12/11/2026
𝗝𝗣𝗩 𝘀𝗶𝘁𝗮 𝟮𝟬 𝗲𝗸𝗼𝗿 𝗹𝗲𝗺𝗯𝘂 𝗯𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮 𝘀𝗲𝗯𝘂𝗮𝗵 𝗹𝗼𝗿𝗶 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗻𝗶𝗹𝗮𝗶 𝗸𝗲𝘀𝗲𝗹𝘂𝗿𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗹𝗲𝗯𝗶𝗵 𝗥𝗠𝟱𝟬,𝟬𝟬𝟬
KUALA TERENGGAN, 12 Nov - Risikan lebih sebulan membawa kepada pembongkaran kegiatan menggunakan permit pemindahan lembu ke lokasi berbeza dalam serbuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu di sebuah kandang di Kampung Surau Haji Daud di sini semalam.
Operasi itu menyaksikan sebanyak 20 ekor lembu bersama sebuah lori disita dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM50,000.
Ketua Penguat Kuasa Veterinar Terengganu, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah berkata, kegiatan itu dikesan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai modus operandi pemindahan ternakan yang mencurigakan.
Menurutnya, siasatan awal mengenal pasti dua individu berusia 45 dan 38 tahun yang dipercayai pasangan suami isteri mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati lori terbabit membawa 20 ekor lembu menggunakan dokumen pemindahan yang menyatakan lokasi penghantaran tertentu, namun ternakan berkenaan dipercayai diturunkan di lokasi lain.
Katanya, kegiatan itu mula disyaki apabila lori berkenaan melalui laluan yang tidak sepatutnya sebelum pasukan penguat kuasa mengekori kenderaan terbabit dari kawasan Lebuhraya Sekati.
“Berdasarkan pemeriksaan permit, kita percaya lembu berkenaan dibawa masuk dari negeri jiran, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti asal usul ternakan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di JPV Terengganu hari ini.
Tuan Anuar berkata, modus operandi sedemikian bukan perkara baharu kerana kes seumpama itu pernah dikesan pada 2023, namun kegiatan berkenaan masih berulang.
Beliau berkata, pemindahan ternakan yang tidak mematuhi syarat permit boleh meningkatkan risiko penularan penyakit haiwan.
Katanya, Terengganu masih berdepan wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) sejak September lalu selain pernah dilanda penyakit bruselosis.
“Disebabkan situasi itu, kita memperketatkan beberapa peraturan bagi memastikan keselamatan industri ternakan di negeri ini.
“Kita tidak mengetahui status kesihatan sebenar ternakan yang dibawa masuk sekiranya pergerakannya tidak mengikut syarat ditetapkan,” katanya.
Beliau menegaskan operasi penguatkuasaan JPV Terengganu akan diteruskan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Oleh : Info Bencana Terengganu