28/04/2026
https://www.facebook.com/share/p/18adBRPqqM/
“74 Bantuan Hanya ‘Kosmetik’, WIRAWATI PUTRA Dakwa Kerajaan Gagal Tangani Kos Sara Hidup”
WIRAWATI PUTRA menggesa kerajaan supaya memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup secara menyeluruh, termasuk menurunkan harga minyak dan mengembalikan subsidi yang dianggap sebagai hak rakyat.
“74 Bantuan Hanya ‘Kosmetik’, WIRAWATI PUTRA Dakwa Kerajaan Gagal Tangani Kos Sara Hidup”
KUALA LUMPUR, 28 April – WIRAWATI PUTRA menyifatkan pendekatan kerajaan dalam menangani kos sara hidup sebagai tidak menyelesaikan masalah sebenar, sebaliknya hanya bergantung kepada pelbagai bentuk bantuan yang dianggap bersifat sementara dan tidak menyeluruh.
Ketua Wirawati PUTRA, Hafizah Jamaludin berkata, mesyuarat barisan EXCO sayap itu mendapati rakyat masih berdepan tekanan hidup walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan.
Menurut beliau, kerajaan tidak seharusnya berbangga dengan senarai panjang bantuan sehingga mencecah 74 jenis, kerana hakikatnya rakyat lebih merasai kesan kenaikan harga barang, kos sewa, bil utiliti serta beban hutang harian.
“Rakyat tidak kenyang dengan infografik atau slogan. Apa yang dirasai adalah baki wang dalam poket yang semakin mengecil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mempersoalkan keperluan memperkenalkan begitu banyak bantuan sekiranya ekonomi rakyat benar-benar pulih, sambil menyifatkan keadaan itu sebagai petunjuk kegagalan dasar kerajaan dalam menangani punca sebenar masalah.
Tambahnya, kebanyakan bantuan yang diumumkan bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah lama wujud sejak pentadbiran terdahulu dan hanya dijenamakan semula.
“Bantuan tunai seperti BR1M sudah lama diperkenalkan. Apa yang berlaku kini hanyalah penjenamaan semula dengan nama berbeza seperti STR, SARA dan sebagainya,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa semua bentuk bantuan tersebut adalah menggunakan dana rakyat dan bukan sumbangan peribadi mana-mana pemimpin.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa peningkatan kos bahan api, khususnya diesel, memberi kesan rantaian kepada harga barang dan kos pengangkutan, sekali gus menekan kehidupan rakyat.
Menurutnya, walaupun terdapat penurunan harga diesel selepas kenaikan mendadak, kesan kepada pasaran telah pun berlaku dan akhirnya ditanggung oleh pengguna.
Beliau juga menyentuh isu bantuan bersasar yang didakwa tidak sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, apabila ramai pemohon gagal memenuhi syarat kelayakan walaupun berada dalam keadaan kewangan yang sempit.
Sehubungan itu, WIRAWATI PUTRA menggesa kerajaan supaya memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup secara menyeluruh, termasuk menurunkan harga minyak dan mengembalikan subsidi yang dianggap sebagai hak rakyat.
“Rakyat akan menilai berdasarkan realiti kehidupan harian mereka, bukan pada jumlah bantuan yang diumumkan,” katanya.