11/08/2026
SUKAN MALAYSIA (SUKMA) XXII SELANGOR 2026.
SHAH ALAM – Negeri Selangor bakal menjadi tumpuan arena sukan negara apabila dipilih sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, yang akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026.
Sukan Malaysia (SUKMA) merupakan temasya sukan pelbagai acara di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) melalui Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN). Sejak diperkenalkan pada tahun 1986, SUKMA menjadi antara platform utama pembangunan atlet muda negara dengan menghimpunkan penyertaan atlet berumur bawah 21 tahun yang mewakili negeri-negeri serta Wilayah Persekutuan.
Pemilihan Selangor sebagai tuan rumah edisi ke-22 telah diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Bil. 11 pada 18 Julai 2024. Penganjuran kali ini cukup signifikan kerana Selangor kembali menjadi tuan rumah SUKMA selepas 28 tahun, dengan kali terakhir temasya berprestij tersebut dianjurkan di negeri ini pada tahun 1998.
SUKMA XXII Selangor 2026 akan melibatkan 37 jenis sukan yang dipertandingkan di venue-venue melibatkan sembilan (9) daerah, iaitu Petaling, Klang, Gombak, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Langat dan Hulu Selangor.
Penganjuran temasya berskala besar ini dijangka melibatkan pergerakan atlet, pegawai, urus setia, petugas, penyokong serta orang ramai dalam jumlah yang tinggi sepanjang tempoh kejohanan. Sehubungan itu, aspek keselamatan, kelancaran lalu lintas, pengurusan pergerakan kontinjen serta keselesaan pengguna jalan raya akan menjadi antara perkara penting dalam memastikan perjalanan SUKMA XXII Selangor 2026 berlangsung dengan teratur dan lancar.
Orang ramai khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memberikan kerjasama, mematuhi arahan petugas serta merancang perjalanan lebih awal sekiranya melalui kawasan berhampiran venue pertandingan. Sebarang perubahan atau lencongan lalu lintas yang dilaksanakan dari semasa ke semasa adalah bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan sepanjang temasya berlangsung.
Penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026 bukan sahaja menjadi medan melahirkan bakat-bakat sukan negara, malah merupakan peluang untuk Selangor mempamerkan keupayaan sebagai negeri tuan rumah yang mampu mengendalikan temasya sukan berskala nasional secara profesional, selamat dan berkesan.
“SELANGORTUAN RUMAH SUKMA XXII 2026 – SEMARAK SUKAN, SEMANGAT MALAYSIA”