13/11/2026
𝟵𝟬 𝗪𝗔𝗥𝗚𝗔𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔 𝗜𝗡𝗗𝗢𝗡𝗘𝗦𝗜𝗔 𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧 𝗗𝗜𝗣𝗜𝗡𝗗𝗔𝗛𝗞𝗔𝗡 𝗞𝗘 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔 𝗔𝗦𝗔𝗟 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗟𝗨𝗜 𝗜𝗖𝗤𝗦 𝗧𝗘𝗕𝗘𝗗𝗨
TEBEDU, 13 NOVEMBER 2026 – Seramai 90 orang tahanan imigresen (OYD) warganegara Indonesia dari Depot Imigresen Semuja telah berjaya dipindahkan ke negara asal melalui laluan darat menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, hari ini.
Pemindahan yang bermula pada jam 8.00 pagi itu melibatkan 69 lelaki dewasa dan 21 perempuan dewasa, dengan keseluruhan proses pergerakan dilaksanakan melalui pengiringan serta kawalan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Penyerahan seramai 90 OYD berkenaan telah disempurnakan kepada Konsul Jeneral Republik Indonesia, Dr. Abdullah Zulkifli. Turut hadir mengiringi penyerahan tersebut ialah Tuan Musa Derek Sairwona, Kepala Kanselerai dan Tuan Dimas Pramudito, Staf Teknis Imigrasi dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Kuching.
Operasi pemindahan ini turut melibatkan penggunaan kenderaan jabatan dan bas sewaan bagi memastikan kelancaran pergerakan serta keselamatan semua OYD sepanjang perjalanan dari Depot Imigresen Semuja ke ICQS Tebedu.
Secara keseluruhannya, proses pemindahan dan penyerahan OYD telah berjaya dilaksanakan dengan baik, selamat dan terkawal hasil kerjasama serta koordinasi antara Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia.
Jabatan Imigresen Malaysia terus komited memastikan setiap urusan pengurusan dan pemindahan tahanan imigresen dilaksanakan secara teratur, berintegriti serta berpandukan prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
©𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗨𝗡𝗜𝗧 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗡𝗖𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗦𝗧𝗥𝗔𝗧𝗘𝗚𝗜𝗞 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗛𝗜𝗗𝗠𝗔𝗧 𝗞𝗢𝗥𝗣𝗢𝗥𝗔𝗧 | 𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗜𝗠𝗜𝗚𝗥𝗘𝗦𝗘𝗡 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗦𝗔𝗥𝗔𝗪𝗔𝗞