atau Khawarij.

Terdapat kisah berkenaan seorang ulama’ yang dibawa ke mahkamah oleh pihak yang berkuasa kerana menasihati kerajaan yang sebenarnya telah berlaku zalim. Beliau kemudiannya dituduh:

“Kamu ini Khawarij.”

Secara spontan dia menjawab:

“Adakah kamu seperti Saidina ‘Ali KW yang adil dilawan oleh kump**an Khawarij?”

Pepatah Arab yang masyhur berkenaan ulama’ yang jahat menegaskan:

يَا مَعْشَرَ الْعُلَمَاءِ، يَا مِلْحَ الْبَلَدِ ... مَنْ يُصْلِحُ الْمِلْحَ إِذَا الْمِلْحُ فَسَدَ؟

“Wahai orang-orang yang berilmu, wahai yang menjadi laksana garam (kepada masakan) bagi negeri, siapa lagi yang dapat membaiki garam apabila garam telah rosak?” [Muhammad bin Ahmad Kana‘an, Azamat al-Syabab Asbab wa Hulul, hlm. 81, dan al-Sya‘rawi, Tafsir al-Sya‘rawi, jld. 16, hlm. 9989]

Apabila rosaknya para ulama’, seluruh umat menjadi rosak.

Allah menjadikan pelbagai ujian kepada manusia di sepanjang zaman, kemudian mereka akan dihisab pada Hari Kiamat kelak. Firman Allah SWT:

يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢

“(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71) Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (p**a) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).” [Surah al-Isra’: 71–72]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 29 Jumada al-Ula 1448 H / 9 November 2026

[Bil: 73 / 2026]

Address

32, Jalan Mawar 46, Tmn Mawar
Pasir Gudang
81700

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Gudang posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Organization

Send a message to Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Gudang:

Shortcuts

Share

Nearby government services


Other Political Organizations in Pasir Gudang

Show All