31/10/2026
31 Oktober 2026
20 Jamadilawal 1448H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka hadir menyempurnakan perasmian Karnival Membaca Perdana dan Pesta Buku Melaka 2026 serta seterusnya melancarkan buku "Pemimpin dan Gaya Kepimpinan Dalam Organisasi Awam".
Ketibaan TYT Tun Seri Setia disambut oleh YB Datuk Wira Salhah binti Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mewakili YAB Ketua Menteri Melaka; YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara dan YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia.
Kemudiannya TYT Tun Seri Setia menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Ruang Bacaan Keluarga Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 bagi kategori Rumah Bertanah yang dimenangi oleh Home Library Nilai Impian (Negeri Sembilan), manakala bagi kategori Rumah Bertingkat dimenangi oleh Pearl of Wisdom Library (Pulau Pinang) dan kategori Rumah Kampung dimenangi oleh Sejarah Mengajar Kita (Negeri Sembilan.
Pertandingan Ruang Bacaan Keluarga Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 merupakan inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perpustakaan Awam Negeri (PAN) bagi memupuk budaya membaca dalam institusi keluarga serta menggalakkan perwujudan ruang bacaan yang kondusif, sistematik dan mesra pengguna di rumah, sebanyak 336 ruang bacaan telah menyertai pertandingan ini di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 32 finalis telah diangkat mewakili 13 negeri ke peringkat kebangsaan.
Buat julung kalinya telah diadakan Penganjuran Penarafan Bintang Perpustakaan bagi Perpustakaan Khusus Guna Sama (PKG).
Tahniah kepada 5 buah perpustakaan yang memperoleh markah melebihi 90 peratus iaitu Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, Politeknik Ungku Omar yang penerima anugerah perdana penarafan bintang perpustakaan 2026; Perpustakaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI); Kolej Komuniti Arau; Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan.
Turut hadir YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia; YBrs. Tuan Mohamad Sobri bin Mad Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara; YBrs. Puan Anisatul Wahidah binti Abdul Wahid, Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia serta YBrs. Tuan Mohamed Aizammuddy bin Mohamed Idris, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka.