31/10/2026
PENDANG, 31 Oktober – Penglibatan aktif komuniti dalam membudayakan amalan hidup sihat serta mencegah penularan penyakit terus diperkukuh menerusi Program Pemeriksaan Kesihatan dan Pencegahan Aedes Bersama Komuniti yang berlangsung di Pusat Aktiviti Komuniti, Taman Sri Delima.
Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga Taman Sri Delima dengan kerjasama pasukan MyCHAMPION, KOSPEN Taman Sri Delima, komuniti COMBI, Duta Ubat serta agensi berkaitan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan kendiri dan persekitaran.
Pelbagai pengisian dilaksanakan sepanjang program, antaranya pemeriksaan kesihatan menerusi inisiatif KOSPEN, pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan penyakit tidak berjangkit serta aktiviti kesedaran pencegahan pembiakan nyamuk Aedes bersama komuniti COMBI. Penduduk turut diberikan penerangan mengenai kepentingan melaksanakan aktiviti Cari dan Musnah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu bagi mengenal pasti serta menghapuskan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan kediaman masing-masing.
Usaha tersebut turut diperkukuh menerusi pelaksanaan inisiatif One Hour Clean Up yang menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti pembersihan persekitaran secara bersama. Aktiviti berkenaan memberi tumpuan kepada usaha membersihkan kawasan kediaman dan persekitaran setempat, di samping mengenal pasti serta menghapuskan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Amalan pencegahan secara konsisten itu merupakan antara langkah penting dalam membendung penularan demam denggi, selain memperkukuh tanggungjawab bersama masyarakat untuk memastikan persekitaran kediaman sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.
Program turut diserikan dengan ceramah berkaitan penggunaan ubat-ubatan secara betul, selamat dan berhemah yang disampaikan oleh Pegawai Farmasi Daerah Pendang, Nur Ayumi binti Che Ani, dengan penglibatan Unit Farmasi Klinik Kesihatan Pendang. Penerangan tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan mematuhi arahan penggunaan ubat, mengelakkan penyalahgunaan serta mendapatkan nasihat profesional kesihatan bagi memastikan penggunaan ubat yang rasional, selamat dan berkesan.
Pegawai Kesihatan Daerah Pendang, YBrs. Dr. Intan Melati binti Abu Bakar, merakamkan penghargaan kepada Kawasan Rukun Tetangga Taman Sri Delima, semua rakan strategik serta komuniti setempat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan dan turut menekankan bahawa kejayaan usaha meningkatkan tahap kesihatan masyarakat bukan hanya bergantung kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan, malah memerlukan kesedaran, komitmen dan penglibatan aktif setiap lapisan masyarakat.
Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen Pejabat Kesihatan Daerah Pendang dalam memperluas pendekatan promosi kesihatan berasaskan komuniti melalui kerjasama strategik pelbagai pihak, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih cakna, bertanggungjawab dan proaktif dalam menjaga kesihatan diri serta persekitaran.