Dewan Muslimat Pas Kawasan Titiwangsa

Dewan Muslimat Pas Kawasan Titiwangsa

Share

Dewan Muslimat Pas Kawasan Titiwangsa

27/05/2026

Salam Aidiladha 1447H

Aidiladha mengajar kita erti pengorbanan yang sebenar. Kisah Siti Hajar, seorang wanita solehah yang tabah berlari antara Safa dan Marwah demi mencari setitis air buat anaknya Nabi Ismail A.S, menjadi lambang kekuatan seorang wanita yang penuh tawakal dan kasih sayang.

Di sebalik ujian yang berat, Siti Hajar tidak pernah mengalah. Dari pengorbanan seorang ibu itulah lahirnya nikmat air Zamzam yang terus mengalir hingga hari ini. Begitulah besarnya darjat wanita di sisi Allah apabila sabar, ikhlas dan yakin dengan pertolongan-Nya.

Semoga Aidiladha ini mendidik hati-hati kita untuk terus kuat dalam berjuang, ikhlas dalam berkorban dan teguh memimpin keluarga menuju redha Allah.

Selamat Hari Raya Aidiladha daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa.

“Wanita hebat bukan kerana hidupnya mudah, tetapi kerana kuatnya bergantung kepada Allah dalam setiap pengorbanan.”

26/05/2026

Hari Arafah : Medan Muhasabah Manusia Dengan Hakikat Kehambaan

Hari Arafah bukan sekadar satu tarikh biasa dalam takwim Islam, tetapi ia merupakan detik terpenting perjalanan spiritual manusia menuju Tuhan. Pada tanggal 9 Zulhijjah setiap tahun, jutaan manusia berhimpun di Padang Arafah dengan pakaian yang sama, putih suci tanpa darjat dan kemegahan dunia, seolah-olah sedang mengulangi gambaran kebangkitan manusia di padang Mahsyar kelak.
Di situlah manusia kembali memahami falsafah paling agung dalam kehidupan: bahawa setiap insan akhirnya hanyalah seorang hamba di hadapan Allah S.W.T tidak kira latar belakang masing-masing. Yang utama hanyalah amal dan hati. Dalam suasana itu, manusia belajar bahawa kemuliaan bukan terletak pada apa yang dimiliki, tetapi pada sejauh mana hati tunduk kepada Allah.

Hari Arafah mempunyai kedudukan yang sangat besar dalam syariat Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah Arafah.”— Riwayat al-Tirmizi. Hadis ini menunjukkan bahawa wukuf di Arafah merupakan rukun terbesar ibadah haji. Tanpa wukuf, maka tidak sempurna hajinya seseorang.

Di padang Arafah jugalah turunnya satu ayat agung dalam al-Quran yang menyatakan bahawa agama ini telah sempurna iaitu ketika Haji Wada‘, haji terakhir Nabi Muhammad SAW turunnya ayat 3 dari Surah Al-Maidah :
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, serta Aku telah redai Islam itu menjadi agama kamu.”
Ayat ini membawa makna bahawa Hari Arafah adalah simbol kesempurnaan agama dan kemuncak rahmat Allah kepada seluruh umat manusia.

Selain itu, hari Arafah merupakan antara hari yang paling disukai Allah S.W.T kerana pada hari tersebut terserlah sifat rahmah Allah S.W.T yang terlalu luas. Rasulullah SAW bersabda: “Tiada hari yang Allah paling banyak membebaskan hamba daripada api neraka melainkan Hari Arafah.”
—Riwayat Muslim

Bagi jemaah haji, mereka berpeluang duduk bermuhasabah akan dosa dan kesilapan yang lalu dan istimewa juga bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, disunatkan berpuasa pada hari tersebut. Sabda Nabi SAW: “Puasa pada Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya.”— Riwayat Muslim

Subhanallah, betapa luasnya kasih sayang Allah. Hanya dengan satu hari berpuasa, dosa dua tahun diampunkan. Ini menunjukkan bahawa Hari Arafah bukan hanya milik para jemaah haji di bumi Arafah, tetapi juga peluang rahmat bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Pada hari tersebut juga sebaiknya kaum Muslimin haruslah merebut peluang untuk memperbanyakkan doa kerana Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa ialah doa pada Hari Arafah.” — Riwayat al-Tirmizi.

Maka sesiapa yang masih diberi kesempatan bertemu Hari Arafah, jangan biarkan ia berlalu seperti hari-hari biasa kerana mungkin inilah hari yang Allah pilih untuk menghapuskan dosa-dosa kita, memakbulkan doa-doa kita, dan menulis nama kita dalam kalangan hamba yang diampuni.

Dan mungkin, di sebalik jutaan manusia yang berdoa di bumi Arafah, ada satu suara yang paling Allah tunggu-tunggu iaitu suara kita yang akhirnya p**ang menuju-Nya dengan hati yang benar-benar tunduk.

26/05/2026

𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧 𝗠𝗘𝗡𝗬𝗔𝗠𝗕𝗨𝗧 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗥𝗔𝗬𝗔 𝗔𝗜𝗗𝗜𝗟𝗔𝗗𝗛𝗔 𝟭𝟰𝟰𝟳𝗛 / 𝟮𝟬𝟮𝟲

Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H, saya mewakili seluruh saf kepimpinan PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya warga Wilayah Persekutuan.

Aidiladha bukan sekadar perayaan ibadah korban, bahkan merupakan simbol pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Semangat pengorbanan ini sewajarnya menjadi pedoman kepada seluruh umat Islam dalam memperkukuhkan ukhuwah, membantu golongan memerlukan serta meletakkan kepentingan agama dan ummah mengatasi kepentingan peribadi.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada suatu amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Nahar yang lebih dicintai Allah selain daripada mengalirkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah korban itu akan sampai kepada Allah sebelum ia jatuh ke bumi. Maka relakanlah hati kamu dengannya.”
*(Riwayat al-Tirmizi)*

Dalam suasana negara yang masih berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan sosial, Aidiladha mengajar kita erti kebersamaan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap masyarakat tanpa mengira latar belakang.

PAS Wilayah Persekutuan turut menyeru agar program ibadah korban dan sambutan Aidiladha dijadikan medan memperkukuhkan perpaduan masyarakat serta menyemarakkan budaya saling membantu dalam kalangan rakyat.

Semoga segala ibadah korban dan amal kebajikan yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT serta membawa keberkatan kepada negara dan seluruh umat Islam.

“Korban Eratkan Ukhuwwah, Taqwa Diperkasa”

Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H / 2026.

USTAZ HAJI AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya
PAS Wilayah Persekutuan

26/05/2026

Perutusan Hari Raya Aidiladha, 1447H/ 2026M

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

Pertama sekali, PAS Kawasan Titiwangsa ingin mengucapkan tahniah kepada para jemaah yang terpilih bagi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci pada tahun ini. Kami mendoakan segala urusan buat para jemaah dimudahkan dan dikurniakan haji mabrur.

Manakala di Malaysia p**a, pastilah masyarakat muslim sibuk dengan perancangan aktiviti ibadah qurban di tempat masing-masing. Namun dalam kesibukan itu, diingatkan agar hendaklah kita mengisi masa dengan sebaik-baiknya dengan perbanyakkan doa terutamanya pada 9 Zulhijjah iaitu pada Hari Wukuf di Arafah.

Seterusnya marilah kita mengamalkan sunnah pada Hari Raya Aidiladha iaitu dengan memperbanyakkan takbir, tahlil serta tahmid dari 10 hingga 13 Zulhijjah.

Firman Allah SWT,

وَلِكُلِّ اُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللّٰهِ عَلٰى مَا رَزَقَهُمْ مِّنْۢ بَهِيْمَةِ الْاَنْعَامِۗ فَاِلٰهُكُمْ اِلٰهٌ وَّاحِدٌ فَلَهٗٓ اَسْلِمُوْاۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِيْنَ ۙ

Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (qurban), agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. Maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, karena itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan sampaikanlah (Muhammad) kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah)
(Surah Al-Hajj : 34)

Kisah Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS, merupakan perintah yang amat berat untuk dilaksanakan sebagai seorang ayah. Namun Nabi Ibrahim AS tetap melaksanakannya dengan taat dan disampaikan dengan penuh hikmah kepada anaknya akan perintah Allah.

Nabi Ismail AS menunjukkan sikap yang sangat positif malah menyakinkan ayahnya untuk melaksanakan perintah Allah itu segera.

Saat melaksanakan perintah itu, Allah telah menggantikan Nabi Ismail AS dengan kibas untuk disembelih. Sungguh Allah Maha Mengetahui saat kesukaran yang dilalui.

Daripada kisah ini, pengorbanan dan ketaatan merupakan perkara paling kemuncak tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT.

Allah SWT amat mengasihi hamba-hambaNya yang taat dan patuh padaNya. Semoga kita juga termasuk dalam kalangan hamba Allah yang taat dan berserah diri kepada Allah SWT.

Akhir kata, PAS Kawasan Titiwangsa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat terutamanya kepada masyarakat di kawasan Titiwangsa. Kami mendoakan kesejahteraan buat semua umat Islam dan juga didoakan semoga semua amalan serta ibadah qurban kita diterima di sisi Allah SWT.

Selamat Hari Raya Aidiladha & Selamat Mengerjakan Ibadah Qurban

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ وَجَعَلْنَا مِنَ الْعَآئِدِينَ وَالْفَآئِزِينَ

Semoga Allah menerima amalan kita dan menjadikan kita kembali (dalam keadaan suci) dan termasuk orang-orang yang mendapat kemenangan.

اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

USTAZ MOHD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Yang DiPertua PAS Kawasan Titiwangsa.
26 Mei 2026 | 9 Zulhijjah 1447H

Photos from Dewan Muslimat Pas Kawasan Titiwangsa's post 23/05/2026

Mesyuarat Agung Dewan Muslimat, Medan Muhasabah Gerak Kerja

KAMPUNG PANDAN, 23 Mei – Seramai 35 muslimat mewakili cawangan telah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa (DMPKT) kali ke-38 di Dewan Othman Ngah, Al-Ummah pagi tadi.

Majlis dimulakan dengan bacaan tilawah Surah As-Soff ayat 1–11 oleh adik Nurul Izzah Darwisyah bt Mohd Noor Ihsan, Johan MAIS Wilayah 2026. Tilawah tersebut mengingatkan muslimat tentang tujuan berjihad, memurnikan jiwa dan bergerak secara berjemaah.

Ketua DMPKT, Puan Khairi Syutina bt Mahmood dalam ucapan aluannya berharap mesyuarat menjadi medan mengukuhkan kesepakatan serta memperbaiki gerak kerja jemaah. Beliau turut menekankan pelaksanaan program tarbiyah, siasah, kebajikan dan ekonomi yang terus berjalan serta mengajak muslimat memperbetulkan niat perjuangan demi meraih redha Allah dan bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Titiwangsa, Ustaz Mohd Suhaimi bin Abd Aziz p**a menzahirkan penghargaan terhadap peranan muslimat yang bukan sahaja dalam urusan keluarga dan jemaah, malah turut aktif di lapangan masyarakat serta menguasai isu semasa negara. Beliau juga menggalakkan anak-anak ahli PAS menghadiri program usrah bagi melahirkan keluarga yang bersama-sama dalam perjuangan Islam.

Ucapan perasmian disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Hajah Nuridah binti Hj Mohd Salleh. Beliau mengingatkan bahawa dasar PAS ialah Islam dan setiap ahli perlu menjadikan Islam sebagai cara hidup. Ustazah Nuridah turut menekankan tujuan PAS berdasarkan Fasal 5 Perlembagaan PAS, iaitu memperjuangkan masyarakat dan pemerintahan yang melaksanakan nilai serta hukum Islam demi keredhaan Allah, disamping mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan negara.

Beliau juga menyeru muslimat memperkukuhkan tarbiyah melalui zikir dan solat hajat agar sentiasa dipelihara serta diberi petunjuk dan kemenangan oleh Allah SWT.

Majlis turut diserikan dengan slot gimik, montaj dan sambutan hari lahir buat Ustazah Nuridah. Perasmian diakhiri dengan sesi bergambar sebelum mesyuarat agung bermula pada pukul 11.20 pagi.

17/05/2026

🌹 SELAMAT HARI GURU 2026 🌹

Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi mendidik jiwa, membentuk akhlak dan membimbing generasi agar mengenal Allah serta hidup berpandukan iman dan taqwa.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga pendidik atas segala pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan dalam mendidik anak bangsa tanpa mengenal jemu. Sesungguhnya jasa seorang guru terlalu besar nilainya dan tidak mampu dibalas dengan harta benda.

Di sebalik kejayaan seorang anak, pasti ada doa yang tidak pernah putus daripada seorang guru. Setiap ilmu yang dicurahkan, setiap teguran yang mendidik dan setiap nasihat yang diberikan menjadi amal jariah yang berpanjangan hingga ke akhirat.

✨ Teruslah menjadi murabbi ummah,
✨ Penyuluh jalan kehidupan,
✨ Dan inspirasi buat generasi masa hadapan.

Semoga semua guru terus diberi kekuatan, kesihatan dan keberkatan dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Selamat Hari Guru buat seluruh insan pendidik.
Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. 🤍

✨ “Pendidik Rabbani Malaysia Sejahtera” ✨

13/05/2026

Sumber - NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH

KENYATAAN MEDIA
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH
13 Mei 2026 | 25 Zulkaedah 1447H

Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.

Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut.

Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun kepimpinannya.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan.

YB Dr Nik Muhammad Zawawi Bin Salleh
Ahli Parlimen Pasir Puteh

10/05/2026

🌷 Selamat Hari Ibu 🌷

Menjadi seorang ibu bukanlah suatu tugas yang mudah.
Di sebalik senyuman seorang ibu, tersimpan seribu pengorbanan, keletihan dan doa yang tidak pernah putus demi melihat anak-anak membesar dengan baik.

Buat semua ibu sama ada yang ditemani pasangan, mahupun yang sedang kuat berjuang membesarkan anak-anak dengan penuh tabah ketahuilah bahawa setiap pengorbanan kalian amat besar nilainya di sisi Allah SWT.

Dalam dunia yang semakin mencabar ini, didikan agama adalah harta paling berharga untuk diwariskan kepada anak-anak. Anak yang dibesarkan dengan iman, akhlak dan kasih sayang insya-Allah akan menjadi penyejuk hati serta penyelamat ibu ayah di dunia dan akhirat.

Teruslah mendidik dengan kasih sayang, doa dan tarbiyah Islam. Kerana daripada tangan seorang ibu lahirnya generasi yang akan membawa cahaya kepada agama dan ummah.

Semoga seluruh ibu sentiasa diberikan kekuatan, kesihatan, ketenangan dan ganjaran syurga atas segala pengorbanan yang tidak ternilai.

Ikhlas daripada,
Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa 🤍

03/05/2026

𝐓𝐈𝐆𝐀 𝐆𝐎𝐋𝐎𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐀𝐇𝐋𝐈 𝐒𝐘𝐔𝐑𝐆𝐀

Nabi ﷺ menjelaskan bahawa ahli syurga terdiri daripada tiga golongan:

𝐏𝐞𝐦𝐢𝐦𝐩𝐢𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐚𝐝𝐢𝐥
Mereka yang memegang amanah dengan jujur, tidak zalim, tidak rasuah, dan menjadikan hukum Allah sebagai panduan dalam setiap keputusan. Keadilan mereka bukan sekadar pada nama, tetapi pada tanggungjawab dan takwa.

𝐋𝐞𝐥𝐚𝐤𝐢 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐚𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐚𝐧 𝐥𝐞𝐦𝐛𝐮𝐭
Mereka yang hidupnya penuh rahmah,lembut kepada keluarga, sabar dalam memimpin, tidak mudah marah, dan memudahkan urusan orang lain. Inilah akhlak Nabi ﷺ yang menjadi tanda iman yang masih segar bugar.

𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐠𝐚 𝐝𝐢𝐫𝐢 𝐝𝐚𝐫𝐢𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐦𝐚𝐤𝐬𝐢𝐚𝐭
Mereka yang takut kepada dosa walaupun kecil, menjaga hati, pandangan dan perbuatan, serta sentiasa sedar bahawa kehidupan dunia ini sementara dan akhirat adalah tujuan sebenar.

Semoga Allah izinkan kita masuk syurga tanpa hisab. Amin,

-----------------------------------------------------
🔴Ikuti media sosial Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan:
𝐅𝐚𝐜𝐞𝐛𝐨𝐨𝐤 : https://www.facebook.com/jheainsofficial
𝐈𝐧𝐬𝐭𝐚𝐠𝐫𝐚𝐦 : https://www.instagram.com/jheains.official
𝐓𝐢𝐤𝐭𝐨𝐤 : https://www.tiktok.com/
𝐘𝐨𝐮𝐓𝐮𝐛𝐞 : https://www.youtube.com/
𝐋𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐬𝐚𝐰𝐚𝐧𝐠 : https://jheains.ns.gov.my/



Photos from TV PAS's post 03/05/2026
Want your business to be the top-listed Government Service in Kuala Lumpur?

Click here to claim your Sponsored Listing.

Location

Category

Website

Address

No 44
Kuala Lumpur
55100