07/11/2026
SAMBUTAN MINGGU SETEM 2026
Sempena Sambutan Minggu Setem 2026 yang berlangsung pada 6 hingga 8 oktober 2026, di Amcorp Mall, Pos Malaysia dengan kerjasama Kraftangan Malaysia telah melancarkan Setem Seni Kraf Sulaman. Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Rekaan dan Penyelidikan Kraftangan Malaysia, Encik Khairul Hafizi bin Naharudin.
Penerbitan setem ini merupakan kerjasama kedua antara Pos Malaysia dengan Kraftangan Malaysia bagi tahun 2026. Terdahulu, pada Januari 2026, Siri Setem Seni Kraf Tembikar telah diterbitkan.
Inisiatif ini merupakan antara usaha Kraftangan Malaysia dalam memelihara, mendokumentasi dan mempromosikan warisan seni kraf tempatan melalui medium filateli. Selain mengetengahkan keunikan dan kehalusan seni kraf, penerbitan setem ini turut berperanan sebagai medium untuk memperluas penghayatan masyarakat terhadap nilai estetika, kreativiti dan identiti budaya negara.
Sepanjang 3 hari ini, aktiviti pameran dan interaktif kraf sulaman manik turut diadakan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan seni kraf.