11/11/2026
𝗣𝗿𝗼𝗷𝗲𝗸 𝗣𝗲𝗺𝘂𝗹𝗶𝗵𝗮𝗿𝗮𝗮𝗻 𝗦𝘂𝗻𝗴𝗮𝗶 𝗧𝘂𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗻 𝗧𝗮𝗽𝗮𝗸 𝗟𝗲𝘁𝗮𝗸 𝗞𝗲𝗻𝗱𝗲𝗿𝗮𝗮𝗻 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗿𝘂 𝗣𝗲𝗸𝗮𝗻 𝗧𝘂𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗿𝗮𝘀𝗺𝗶𝗸𝗮𝗻
TUARAN, 11 November 2026 – YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tempat Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran Tahun 2026 yang berlangsung di Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran, pagi ini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin bin Aman, bersama barisan pemimpin dan pegawai kanan kerajaan serta wakil agensi berkaitan.
Perasmian kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur awam, meningkatkan keselesaan masyarakat serta memastikan kelestarian alam sekitar di daerah Tuaran.
Projek pemuliharaan Sungai Tuaran yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM16.47 juta. Projek yang bermula pada 13 November 2023 itu telah siap sepenuhnya pada 7 Jun 2026.
Antara skop utama projek termasuk pembinaan struktur pertahanan tebing sungai menggunakan kaedah armour rock sepanjang 900 meter, pembinaan denai sungai sepanjang 900 meter, kerja-kerja pengaluran sungai, pembinaan jambatan baharu serta kerja-kerja landskap bagi memperindah kawasan persekitaran sungai.
Menariknya, reka bentuk Jambatan Tamu Tuaran diinspirasikan daripada bubu ikan tradisional yang sinonim dengan kehidupan masyarakat setempat. Jambatan berkenaan turut berfungsi sebagai penghubung antara komuniti di seberang sungai dengan kawasan Tamu Tuaran, khususnya bagi memudahkan pergerakan pejalan kaki.
Sementara itu, penyediaan tapak letak kenderaan baharu merupakan usaha menangani keperluan kemudahan parkir yang semakin meningkat susulan perkembangan aktiviti ekonomi, perniagaan dan perdagangan di Pekan Tuaran, khususnya pada hari tamu dan hujung minggu.
Dalam ucapannya, Ketua Menteri menegaskan bahawa usaha pemuliharaan sungai perlu dilaksanakan secara berterusan bagi menangani cabaran perubahan iklim dan hakisan tebing, selain memastikan kebersihan serta kelestarian kawasan sungai terus terpelihara.
Beliau turut menyeru masyarakat setempat dan pihak berkuasa berkaitan agar bersama-sama menjaga kemudahan awam serta persekitaran sungai supaya manfaat pembangunan ini dapat dinikmati secara berterusan oleh masyarakat dan generasi akan datang.
Kedua-dua projek ini diharap dapat meningkatkan imej Pekan Tuaran sebagai sebuah pusat pertumbuhan daerah yang lebih teratur, mampan dan menarik untuk dikunjungi, sekali gus menyokong potensi pelancongan serta pembangunan ekonomi setempat.
© 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐏𝐞𝐣𝐚𝐛𝐚𝐭 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐊𝐞𝐫𝐚𝐣𝐚𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐒𝐚𝐛𝐚𝐡