Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan

Call Directions Website Contact the organization

Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Government Organization, MENARA MAINS, Seremban.

BENGKEL JAWATANKUASA PEMBINAAN ARAHAN KETUA PENDAKWA SYARIE NEGERI SEMBILAN TAHUN 2026📅 Tarikh: 29 - 30 Oktober 2026📍 Te...
02/11/2026

BENGKEL JAWATANKUASA PEMBINAAN ARAHAN KETUA PENDAKWA SYARIE NEGERI SEMBILAN TAHUN 2026

📅 Tarikh: 29 - 30 Oktober 2026
📍 Tempat: Palm Seremban Hotel

Jawatankuasa Pembinaan Arahan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan Tahun 2026 telah mengadakan bengkel selama dua hari bermula 29 hingga 30 Oktober 2026 bertempat di Palm Hotel, Seremban, Negeri Sembilan. Bengkel ini bertujuan meneliti, membincangkan dan memperkemas cadangan Arahan Ketua Pendakwa Syarie (KPS) bagi memastikan pelaksanaan tugas pendakwaan Syariah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, sistematik dan berkesan.

Sebanyak 13 cadangan Arahan Ketua Pendakwa Syarie telah dibentangkan untuk penelitian dan perbincangan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 cadangan berjaya diselesaikan, manakala 3 cadangan lagi telah dikategorikan untuk penelitian lanjut, penambahbaikan serta sesi libat urus bersama agensi-agensi berkaitan pada bengkel akan datang.

Diharapkan usaha berterusan ini dapat memperkukuh tadbir urus pendakwaan Syariah, menyeragamkan prosedur kerja serta meningkatkan kecekapan dan kelancaran proses keadilan Syariah di Negeri Sembilan.

Semoga segala perancangan dan usaha murni ini mendapat keberkatan dan dipermudahkan serta menjadi satu lagi langkah penting ke arah memperkasakan institusi pendakwaan Syariah demi menegakkan keadilan berlandaskan hukum syarak.



SATU KESALAHAN, BANYAK KESAN!Pernah tak kita terfikir, satu kesilapan yang dilakukan hari ini mungkin memberi kesan kepa...
27/10/2026

SATU KESALAHAN, BANYAK KESAN!

Pernah tak kita terfikir, satu kesilapan yang dilakukan hari ini mungkin memberi kesan kepada kehidupan kita pada masa hadapan? 🤔

Kadang-kadang, sesuatu perkara dilakukan kerana mengikut perasaan, terpengaruh dengan rakan atau sekadar ingin mencuba.
Namun, tanpa kita sedar, tindakan tersebut mungkin merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang syariah.

Yang perlu kita ingat, kesan sesuatu kesalahan bukan hanya setakat dikenakan denda atau hukuman oleh mahkamah.
Ada perkara lain yang turut terkesan dalam kehidupan kita.

- Kesan kepada diri sendiri – Berdepan tindakan undang-undang, menjejaskan maruah dan mungkin memberi kesan kepada masa depan.

- Kesan kepada keluarga – Kesilapan kita mungkin turut mengundang kesedihan, kekecewaan dan menjejaskan keharmonian keluarga.

- Kesan kepada masyarakat – Sesuatu kesalahan boleh menjejaskan hubungan sesama anggota masyarakat serta mengurangkan rasa hormat dan kepercayaan antara satu sama lain.

- Kesan kepada emosi – Perasaan malu, menyesal, tertekan dan hilang keyakinan diri mungkin mengambil masa untuk dipulihkan.

JADI APA YANG PERLU KITA LAKUKAN?

Semuanya bermula dengan diri kita sendiri.
Tambahkan ilmu agama, fahami perkara yang dilarang, jaga pergaulan, kawal diri dan sentiasa fikirkan baik buruk sebelum membuat sesuatu keputusan.

Kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Namun, itu bukan alasan untuk terus mengulanginya.
Selagi ada peluang, sentiasa ada ruang untuk berubah dan memperbaiki diri.

Ingat, undang-undang syariah bukan sekadar tentang kesalahan dan hukuman.
Ia juga berperanan untuk mendidik, memberi kesedaran serta memelihara kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat.

💚 Jangan kerana keseronokan sementara, kita terpaksa menanggung kesan yang berpanjangan.

Fikir dahulu sebelum bertindak.
Jaga diri, jaga maruah dan sayangi keluarga kita.

Semoga perkongsian ini menjadi peringatan buat kita semua.

PENGAUDITAN INTERIM TERHADAP BAUCAR BAYARAN BAGI TEMPOH JANUARI HINGGA OGOS 2026📅 Tarikh: 21-23 Oktober 2026📍 Tempat: Bi...
27/10/2026

PENGAUDITAN INTERIM TERHADAP BAUCAR BAYARAN BAGI TEMPOH JANUARI HINGGA OGOS 2026

📅 Tarikh: 21-23 Oktober 2026
📍 Tempat: Bilik Mesyuarat Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS)

Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menerima kehadiran pasukan audit daripada Jabatan Audit Negara, Negeri Sembilan bagi melaksanakan Pengauditan Interim terhadap Baucar Bayaran bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

Pengauditan ini dilaksanakan bagi meneliti pengurusan kewangan jabatan, khususnya berkaitan baucar bayaran dan dokumen sokongan, bagi memastikan setiap urusan pembayaran dilaksanakan secara teratur serta mematuhi peraturan dan tatacara kewangan yang sedang berkuat kuasa.

Pelaksanaan pengauditan ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, meningkatkan kecekapan pengurusan rekod serta memastikan prinsip ketelusan, integriti dan akauntabiliti sentiasa diberikan keutamaan dalam pentadbiran jabatan.

JPeNS menyambut baik pelaksanaan pengauditan ini sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan ke arah mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pasukan Jabatan Audit Negara Negeri Sembilan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.



BENGKEL KHAS SEMAKAN PINDAAN ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN (ETJSNS) DAN ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH S...
27/10/2026

BENGKEL KHAS SEMAKAN PINDAAN ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN (ETJSNS) DAN ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN (EKMSNS)

📅 Tarikh: 19-21 Oktober 2026
📍 Tempat: Palm Seremban Hotel

Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menganjurkan Bengkel Khas Semakan Pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 (ETJSNS) dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) (EKMSNS) 2003 selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Oktober 2026 bertempat di Palm Seremban Hotel.

Bengkel yang diurusetiakan oleh Bahagian Penyelidikan Perundangan ini telah dihadiri oleh Tuan Haji Salehan bin Haji Yatim (Ketua Pendakwa Syarie), Dr. Suhaizad bin Saifuddin (Pensyarah UKM) serta semua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.

Penganjuran bengkel ini merupakan salah satu inisiatif berterusan JPeNS dalam memperkukuh dan memantapkan kerangka perundangan jenayah Syariah di Negeri Sembilan melalui penelitian serta semakan menyeluruh terhadap cadangan pindaan kedua-dua enakmen berkenaan.

Sepanjang tiga hari bengkel berlangsung, semakan terhadap cadangan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 telah berjaya diselesaikan. Sementara itu, penelitian terhadap cadangan pindaan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 akan diteruskan dalam sesi semakan pada tahun 2027.

Sebagai langkah susulan, hasil semakan cadangan pindaan ETJSNS yang telah dimuktamadkan di peringkat bengkel akan dikemukakan oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.

JPeNS komited untuk meneruskan usaha penambahbaikan perundangan Syariah secara berterusan demi memperkukuh keberkesanan sistem keadilan jenayah Syariah, meningkatkan kecekapan pentadbiran keadilan serta memastikan setiap peruntukan undang-undang yang digubal selaras dengan prinsip hukum Syarak dan kepentingan masyarakat.

Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada pembangunan perundangan Syariah yang lebih komprehensif, sistematik dan berkesan di Negeri Sembilan.



JPeNS TERIMA PENGIKTIRAFAN PROJEK REFORMASI KERENAH BIROKRASI (RKB) DI PERINGKAT WILAYAH TENGAH 2026Jabatan Pendakwaan S...
14/10/2026

JPeNS TERIMA PENGIKTIRAFAN PROJEK REFORMASI KERENAH BIROKRASI (RKB) DI PERINGKAT WILAYAH TENGAH 2026

Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menyertai Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Wilayah Tengah (Selangor dan Negeri Sembilan) Tahun 2026 yang berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2026 bertempat di Swiss-Garden Hotel, Genting Highlands, Pahang.

Konvensyen ini menjadi platform bagi mengetengahkan inisiatif penambahbaikan proses kerja, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

JPeNS telah menerima pengiktirafan bagi projek RKB “Mempercepatkan Proses Pendakwaan Kes Jenayah Syariah daripada tempoh 35 hari kepada 12 hari bekerja melalui Sistem Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (i-PSNS) yang dibentangkan di peringkat Wilayah Tengah Tahun 2026. Selain daripada itu, projek ini merupakan inisiatif JPeNS dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya. Pencapaian ini juga mencerminkan komitmen jabatan dalam melaksanakan reformasi birokrasi melalui inovasi dan pendigitalan proses kerja pendakwaan jenayah Syariah. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah diucapkan kepada pasukan Projek RKB JPeNS iaitu Puan Azazurina binti Mukarab Khan, Tuan Mohd Hafiz bin Lazim, Puan Nor Bazilah binti Abdul Basir dan Cik Rabiatul Radiah binti Anil Rasid atas komitmen, dedikasi dan usaha gigih sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan dalam konvensyen tersebut.

Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat, kesungguhan dan semangat berpasukan warga JPeNS dalam merealisasikan transformasi pengurusan pendakwaan jenayah Syariah yang lebih cekap, sistematik dan berkesan. Pengiktirafan yang diterima merupakan satu pencapaian bermakna kepada JPeNS dalam usaha memperkukuh kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan pendakwaan Syariah.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga JPeNS untuk terus membudayakan inovasi, memperkasakan pendigitalan serta melaksanakan reformasi birokrasi secara berterusan demi kecemerlangan jabatan dan perkhidmatan awam.

PERANAN PENDAKWA SYARIE: BUKAN SEKADAR MENDAKWAApabila disebut tentang Pendakwa Syarie, masyarakat mungkin membayangkan ...
28/09/2026

PERANAN PENDAKWA SYARIE: BUKAN SEKADAR MENDAKWA

Apabila disebut tentang Pendakwa Syarie, masyarakat mungkin membayangkan tugasnya hanya membawa seseorang yang melakukan kesalahan ke Mahkamah Syariah. Hakikatnya, peranan Pendakwa Syarie lebih luas dan penting dalam memastikan proses keadilan dilaksanakan secara adil, teliti dan berlandaskan undang-undang.

Sebelum sesuatu kes dibawa ke Mahkamah Syariah, Pendakwa Syarie terlebih dahulu akan meneliti kertas siasatan, fakta kes serta keterangan yang diperoleh oleh pihak penguat kuasa. Penelitian ini penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil mempunyai asas yang kukuh.

Seterusnya, Pendakwa Syarie akan menilai sama ada keterangan yang ada mencukupi untuk meneruskan sesuatu pendakwaan. Tidak semua kes yang disiasat semestinya terus dibawa ke Mahkamah Syariah. Sekiranya terdapat kekurangan dalam siasatan atau keterangan, tindakan lanjut mungkin perlu dilakukan terlebih dahulu.

Apabila terdapat asas yang mencukupi untuk pendakwaan, Pendakwa Syarie akan mengendalikan kes di Mahkamah Syariah dengan mengemukakan fakta, keterangan dan hujahan berkaitan untuk pertimbangan Mahkamah.

Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, Pendakwa Syarie perlu bertindak secara profesional, adil dan berintegriti. Matlamat pendakwaan bukan semata-mata untuk mendapatkan sabitan atau menghukum seseorang, tetapi untuk memastikan undang-undang ditegakkan dan proses keadilan berjalan dengan sewajarnya.

Ringkasnya, tugas Pendakwa Syarie boleh dirumuskan kepada tiga peranan utama:
• MENELITI – memastikan fakta dan hasil siasatan diperiksa dengan teliti.
• MENILAI – menentukan sama ada keterangan mencukupi untuk pendakwaan.
• MENDAKWA DENGAN ADIL – mengendalikan pendakwaan secara profesional, berintegriti dan menurut undang-undang.

Pendakwaan yang dilaksanakan dengan teliti dan berintegriti bukan sahaja membantu Mahkamah dalam membuat keputusan, malah turut menyumbang kepada keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan Syariah.

SEMINAR KHAS PEGAWAI MASJID: PERANAN TERHADAP KES JENAYAH SYARIAH 📅 24 September 2026 (Khamis)📍 Masjid Sri Sendayan, Ban...
25/09/2026

SEMINAR KHAS PEGAWAI MASJID: PERANAN TERHADAP KES JENAYAH SYARIAH

📅 24 September 2026 (Khamis)
📍 Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan

Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menganjurkan Seminar Khas Pegawai Masjid: Peranan Terhadap Kes Jenayah Syariah sebagai usaha meningkatkan kefahaman pegawai masjid mengenai peranan, bidang kuasa serta tatacara tindakan apabila berhadapan dengan insiden yang mempunyai unsur kesalahan jenayah Syariah.

Program ini memberi penekanan kepada aspek peranan dan had kuasa pegawai masjid, perbezaan fungsi antara Pegawai Masjid, Pegawai Penguat Kuasa Agama, Polis, Pendakwa Syarie dan Mahkamah serta tindakan awal yang sewajarnya dilaksanakan apabila sesuatu aduan atau insiden berlaku.

Peserta turut diberikan pendedahan mengenai SOP tindakan awal dan kawalan situasi, penilaian risiko, prinsip penggunaan kekuatan minimum, penyerahan segera kepada pihak berkuasa, dokumentasi kejadian serta kepentingan menjaga maruah, kerahsiaan dan maklumat peribadi pihak yang terlibat. Pengisian seminar telah disampaikan oleh Tuan Abdul Wafi bin Ramli dan Tuan Mohd Hafiz bin Mohd Lazim, Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Haji Awaludin bin Said, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mewakili YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.

Seminar ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman Pegawai Masjid supaya setiap tindakan berkaitan kes jenayah Syariah dapat dilaksanakan secara sah, selamat, berhemah, tersusun dan tidak melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang.

JPeNS komited memperkukuh kefahaman undang-undang dan kerjasama strategik bersama institusi masjid demi memastikan pengurusan kes jenayah Syariah dilaksanakan secara profesional dan berintegriti.



LAWATAN KERJA JABATAN PENDAKWAAN SYARIAH NEGERI PERLIS KE JPeNS 📅 Tarikh: 17 September 2026📍 Tempat: Jabatan Pendakwaan ...
21/09/2026

LAWATAN KERJA JABATAN PENDAKWAAN SYARIAH NEGERI PERLIS KE JPeNS

📅 Tarikh: 17 September 2026
📍 Tempat: Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan

Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menerima lawatan kerja daripada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis pada 17 September 2026.

Lawatan ini bertujuan sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik, khususnya berkaitan pelaksanaan serta pengurusan kes di kedua-dua negeri.

Delegasi Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis diketuai oleh Tuan Khairulanuar bin Ahmad, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perlis, bersama barisan pegawai dan kakitangan jabatan.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan, diikuti ucapan balas daripada Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perlis.

Program kemudiannya diteruskan dengan sesi taklimat dan perkongsian berkaitan Sistem Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (i-PSNS) serta Sistem Pengurusan Dokumen Digital (DDMS 2.0).

Turut diadakan sesi perkongsian oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perlis berhubung pelaksanaan Kaedah-Kaedah Undang-Undang Keluarga Islam (Pengkompaunan Kesalahan) Negeri Perlis 2024, khususnya berkaitan pengkompaunan beberapa kesalahan matrimoni. Pelaksanaan mekanisme tersebut telah mula dilaksanakan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis berkuat kuasa mulai 1 April 2025.

Lawatan kerja ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis, di samping membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta penambahbaikan dalam pengurusan dan pelaksanaan pendakwaan syariah.


16/09/2026
PROGRAM LATIHAN KESELAMATAN KECEMASAN PEKERJA📅 Tarikh   : 10 September 2026📍 Tempat : Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri ...
11/09/2026

PROGRAM LATIHAN KESELAMATAN KECEMASAN PEKERJA

📅 Tarikh : 10 September 2026
📍 Tempat : Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan

Jawatankuasa Keselamatan Perlindungan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menganjurkan Program Latihan Keselamatan Kecemasan bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta tahap kesiapsiagaan kakitangan dalam menghadapi situasi kecemasan di tempat kerja.

Latihan tersebut diketuai oleh Dr. Aizat Arif dengan dibantu oleh dua orang fasilitator, iaitu En. Achdemaza Fame dan En. Aidil. Program ini memberikan pendedahan secara teori dan amali kepada para peserta berkaitan kaedah menyelamat serta tindakan awal yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.

Antara kemahiran yang diajar ialah Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) serta beberapa teknik asas pertolongan cemas dan tindakan menyelamat. Selain penerangan secara teori, para peserta turut diberikan peluang untuk melaksanakan latihan praktikal menyelamat dengan bimbingan fasilitator. Latihan amali ini membolehkan peserta mempraktikkan teknik CPR, kaedah membantu mangsa serta tindakan yang wajar diambil dalam situasi kecemasan secara lebih teratur dan berkesan.

Program ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan dalam aspek keselamatan, malah meningkatkan kesedaran warga jabatan mengenai kepentingan bertindak dengan pantas, tepat dan tenang ketika berhadapan dengan situasi yang boleh mengancam keselamatan serta nyawa.

Diharapkan agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui latihan ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, khususnya ketika berlaku kecemasan di tempat kerja, di rumah mahupun di tempat awam. Pengetahuan asas seperti CPR, pertolongan cemas dan teknik menyelamat merupakan kemahiran yang amat bernilai dan berpotensi membantu menyelamatkan nyawa.

JPeNS berharap program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga jabatan sentiasa mempunyai tahap kesedaran, pengetahuan dan kesiapsiagaan yang tinggi dalam aspek keselamatan serta mampu menjadi individu yang cekap, tenang dan bertanggungjawab ketika berhadapan dengan situasi kecemasan.

“Keselamatan Tanggungjawab Bersama, Kesiapsiagaan Menyelamatkan Nyawa.”

Address

MENARA MAINS
Seremban
70100

Opening Hours

Monday 08:00 - 17:00
Tuesday 08:00 - 17:00
Wednesday 08:00 - 17:00
Thursday 08:00 - 17:00
Friday 08:00 - 17:00
Saturday 09:00 - 17:00

Telephone

+6067614077

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Organization

Send a message to Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan:

Shortcuts

Share