12/10/2026
JBPM PAHANG JUARA PERTANDINGAN TARIK TALI SEMPENA HARI SUKAN NEGARA 2026 PERINGKAT NEGERI PAHANG
KUANTAN, 12 Oktober 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang menutup tirai penyertaan dalam Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Pahang dengan kejayaan membanggakan apabila muncul johan acara tarik tali, sekali gus mengukuhkan semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan dalam kalangan warga bomba.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh YB Dato’ Fadzli bin Mohamad Kamal, Exco Kerajaan Negeri Pahang selaku wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang. Turut hadir ialah Pengarah JBPM Negeri Pahang, YS PKPjB Dato’ Mohd Razam bin Taja Rahim.
Majlis turut menyaksikan kehangatan pertandingan akhir tarik tali yang berlangsung penuh semangat dan mendebarkan. JBPM Negeri Pahang berjaya merangkul gelaran johan, diikuti Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di tempat kedua, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat ketiga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tempat keempat.
Bagi kategori Majlis Belia p**a, Majlis Belia Daerah Bentong muncul juara, diikuti Majlis Belia Daerah Maran di tempat kedua dan Majlis Belia Daerah Kuantan di tempat ketiga. YB Dato’ Fadzli turut berkesempatan menyaksikan pertandingan serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas semangat dan komitmen yang ditunjukkan.
Dalam penganjuran Hari Sukan Negara pada kali ini, JBPM Negeri Pahang telah diberi tanggungjawab mengendalikan dua acara utama, iaitu pertandingan tarik tali dan Strongest Man Challenge. Kedua-dua acara ini berjaya mencetuskan keterujaan peserta dan pengunjung, selain mengetengahkan aspek kekuatan fizikal, ketahanan diri, disiplin serta semangat berpasukan.
Penganjuran Hari Sukan Negara bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara agensi, memperkukuh perpaduan dan memupuk budaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang telah memberikan saingan terbaik! Kejayaan ini membuktikan bahawa semangat berpasukan, disiplin dan kesungguhan merupakan kunci untuk mencapai kejayaan, sama ada di gelanggang sukan mahupun dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.