27/10/2026
KERANGKA ANTIBULI 'SAFE' DIPERKASA: SKDKr2 PELOPORI PERSEKITARAN SEKOLAH SELAMAT DAN SEJAHTERA
[KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026] – Usaha memperkasakan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif, dan bebas daripada gejala buli terus memuncak menerusi pelaksanaan inisiatif Kerangka Antibuli SAFE (Sekolah Selamat, Murid Sejahtera, Negara Berkarakter).
Program kesedaran dan pendidikan ini digiatkan bagi memastikan seluruh warga sekolah memahami kepentingan membendung perlakuan buli menerusi pendekatan komprehensif yang melibatkan lima pilar utama: Pendidikan, Pencegahan, Pengukuhan Kesedaran, Pengamalan dan Pembudayaan, serta Pemulihan.
Inisiatif SAFE mengetengahkan lima tumpuan strategik bagi membendung gejala buli di peringkat akar umbi:
Pendidikan: Memperkasa literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) serta menerapkan nilai-nilai Amalan Sekolah Penyayang (6S) iaitu Senyum, Salam, Sapa, Sopan, Sayang, dan Syukur.
Pencegahan: Melaksanakan program psikopendidikan, intervensi awal, dan pendekatan Nudge (Dorongan Tingkah Laku Positif) bagi menggalakkan amalan saling menghormati dan mencegah salah laku sebelum ia berlaku.
Pengukuhan Kesedaran: Meningkatkan kefahaman bahawa buli merupakan satu kesalahan jenayah yang serius serta memupuk keberanian dalam kalangan murid untuk tampil melaporkan sebarang kejadian.
Pengamalan dan Pembudayaan: Memperkasakan peranan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) menerusi pendekatan 5P untuk peka, prihatin, peduli, membimbing, dan melaporkan kes buli demi mewujudkan budaya sekolah yang harmoni.
Pemulihan: Menyediakan sokongan psikososial, perkhidmatan kaunseling, dan intervensi berfokus kepada mangsa serta pelaku bagi memastikan perubahan tingkah laku yang positif dan berterusan.
Pelaksanaan kerangka ini disambut baik oleh seluruh warga sekolah dan ibu bapa. Menerusi slogan "Lihat - Jangan Pejam, Bertindak - Jangan Diam, Laporkan - Jangan Ragu", program ini berjaya menyuntik semangat keberanian dan rasa tanggungjawab bersama dalam meletakkan keselamatan serta kesejahteraan murid sebagai keutamaan tertinggi.
Langkah proaktif ini diharapkan dapat melahirkan generasi murid yang berakhlak mulia, berintegriti, dan saling empati, sekali gus merealisasikan aspirasi sekolah sifar buli di seluruh negara. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara aktif dalam menjayakan kempen ini.